Saturday, April 26, 2008
Tanggungjawab Masyarakat Memerangi Jenayah Masih Kurang
Seringkali kita mendengar rungutan daripada masyarakat berkenaan dengan kadar jenayah yang semakin meningkat dari hari ke sehari. Apabila gejala ini disebarkan menerusi saluran media massa, maka banyak pihak akan menunding jari kepada Polis, agensi penguat kuasa utama sebagai alat memerangi jenayah. Banyak pihak mempersalahkan pihak Polis atas peningkatan jenayah yang berlaku kebelakangan ini tetapi apakah fakta ini benar? Bolehkan pihak Polis sahaja yang dipersalahkan? Bagaimanakah peranan lain-lain agensi yang berkaitan dengan keselamatan dan penguatkuasaan?
Kita perlu akui bahawa sistem masyarakat kita memerlukan banyak perubahan yang lebih drastik sekiranya kita benar-benar hendak memerangi jenayah. Persoalannya adakah masyarakat kita sendiri sanggup memikul tanggungjawab sebagai salah satu daripada mekanisme ke arah memerangi jenayah itu? Dalam hal ini saya beranggapan bahawa sebahagian besar daripada kita masih belum bersedia untuk membabitkan diri kita secara aktif untuk mencapai matlamat jenayah sifar.
Saya tidak menafikan bahawa masyarakat kita amat bersopan santun dan sering bantu membantu antara satu sama lain. Tetapi dalam hal memerangi jenayah ini, masyarakat masih meletakkan tanggungjawab itu seratus peratus kepada pihak polis. Cuba kita bayangkan kalaulah semua masyarakat beranggapan sedemikian, apakah kesannya terhadap institusi sosial pada keseluruhannya nanti?
Saya pernah mengalami pengalaman di mana beberapa orang awam yang ditemui hanya buat tidak tahu sahaja apabila nampak berlakunya satu kejadian ragut di sebuah pasar malam tidak berapa lama dahulu. Sebahagian orang ramai yang berada berhampiran hanya menjadi penonton sahaja! Wayang percumalah katakan!
Jesteru itu minda kita perlulah berubah bermula dari sekarang. Kesedaran terhadap kerjasama memerangi jenayah perlu bermula dari komuniti yang kecil sehinggalah sampai ke peringkat masyarakat dalam negara keseluruhannya. Anak-anak perlu dididik untuk membentuk kesedaran ini sejak dari kecil lagi. Jadikan kesedaran sivik kita lebih bermakna bukan sahaja untuk keluarga kita tetapi juga untuk keseluruhan masyarakat.
Subscribe to:
Posts (Atom)