Mak oi...hensemnya anak-anak bilis ini!!!! Inilah gambar kenangan aku semasa menjadi ahli Palang Merah pada tahun 1974 di Sekolah Rendah King Edward VII(2) Taiping. Kedua dua orang guru penasihat Palang Merah itu ialah Miss Teoh dan Encik Murugiah.Aku berdiri di barisan belakang di tempat ke 6 dari kiri gambar.
Semasa menganggotai persatuan ini, ada beberapa perkara lucu telah berlaku. Antaranya semasa menghadiri perayaan camp fire pada tahun itu, aku telah terlambat balik ke rumahku di berek tentera Salerno Line. Puaslah orangtuaku mencari aku, kebetulan pula ada berita pada masa itu bahawa seorang pelajar sekolah telah terbunuh dilanggar kereta dalam kemalangan berhampiran wad bersalin,Hospital Taiping. Maka habislah kecoh seluruh berek kerana mereka ingatgkan aku yang terlibat dalam kemalangan itu.
Bila melihat gambar ini, aku pasti akan terkenangkan rakan-rakan sekolahku yang entah ke manalah mereka sekarang ini. Salah seorang rakanku , Wan Nor Ali bin Hanafiah ( barisan hadapan no. 4 dari kiri) telah pun meninggal dunia kerana sakit. Manakala Rama Mahindran (berdiri di antara 2 orang guru) pula telah berhijrah ke Australia.
Apa pula khabarnya kedua-dua orang guru penasihat Palang Merah itu? Aku sendiri pun tidak tahu kedudukan mereka sekarang ini. Harap sesiapa yang mengenali atau mana-mana rakanku yang melihat gambar ini dan ingin berhubung, silalah hubungi e-mail theriderinblack@yahoo.com.my. Hidup KE (King Edward)!!!
Friday, December 14, 2007
Kenangan Masa Sekolah Rendah
Thursday, December 13, 2007
Seronoknya berenang
Memang menjadi amalanku, berenang di hujung minggu di mana-mana kolam renang yang ada di sekitar Lembah Klang. Anak-anakku yang paling terikut dengan hobi bapanya ini ialah Katherina Nurul Balkish @ Gege dan Emyly Nadia Syafinaz@Mimi. Memang mereka tidak akan melepaskan peluang berenang bersamaku sekiranya diajak ke kolam renang.
Dalam hal renang ini, aku mempunyai kisah yang tersendiri. Pada tahun 2006, aku dan anak-anak telah makan angin ke Thailand. Kami amat gembira bermain buaya di kolam renang di sana. Setelah pulang ke Malaysia, anakku Gege telah mengadu sakit perut. Pada mulanya kuingatkan sakit biasa. Pada jam lebih kurang 4.00am aku telah bawa anakku itu ke Hospital Sri Kota, Klang dan apa yang memeranjatkan ialah rupa-rupanya ependiks anakku telah pun pecah! Mujur juga aku cepat ke hospital. Kalau tidak...hanya tuhan sahaja yang tahu.
Walau bagaimanapun, bagi rakan-rakan yang sedang bercuti sekarang ini, cubalah aktiviti berenang bersama anak-anak bagi mengikat tali kekeluargaan yang lebih mesra di kalangan kita. Tapi berhati-hatilah sedikit kerana musim banjir sekarang ini macam-macam boleh terjadi.
Mujur Tak Jadi Jenazah...
23/3/2007. Semasa aku pulang dari berenang di Kolam Renang Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, aku telah terserempak dengan kemalangan yang melibatkan sebuah van jenazah dan sebuah kereta Proton Waja tidak jauh dari Sek. Men. Keb. Tengku Ampuan Jemaah, Pelabuhan Klang. Kemalangan itu menyebabkan kesesakan sementara trafik di jalan berkenaan.
Apa yang menariknyanya ialah van jenazah itu telah 'tergolek dog' akibat rempuhan kuat dari Proton Waja berkenaan. Namun nasib baik tiada sebarang kecederaan serius berlaku terhadap pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan tersebut. Sesuatu yang menjadi tanda tanya pula ialah kenapakah tiada sebarang tukang tarik kereta yang berebut-rebut mahu menarik van jenazah tersebut?
Sepertimana biasa, ramai juga orang awam yang berhenti untuk menonton dan tidak kurang juga yang menulis sesuatu di tapak tangan...Hoiii kawan! Ingat sikit pada tuhan, kita belum tahu bila akan mati. Kalau masih gila nombor dan tidak mahu insaf, sendiri mau ingat, ok.
Ghost Rider
Ha ha ha...sesekali seronok juga melihat filem mat saleh yang memang terang-terang temberang, tetapi dengan teknik sinematografi dan hasil kehalusan seni mereka, cerita yang karut marut pun nampak real!!!! Ini adalah salah satu filem yang aku tonton di mana amat menarik sekali pada pandanganku dan sesuai untuk melapangkan fikiran dari memikirkan perkara-perkara yang berat.
Jalan cerit yang amat mudah, plot yang tidak berbelit-belit, menjadikan filem ini sangat menarik pada amatanku. Kebetulan pula aku ni pun memang kaki menunggang, tidak kira motosikal, basikal atau kuda, menjadikan terasa seolah olah aku adalah GHOST RIDER itu! Apa pun berbalik semula ke alam realiti, aku adalah aku dan tetap sebagai 'theriderinblack.'
Kenapa jadi begini?
Cuba kita lihat apa berlaku pada tandas awam ini? Ini adalah pemandangan tandas awam yang telah dibina oleh kerajaan di kawasan Gua Cha, Gua Musang, Kelantan. Gambar ini dirakamkan ketika saya bersama rakan menghabiskan cuti dengan mengembara di belantara Gua Musang bulan September lalu. Amat menyedihkan sekali kerana kalau pelancong asing melihat keadaan tandas yang maha daif ini, maka ini sudah tentu memberikan imej yang buruk terhadap masyarakat dan negara kita.
Apa pun, sama-samalah kita berfikir dan renung kembali, apa dah jadi dengan masyarakat kita.
Berek Tentera Salerno Line...Nostalgia Menyentuh Perasaan
Kunjunganku dan adik beradikku ke Kamunting, Taiping semasa cuti baru-baru ini amat bermakna sekali kepda kami sekeluarga. Maklumlah kerana inilah tempatnya kami dilahir dan dibesarkan. Kenangan ini menggembalikan ingatan kami kepada kedua orang tua yang telah meninggal dunia...dan juga kepada rakan-rakan semasa kecil dahulu dari tahun 1960an hingga penghujung 1970an.
Rumah nombor 4, Blok 6606 kekal dalam ingatan yang masih segar hingga ke hari ini. Di rumah inilah aku dan adik beradikku membesar dengan penuh disiplin dari orang tuaku. Kami belajar erti kesusahan dari rumah kecil ini. Di sinilah juga kami mula belajar bersosial dengan rakan-rakan seperti Cili, Cidin (2 beradik orang Negeri Sembilan) Azizan (orang Johor, ayahnya dari Kor Jurutera), Pak Itam dan adiknya Zahid @Zaid (bapanya dari Kor Jurutera, Zahid kalau tak salah aku kakinya cedera teruk akibat termasuk dalam crank basikal yang dikayuhnya tahun 1970). Juga tidak lupa ialah Adi (meninggal dunia kerana barah pada 1974...kalau tak salah)Keluarga Makcik Yah dan Pak Wan (Anaknya Ana telah menolak mukaku terkena ekzos mesin parut kelapa dan kesannya kekal hingga hari ini), Pakcik Man dan isterinya Makcik Mah (Anaknya Anuar, Pazli, Azu, Ita), Makcik Nah Temelong, Pak Rahman Medical (Anaknya Lan, Rosli, Ana, Rasul) dan beberapa nama lagi yang tak sempat dimasukkan.
Kenangan di sini juga mencakupi kenangan hitam di mana beberapa kematian telah berlaku terutama akibat operasi semasa memerangi pengganas komunis di tahun 1960an hingga 1970an. Setiap kali helikopter Nuri mendarat berhampiran Kem Woksyop di tepi berek ini, maka akan adalah mayat kaku diusung dengan pengusung. Entah siapalah yang dijemput kematian itu. Tapi yang pastinya adalah dikalangan jiran-jiranku atau setidak tidaknya mereka yang tinggal bersebelahan dengan berek Salerno Line ini seperti berek Denaro Line, Kelapa Line, Sangro Circle atau Drummond Hill.
Di sini satu ketikan dahulu meriah dengan jeritan kanak-kanak anak tentera, tetapi sekarang ini agak sunyi dan aman tenteram, mungkin kerana bilangan anggota tentera yang sedikit tidak seperti zaman negara bergelumang dengan ancaman pengganas komunis. Bagi keluarga bekas tentera yang pernah tinggal di kem garisson Taiping, sekiranya ada antara anda yang membaca blog ini atau ada di kalangan anda yang mengetahui rakan-rakan anda pernah tinggal di sini, harap dapatlah berhubung melalui blog ini bagi menjalin kembali kenangan ketika kita bersama-sama hidup membesar dalam keluarga perwira-perwira negara. Juga tidak lupa al-fatihah untuk mereka yang telah pergi untuk selamanya....
Indahnya suasana di Setia Alam
Kalau anda tinggal di sekitar kawasan Klang, Shah Alam atau Petaling Jaya, cubalah sekali sekala bawa keluarga anda ke Bandar Setia Alam yang terletak di sempadan antara Shah Alam dan Klang. Di kawasan perbandaran yang baru ini, terdapat sebuah tasik yang amat indah dan menarik dan sesuai dijadikan sebagai pusat bersantai bersama keluarga di hujung minggu. Apalagi bagi kaki pancing yang hardcore, ini tempatnya bagi anda mempamerkan kemahiran anda memancing ikan bujuk, haruan, toman dan talapia yang berkeliaran bebas di tasik ini.
Untuk memudahkan perjalanan anda, sekirannya anda dari Klang, anda hanya perlu masuk ke Jalan Meru dan teruskan perjalanan anda lebih kurang 7 minit dari bandar Klang. Bagi meereka dai KL pula anda boleh melalui NKVE dan sebelum sampai ke pintu tol Bukit Raja, anda akan bertemu dengan susur keluar ke Setia Alam.
Saya telah beberapa kali mengunjungi kawasan ini semata-mata utk berbasikal. Wow, kalau ada rakan-rakan yang sudi berbasikal dengan saya, inilah tempatnya yang akan menjadi syurga bagi kaki kaki basikal. Apa lagi yang anda semua tunggu. Jumpa di sana every Sunday morning. Bravo!!!!






