Monday, December 17, 2007

Kenangan Tahun 1976


Ini adalah gambar kenangan aku dan rakan-rakan semasa di Tingkatan 1 di Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping, Perak. Gambar ini dirakankan di belakang dewan sekolah, pada waktu petang. Guru tingkatan aku, Mr Foo Meow Tong berada di tengah barisan paling hadapan. Bagi aku belaiu adalah seorang guru yang amat berdedikasi dan berkebolehan dalam pengajaran Mathematik Moden.

Aku cuba mengingati nama rakan-rakan sekelasku...dan ada juga aku terlupa beberapa orang daripada mereka. Tapi kenangan bersama mereka tidak dapat aku lupakan. Harap rakan-rakan juga akan terkenang zaman kita bersekolah di Sekolah King Edward VII yang megah, luv u KE!!

Barisan hadapan dari kiri ke kanan: Mokhtar b Mat (anak Polis), Pasupathy (pemain bugler, berpindah ke Ipoh kemudiannya), Azmi (Pendiam mamat ni), Rosdi (gagap sikit), Habib Rahman (mamak Matang), Colin Chan Wai Meng (Ketua kelas, Ketua Pelajar dan akhirnya jadi doctor), Mr Foo (di mana sekarang?), Cheong Gim Leong (dengar kata jadi orang TNB), therider (gua la tu), Azmi (Gelaran Deware), Zainol b Nordin (Bai Celup), Moay Kum Meng (Pendiam jugak) dan Zaini (Sentiasa senyum,geng baik)

Barisan kedua berdiri dari kiri ke kanan:
Tajudden (Now di Subang Jaya),Wa lupa nama lu bro,solli maa, Nor Sham (anak cikgu, trombone player), Dzaeem b Ibrahim (cucu Dato Murad Pengarah Penjara),Alias,Shuib (Kg Jana),laaa bro ni jugak anak Polis,Ni satu lagi gua lupa…tapi lu memang pandai nyanyi dan ada cita-cita jadi Elvis Presley…Rama ke nama lu?,Ni pun wa lupa.. sollliii, Najib b Rasip (anak Pegawai Tentera kemudian pindah ke Ipoh..wa miss lu bro) Norsham,Azman Ibrahim (Trumpet manyak pandai lol) Azmi (mungkin betul?) dan Din Selamat b Kamal ( wa respek lu bro..maintain..now in Shah Alam)

Barisan belakang dari kiri ke kanan:
Akhbar Shah (runner),Lupa nama lu, Lupa lagi,Lupa ,Singh,Letchumanan @ Achun(Now Pegawai Tentera di PD),Teh Lai Aun, Lu..pa..,Iamail Malek (cikgu), Lupa,Cheong Gim Teik, Idrus.

Tiada dalam gambar:

Pak Long, Pak Tong, Junjong,Tukang kebun sekolah, aya jual kacang puteh, amoi kantin yang cute tu.., pakcik jaga sekolah...dan apek yang jadi sami di tokong sebelah kantin lama sekolah.

Posted by Picasa

Sunday, December 16, 2007

Seroja



Untuk dikenang dan difikirkan bersama

Pulau Indah...kenangan dua zaman

Pandangan jeti lama Pulai Indah, terbiar sepi tanpa pembelaan.
Jeti Pulau Indah yang sekarang ini menjadi persinggahan pemancing.
Pembangunan jeti baru di Pulai Indah yang bakal menjadi tarikan pelancong

Jeti yang menjadi kunjungan ramai di hujung minggu.

Kalau diamati daripada gambar di atas, anda semua tentu dapat membayangkan bagaimanakah berbezanya pembangunan yang telah berlaku di Pulai Indah, Pelabuhan Klang. Pada suatu masa dahulu, Pulau Indah juga dikenali sebagai Pulau Lumut, adalah sebuahpulau yang mengandungi perkampungan orang Melayu dan terpisah dari segala bentuk pembangunan seperti di tanah besar.

Rata-rata penduduk di sini suatu ketika dahulu adalah terdiri daripada kaum nelayan, pekebun kelapa, koko dan kopi serta sebilangan kecil kakitangan kerejaan seperti pekerja pos, bidan, guru, polis dan Jabatan Haiwan. Penduduknya pula pada tahun 1980an hingga awal 1990an hanya berjumlah lebih kurang 3,000 orang. Penempatan yang agak ramai penghuni adalah seperti Kg. Sungai Kembong, Perigi Nenas dan Sungai Pinang.

Aku pernah menjadi salah seorang penduduk di sana apa aku ditempatkan sebagai guru di Sek. Men. Pulau Lumut pada tahun 1987. Guru besar aku pada masa itu ialah Cikgu Mohd Nor bin Kamdani.Aku ditugaskan mengajar mata pelajaran Geografi, Bahasa Melayu, Lukisan dan sejarah. Turut melapor diri bertugas bersama aku ialah seorang lagi guru iaitu Cikgu Raden, orang Kelantan yang baru sahaja tamat kursus di Maktab Perguruan Ilmu Khas.

Sebagai orang baru di Pulau Lumut, tentulah pelbagai masalah timbul semasa kami berdua cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini. Kami berdua ditempatkan di rumah guru yang memangpun telah tersedia ada. Mulai jam 7.00 petang, kami akan bergilir-gilir menghidupkan generator sekolah untuk mendapatkan bekalan elektrik. Pada masa itu, perkhidmatan elektrik masih lagi tiada di sini. Bagi kakitangan sekolah, generator akan ditutup pada jam 1200 malam setiap hari.

Namun pada hari, Pulau Indah telah menjadi sebuah kawasan yang amat pesat membangun di Selangor apabila kerajaan telah menjadikan pulau ini sebagai pelabuhan barat yang menjadi pintu masuk perkapalan ke negeri Selangor. Amat memeranjatkan hanya dalam tempoh20 tahun, pulau ini telah menunjukkan banyak perubahan, dan masih berterusan hingga sekarang.

Posted by Picasa

Saturday, December 15, 2007

My Guard Dog 'Princess' The Doberman

Diri!! Diam!!Good Diri....Anjing pun boleh ikut kata kalau diajar.

Sit!!! Good sit!! Princess sedang duduk dan menunggu arahan lanjut.

Baring!!! Anjing yang diajar akan mematuhi arahan dari tuannya.

Bangun!!! Diam!!! Pematuhan arahan diajar tanpa meringankan aspek disiplin antara anjing dan handler.

Itulah 'Princess', doberman kesayanganku yang akan menyambut hari lahirnya yang pertama pada hujung bulan Disember ini. Anjing ini masih lagi dikira puppy dan memerlukan belaian sayang dari kami sekeluarga. Makanan dan penjagaan kesihatannya amat dititikberatkan oleh aku.

Walau pun seorang Melayu dan beragama Islam, namun aku memelihara anjing ini bagi tujuan menjaga keselamatan keluarga dan harta benda serta memburu dan trekking semasa aku masuk ke hutan belantara. Mungkin agak janggal sedikit bagi orang Melayu memelihara anjing, namun bagiku, sekiranya ada keperluan dan menepati syarat-syarat tertentu, tidak ada larangan bagi seseorang untuk memelihara anjing.

Namun bagi yang belum pernah memelihara anjing, mungkin akan mengalami kesukaran untuk memeliharanya terutamanya dari baka doberman kerana anjing jenis ini amat aktif, athletic dan lebih tepatnya ialah hyperaktif. Oleh itu sejak dari kecil lagi, anjing harus didisiplinkan supaya mematuhi beberapa perkara.

Sebagai orang Melayu, aku telah melatih anjing ini agar tidak masuk ke dalam rumah dan tidak membuang air merata-rata. Semuanya disusun dan diatur supaya tidak mendatangkan masalah kepada aku dan jiran-jiranku yang lain.

Setakat ini memang ada juga jiran-jiran dan rakan-rakan yang memandang serong terhadap aku, namun dengan penerangan yang betul, aku rasa mereka dapat memahaminya , walaupun belum ada seorang pun jiran Melayuku pernah atau berani menyentuh Princess.

Semasa berada di dalam hutan rimba, Princesslah antara teman yang boleh dipercayai kerana ia akan memberi amaran sekiranya ada sesuatu yang tidak kena berlaku di sekeliling khemah penginapan kami. Kebolehan deria anjing amat berguna sekali sewaktu berada dalam hutan kerana kebolehan mencium bau mereka boleh memberi amaran awal kepada aku dan rakan-rakan lain. Bolehlah kami tidur aman sedikit dengan dikawal oleh Princess.
Posted by Picasa

Friday, December 14, 2007

Nostalgia Zaman Kolejku...

Bersama rakan kamcingku, Sdr Ahmad Kashfi Mohd Ali di Kuala Besar, 1985
Rakan-rakan di dalam Dewan Besar Maktab Perguruan Kota Bharu pada tahun 1984. Berdiri di barisan belakang dari kiri ke kanan, Sdr Mohd Yaziz, Sdr Abd Halim Shaari, Sdr Ahmad Yusof. Barisan hadapan dari kiri Sdr Mohd Asri, Mohd Jais Chik, Hassim Sudiman, Razali , Allahyarham Ahmad Ridzuan Shaharuddin, Mohd Zafri Ismail dan Sdr Ibrahim Mat Zaki b Mat Rani@Bob.

Aku bersama rakan sekolej dari kiri Hassim Sudiman (orang Muar Bando!!) Allahyarham Abdul Rahman bin Mamat (orang Terengganu bekas Navy) Ghandian (orang Ipoh) dan aku sendiri (stail rambut tah ape-ape le masa tu)

Sesekali aku teringat juga kepada rakan-rakan seperjuangan semasa di kolej dahulu. Aku memasuki Maktab Perguruan Kota Bharu pada tahun 1984 - 1986 dan mengambil jurusan Pengajian Melayu/Geografi. Yang uniknya kelas aku pada masa itu ialah kami hanya ada seorang pelajar perempuan sahaja iaitu Sdri Latifah bt Mohamed, orang Sabah. Pensyarah aku pada masa itu ialah Tn Haji Halim bin Taib, seorang pensyarah Seni.

Sebagai seorang yang aktif, aku terlibat dalam berbagai-bagai kegiatan di kolej seperti kesenian, sukan dan badan berunifom dan turut menjadi Exco Pelajar. Malahan semasa Konvokesyen pada tahun 1987, aku telah mendapat hadiah khas kerana terlibat aktif dalam ko-kurikulum.

Di manakah rakan-rakan sekolejku berada sekarang ini? Kalau ada yang melayari blog ini, silalah hubungi aku untuk membuat reunion seperti yang telah aku dan beberapa orang rakan sekolej rancangkan.

Posted by Picasa

Tandas kita




Cubalah kita amati pintu tandas di atas. Siapakah yang punya angkara ini semua? Bagi kita rakyat Malaysia, sepatutnya kemudahan ini perlu kita hargai, dan bukan dibiarkan menjadi lapuk. Masalah tandas di negara kita bukanlah perkara baru. Janganlah kita salahkan orang itu dan ini, sebaliknya adakah kita menghargai kemudahan yang disediakan ini.

Sudah letih guru mengajar di sekolah tentang perlunya menjaga kemudahan awam. Namun parasit-parasit ini masih berkeliaran di sekeliling kita. Sama-samalah kita menjaga kemudahan yang disediakan ini. Sayangi kemudahan awam kita.
Posted by Picasa

Laksa Kuala!!!

Gambar gua masa nak bayar harga laksa, makan 4 pinggan, tapau 10 bungkus!


Pelayan gerai yang ramah tamah sedang mengemas pinggan mangkuk...steady cik kak ooii


Member gua, Ari tengah belasah laksa untuk first round, sabar sikit, jangan gopoh bro!!


Ini dia laksa kuala yang dah separuh jalan kena belasah. Tu ha di sebelah wa punyer hand set yang dah trade in kat Pertama Kompleks.

Sebut sahaja laksa, semua orang akan terbayang makanan tradisional rakyat yang amat popular tidak kira di mana sahaja kita berada. Terdapat pelbagai jenis laksa seperti laksa Johor, laksa Penang, laksam, laksa Kedah dan laksa Perak tau sesetengah orang memanggilnya laksa Kuala sempena dengan nama Kuala kangsar yang amat sinonim dengan laksa.

Sempena dengan cuti pada 12 September 2007, saya bersama dengan sahabat , Ari telah singgah di Bawah Lembah, Kuala Kangsar dengan tujuan untuk berehat setelah penat berada di utara tanahair. Kesempatan ini kami gunakan untuk merasai laksa Kuala yang amat popular di negeri Perak.

Sebaik sahaja kereta kami membelok masuk ke bandar Kuala Kangsar, saya terus mengarahkan Ari mencari jalan ke Bawah Lembah kerana di sinilah kebanyakkan aktiviti ekonomi masyarakat tempatan berpusat. Di sini terdapat banyak kedai menjual cenderamata, barang-barang pertukangan, kraf, ikan pekasam dan sebagainya. Tapi perhatian kami berdua hanyalah untuk mencari gerai laksa yang benar-benar 'membunuh.'

Pusing punya pusang, akhirnya kami telah singgah di Gerai Laksa Yusuff. Saya kemudiannya telah membuat pesanan laksa dan air cendol. Dari apa yang saya perhatikan, gerai ini boleh tahan juga dengan kunjungan orang ramai yang tidak putus. Bagi hantu laksa seperti saya, dari bau kuah laksa yang harum, sudah membangkitkan keghairahan untuk membelasah laksa semaksimum mungkin!

Seperti yang lazimnya, laksa di Perak agak unik berbanding dengan lain-lain tempat kerana amalan biasa penjual laksa di sini suatu ketika dahulu ialah setiap laksa akan dilapik dengan daun pisang. Maksudnya laksa akan dijadikan seperti sanggul wanita dan diletakkan di atas daun pisang sekeping demi sekeping. Kalau pada tahun 70an dahulu, tiap sekeping berharga antara 10 sen ke 20 sen. Bagi hantu laksa seperti saya ini, saya akan belasah sekurang-kurangnya 3 keping sekali jalan!

Semasa saya menetap di berek tentera Garisson Taiping, laksa yang amat popular ialah Laksa Zaidi. Pemilik gerai Laksa Zaidi ini iaitu Pak Zaidi mempunyai gerai di baw ah pokok sena berhampiran stor Majlis Perbandaran Taiping, bersebelahan padang bomba Taiping. Selain itu anak Pak Zaidi bernama Din pula menjual laksa dengan bermotosikal di luar Rumah Sakit Angkatan Tentera (CRS) Kem Garisson Taiping. Pada waktu pagi hingga tengah hari, motosikal ini akan dipenuhi oleh kaum keluarga tentera untuk membeli laksa Zaidi yang amat power hingga ke titisan kuah yang terakhir.

Namun itu semua hanyalah tinggal kenangan sahaja kerana Laksa Zaidi telah tiada lagi di Taiping. Dari cerita yang saya dengar, Din Si Penjual Laksa pula telah berhijrah ke Kuala Lumpur manakala Pak Zaidi sendiri telah meninggal dunia. Yang tinggal hanyalah kenangan laksa Zaidi....

Posted by Picasa

Hujan




air yang dari langit itu
siraman untuk bumi dan segala mahluknya
rahmat dari yang maha esa
biarkan apa taraf darjat manusia itu
atau alim zalimnya watak ia
tuhan tetap menurunkan hujan
sebagai rahmat
dan peringatan
buat kita renungkan
Posted by Picasa

Opah ( 2 )


Mengingati semula kenangan silam aku semasa kecil di tahun 60an, aku masih teringatkan bagaimana opahku hidup sebagai seorang tua di Kg Bukit Nangka, Lenggong, Perak. Di kalangan penduduk setempat, Opahku di kenali juga dengan panggilan Pah Bunde, Tok Ngah, Pek Bunde, Tok Su atau Mak Ngah. Dia amat dikenali kerana kebolehannya sebagai seorang dukun. Aku sendiripun pernah berubat dengan opahku semasa menghadapi masalah sakit dalam perut yang kronik pada tahun 1971.

Pada waktu itu, aku sering sakit perut dan mendapatkan rawatan di Klinik Angkatan Tentera di Kem Garisson Taiping. Kerana sakitku akan berulang semula, pada waktu cuti penggal persekolahan, ayahku telah membawa aku balik ke kampungku di Lenggong dan berubat dengan opahku. Pengubatannya hanya menggunakan selut dari sungai berhampiran dan selut dipuput pada bahagian perutku. Setelah beberapa hari menerima rawatan darinya, aku telah sembuh sepenuhnya dan hingga ke hari ini tiada lagi masalah sakit perut kronik itu berulang.

Satu lagi kepandaian opahku ialah mengubat orang yang ada penyakit barah. Macam tak percaya sahaja bunyinya, tetapi itulah realitinya. Aku sendiri pernah menyaksikan penduduk kampung datang dengan membawa telur ayam kampung. Opah kemudiannya menguli telur tersebut di bahagian yang sakit. Kemudiannya telur tersebut dipecahkan dan keluarlah darah kotor dari dalam telur tersebut.

Sebagai seorang kanak-kanak yang masih tidak mengerti hal-hal berkaitan dengan masyarakat kampung, aku tidak pernah melihat opahku mempunyai duit yang banyak hasil dari kerjanya sebagai dukun. Maklumlah mungkin kerana rata-rata orang yang datang berubat dengannya ialah orang kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Bayaran? Jangan haraplah nak dibayar lumayan. Setahu akupun hanyalah RM1.25 sahaja!Kadang-kadang orang yang datang ke rumah opah akan membawa buah tangan seperti biskut dan kuih. Sebagai cucu, aku amat suka kalau orang yang datang ke rumah opah membawa biskut kapit berkrim. Paling boring jika tetamu yang datang membawa biskut lemak (empat segi atau biskut mayat) atau biskut kapal (keras dan biasanya ada dibuat bubur).

Pernah beberapa kali ada orang yang datang menjemput opahku pada waktu tengah malam untuk berubat atau membidankan perempuan bersalin. Kesian juga aku lihat opah kadang-kadang terpaksa berjalan kaki di tengah kegelapan malam dengan hanya membawa pelita dan barang-barang keperluan perubatan. Tetapi itulah satu budaya yang amat aku sanjungi, berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengharapkan ganjaran. Tidak pernah aku dengar dari mulut opahku pernah meminta wang dari orang-orang yang dirawatnya. Semuanya hanya keikhlasan sahaja.

Arwah ayahku pernah menegur opah kerana kasihan melihat opah ke hulu dan ke hilir mengubat orang, tetapi ganjarannya tidak seberapa. Namun semuanya tidak diperdulikan oleh opah. Dia tetap menjalankan tanggungjawab sosialnya sehinggalah ia meninggal dunia pada tahun 1998, meninggal dalam tidur. Sesuatu yang hasus dicontohi oleh anak cucu, walau sakit dan uzur, namun sembahyang dan puasa tidak pernah ditinggalkan. Sewaktu meninggal dunia, tidak ada pun dia menderita demam atau penyakit lain. Mungkin Tuhan menyayanginya atas jasa-jasa yang pernah ditaburnya sepanjang hayat di dunia ini.

Aku agak terkilan kerana tidak dapaty balik menghadiri pengebumiannya kerana pada masa itu aku berada di Kelantan. Perjalanan sahaja sudah mengambil masa 8 ke 11 jam dengan berkereta. Namun aku tetap menghadiahkan al-fatihah kepadanya kerana itulah sahaja hadiah yang boleh diberikan kepadanya sehingga bila-bila. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Posted by Picasa

Opah ( 1 )



Opah, nenek, tok wan atau apa sahaja nama gelaran tetap membawa makna seorang perempuan tua yang telah lanjut usia, berambut putih umpama nenek kebayan dan badannya bongkok! Setinggi mana darjat dan pangkat, kaya atau miskin tetap akan menjadi opah. Lalu apabila sahaja sudah mendapat gelaran opah, tiada apa yang lebih membahagiakan selain dari merasai nikmat kasih sayang dari anak-anak dan juga cucu cicit.

Opah sebelah almarhum ayahku, Suyah Bt Lebai Kemala telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1998 semasa anak sulungnya iaitu abang bapaku yang tua telah berumur 98 tahun. Amat menakjubkan. Berapakah umur sebenar opahku itu? Apa yang pasti, anak sulungnya telah dilahirkan pada tahun 1900 dan meninggal dunia pada tahun 2004 di Seri Kinta, Ipoh Perak sewaktu berusia 104 tahun.

Sejarah hidup opahku.....

Seperti yang diceritakan kepada kami, opahku adalah dari keturunan Tengku Bendahara Sofian di tanah Mandiling, Sumatera. Ia adalah dari keturunan diraja. Setelah berlaku peperangan saudara di tanah Batak, moyangku, Jong Komolo telah berhijrah ke Tanah Melayu dan langsung menukarkan nama kepada Lebai Kemala. Sebagai seorang yang warak dan mengajar agama kepada masyarakat setempat di Lenggong, Perak, moyangku itu telah diambil bekerja sebagai mandor oleh pihak Inggeris di Grik. Malahan nama Grik itu sendiri adalah diberikan oleh moyangku berdasarkan cerita seekor haiwan dikenali sebagai dekang telah mengerik pohon buluh di mana moyangku berehat. Apabila ditanya tentang nama tempat itu oleh Pegawai Inggeris pada masa itu, Tuan Berkeley, lantas moyangku telah mengesyorkan nama Grik. Nama itu melekat hingga ke sekarang ini.

Sepanjang perkahwinan opahku dengan arwah datukku Hj Alwi, mereka telah dikurniakan anak-anak iaitu, Mohd. Yusof, Ashaari dan ayahku Abdul Wahid. Sebagai meneruskan kesinambungan darah pendidik, Mohd Yusof telah mendalami ilmu agama di tanah seberang dan kembali semula ke Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Semasa penaklukan Jepun, ia telah menjadi guru mengajar bahasa Jepun kepada anak-anak Melayu di Lenggong, Perak. Arwah bapa saudaraku itu berkebolehan bertutur dalam bahasa Arab, Thai, Belanda dan Jepun.

Bapa saudaraku Ustaz Mohd Yusof , pernah mengajar di Pattani dan Yala di Thailand sebelum lari ke Tanah Melayu kerana masalah dalam negeri di Thailand. Beliau kemudiannya telah mengajar di Sekolah Pondok Peringat di Kota Bharu, Kelantan, Salah seorang sahabat baiknya semasa di situ ialah Ustaz Hussin. Setelah kembali ke Perak, beliau telah berkhidmat di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh.

Setelah bersara, beliau masih aktif mengajar agama kepada masyarakat tempatan di sekitar Taiping, Semanggol, Ipoh dan sebagainya.

Anak kedua opahku, Almarhum Cikgu Ashaari amat dikenali di Lenggong, Grik dan Kuala Kangsar. Beliau bergiat aktif dalam politik tempatan sehingga ke akhir hayatnya. Sebagai seorang guru, beliau telah banyak menabur budi dan baktinya terhadap anak bangsa di Perak. Selain itu, bapa saudaraku ini juga amat rajin bercucuk tanam.

Dari kalangan 3 adik beradik, hanya ayahku sahaja yang berkhidmat sebagai tentera. Bermula pada tahun 1950 di Royal Signal, Singapura, ayahku, 450422 Abdul Wahid kemudiannya telah merantau ke pelbagai pelusuk tanahair untuk menabur bakti kepada negara. Setelah bersara dari tentera, ia kemudian telah berkhidmat di Telekom Malaysia bahagian Radio Depoh, Taiping. Orang tuaku ini telah meninggal dunia pada tahun 1992. Dan aku amat merasai kehilangannya hingga ke hari ini...
Posted by Picasa

Kenangan Masa Sekolah Rendah



Mak oi...hensemnya anak-anak bilis ini!!!! Inilah gambar kenangan aku semasa menjadi ahli Palang Merah pada tahun 1974 di Sekolah Rendah King Edward VII(2) Taiping. Kedua dua orang guru penasihat Palang Merah itu ialah Miss Teoh dan Encik Murugiah.Aku berdiri di barisan belakang di tempat ke 6 dari kiri gambar.

Semasa menganggotai persatuan ini, ada beberapa perkara lucu telah berlaku. Antaranya semasa menghadiri perayaan camp fire pada tahun itu, aku telah terlambat balik ke rumahku di berek tentera Salerno Line. Puaslah orangtuaku mencari aku, kebetulan pula ada berita pada masa itu bahawa seorang pelajar sekolah telah terbunuh dilanggar kereta dalam kemalangan berhampiran wad bersalin,Hospital Taiping. Maka habislah kecoh seluruh berek kerana mereka ingatgkan aku yang terlibat dalam kemalangan itu.

Bila melihat gambar ini, aku pasti akan terkenangkan rakan-rakan sekolahku yang entah ke manalah mereka sekarang ini. Salah seorang rakanku , Wan Nor Ali bin Hanafiah ( barisan hadapan no. 4 dari kiri) telah pun meninggal dunia kerana sakit. Manakala Rama Mahindran (berdiri di antara 2 orang guru) pula telah berhijrah ke Australia.

Apa pula khabarnya kedua-dua orang guru penasihat Palang Merah itu? Aku sendiri pun tidak tahu kedudukan mereka sekarang ini. Harap sesiapa yang mengenali atau mana-mana rakanku yang melihat gambar ini dan ingin berhubung, silalah hubungi e-mail
theriderinblack@yahoo.com.my. Hidup KE (King Edward)!!!

Posted by Picasa

Thursday, December 13, 2007

Seronoknya berenang


Memang menjadi amalanku, berenang di hujung minggu di mana-mana kolam renang yang ada di sekitar Lembah Klang. Anak-anakku yang paling terikut dengan hobi bapanya ini ialah Katherina Nurul Balkish @ Gege dan Emyly Nadia Syafinaz@Mimi. Memang mereka tidak akan melepaskan peluang berenang bersamaku sekiranya diajak ke kolam renang.

Dalam hal renang ini, aku mempunyai kisah yang tersendiri. Pada tahun 2006, aku dan anak-anak telah makan angin ke Thailand. Kami amat gembira bermain buaya di kolam renang di sana. Setelah pulang ke Malaysia, anakku Gege telah mengadu sakit perut. Pada mulanya kuingatkan sakit biasa. Pada jam lebih kurang 4.00am aku telah bawa anakku itu ke Hospital Sri Kota, Klang dan apa yang memeranjatkan ialah rupa-rupanya ependiks anakku telah pun pecah! Mujur juga aku cepat ke hospital. Kalau tidak...hanya tuhan sahaja yang tahu.

Walau bagaimanapun, bagi rakan-rakan yang sedang bercuti sekarang ini, cubalah aktiviti berenang bersama anak-anak bagi mengikat tali kekeluargaan yang lebih mesra di kalangan kita. Tapi berhati-hatilah sedikit kerana musim banjir sekarang ini macam-macam boleh terjadi.
Posted by Picasa

Mujur Tak Jadi Jenazah...


23/3/2007. Semasa aku pulang dari berenang di Kolam Renang Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, aku telah terserempak dengan kemalangan yang melibatkan sebuah van jenazah dan sebuah kereta Proton Waja tidak jauh dari Sek. Men. Keb. Tengku Ampuan Jemaah, Pelabuhan Klang. Kemalangan itu menyebabkan kesesakan sementara trafik di jalan berkenaan.

Apa yang menariknyanya ialah van jenazah itu telah 'tergolek dog' akibat rempuhan kuat dari Proton Waja berkenaan. Namun nasib baik tiada sebarang kecederaan serius berlaku terhadap pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan tersebut. Sesuatu yang menjadi tanda tanya pula ialah kenapakah tiada sebarang tukang tarik kereta yang berebut-rebut mahu menarik van jenazah tersebut?

Sepertimana biasa, ramai juga orang awam yang berhenti untuk menonton dan tidak kurang juga yang menulis sesuatu di tapak tangan...Hoiii kawan! Ingat sikit pada tuhan, kita belum tahu bila akan mati. Kalau masih gila nombor dan tidak mahu insaf, sendiri mau ingat, ok.

Posted by Picasa

Ghost Rider





Ha ha ha...sesekali seronok juga melihat filem mat saleh yang memang terang-terang temberang, tetapi dengan teknik sinematografi dan hasil kehalusan seni mereka, cerita yang karut marut pun nampak real!!!! Ini adalah salah satu filem yang aku tonton di mana amat menarik sekali pada pandanganku dan sesuai untuk melapangkan fikiran dari memikirkan perkara-perkara yang berat.

Jalan cerit yang amat mudah, plot yang tidak berbelit-belit, menjadikan filem ini sangat menarik pada amatanku. Kebetulan pula aku ni pun memang kaki menunggang, tidak kira motosikal, basikal atau kuda, menjadikan terasa seolah olah aku adalah GHOST RIDER itu! Apa pun berbalik semula ke alam realiti, aku adalah aku dan tetap sebagai 'theriderinblack.'
Posted by Picasa