Friday, May 25, 2007

Benarkah Hang Tuah itu Melayu?

Saya merasa amat tertarik membaca banyak isu berhubung dengan latarbelakang Hang Tuah dan rakan-rakannya yang lain. Telah ada banyak tulisan-tulisan yang mula mempertikaikan tentang kesahihan bangsa Hang Tuah itu sendiri. Bermula dari persoalan siapakah hero Melayu, Hang tuah atau Hang Jebat, sehinggalah kepada persoalan Hang Tuah berbangsa Cina, semuanya memerlukan alasan-alasan dan teori-teori yang logik untuk dikupas bersama.


Terus terang saya katakan bahawa sejak dari bangku sekolah lagi, saya sering dihantui oleh pertanyaan siapakah Hang Tuah itu sebenarnya, sehinggalah sekarang ini saya telah membuat kajian dan masih mengkaji lagi berhubung dengan teori Hang Tuah bukan Melayu. Semakin dikaji, semakin banyak pula fakta-fakta yang tidak pernah muncul sebelum ini telah saya temui yang menjadikan kajian ini lebih menarik lagi.

Di sini saya tidak mahu menyentuh secara terperinci fakta-fakta yang telah ditemui yang memungkinkan kebenaran bahawa Hang Tuah itu bukanlah orang Melayu sebaliknya ia dan sahabat-sahabatnya adalah orang Cina Islam yang telah datang ke Nusantara untuk mempertahankan kesultanan Melayu daripada ancaman musuh terutamanya ancaman Siam yang semakin ketara pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka khususnya.

PENGGUNAAN NAMA HANG

Dari segi penggunaan nama 'Hang' itu sendiri telah diragui bahawa nama itu adalah warisan daripada nama Melayu. Saya telah banyak membaca artikel yang menyentuh tentang penggunaan nama Hang untuk Hang Tuan, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dan Hang Li Po. Malahan ada pendapat mengatakan nama-nama panglima Melayu itu ialah sebenarnya ialah Hang Too Ah, Hang Jee Bat, Hang Lee Ker, Hang Lee Kiu dan hanya nama Hang Kasturi sahaja yang diragui.

Walau bagaimanapun saya agak kurang bersetuju dengan pendapat tersebut kerana bagai saya, tidak ada catatan sejarah baik dari Malaysia, Indonesia, Thai mahupun China sendiri yang menyentuh nama kesemua panglima itu. Hanya yang saya bersetuju ialah nama Hang itu sendiri adalah nama yang berunsur Cina, kerana etnik yang menjadi majoriti di negara China sendiri terdiri daripada etnik HAN. Oleh yang demikian bagi membezakan mereka daripada orang Cina lain yang berada di Melaka, maka penggunaan nama Hang telah dipakai.

Selain daripada itu, Hang itu sendiri adalah seperti surname nama orang-orang Cina. Bagi orang Melayu, mereka langsung tidak ada menggunakan surname kecuali nama-nama yang melambangkan status dalam masyarakat seperti Raja, Tengku, Wan, Yeop, Meor dan beberapa lagi, tetapi tidak ada nama Hang!

Sepertimana di awal tadi saya mengatakan tidak bersetuju Hang Tuah adalah berasal dari nama Han Too Ah, kemungkinan nama Cina untuk Hang Tuah itu datang dari nama Cina yang seakan-akan bunyi Tuah. Mungkin nama asal Hang Tuah itu telah diMelayukan oleh masyarakat Melayu tempatan supaya senang disebut dan diingati. Contohnya kalau di Kelantan dan Terengganu, kebanyakkan nama orang-orang Cina di kawasan kampung telah di Melayukan. Contohnya bekas Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kelantan, Gan Guan Seng disebut sebagai Che Hussin oleh masyarakat di Kg Pantai Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan. Begitu juga dengan nama-nama seperti Pak Soh, Awe, Awie, Che Munah, Pak Kassim dan sebagainya. Nama-nama sebegini masih boleh didengar di Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Salor, Tanah Merah, Machang dan beberapa jajahan lagi. Oleh itu tidak hairanlah kalau nama Hang Tuah sendiri adalah nama yang telah diubah suai dari nama asalnya.

Seperkara lagi yang agak menarik ialah mengapakah tidak semua 500 orang Cina yang masuk ke Melaka pada zaman Sultan Mansur Syah menggunakan nama Hang di awal nama mereka?