Sunday, May 11, 2008
BERAKSI DI BAGAN LALANG
Perjalanan dimulakan pada jam 0730 hrs dari stesyen Petronas Johan Setia, Jalan Banting, Klang dan sampai pada jam 0800hrs pada jarak lebih kurang 80km. Sepanjang perjalanan, aku dan Ari tidak banyak memecut sebab tujuan kami hanyalah untuk memanaskan badan sahaja.
Apa yang menyenangkan ialah perjalanan ini menjadi lancar dan tidak banyak kenderaan yang lalu lalang semasa perjalanan aku ini bermula. Cuma di beberapa lokasi sekitar dari Pantai Morib ke Bagan Lalang terdapat beberapa kawasan yang mempunyai bau busuk dari pusat peliharaan babi yang terdapat di sepanjang jalan yang kami lalui.
Sebaik sahaja sampai di Bagan Lalang, aku dan sahabatku lantas mencari 'port' untuk kami menjamu selera. Mujur ada gerai di tepi pantai yang menjual sarapan pagi. Aku dan Ari lantas memesan makanan dan minuman kegemaran kami, roti telur dan teh tarik kurang manis. Beberapa orang pengunjung gerai asyik memerhatikan kami berdua sahaja. Mungkin mereka tertarik dengan motosikal dan pakaian yang kami pakai. Maklumlah bukan selalu ada manusia yang datang dengan bermotosikal besar seperti yang aku dan Ari lakukan.
Aku amat berharap agar perjalanan ini akan menjadi satu panduan berguna untuk kami berdua apabila memulakan perjalanan ke Thailand dan Indonesia dengan bermotosikal nanti. Keadaan motosikal kami yang tip-top memungkinkan perjalanan akan datang menjadi lebih licin dan sempurna. Thailand....kami akan mengunjungimu di sana....
KEINDAHAN MENCENGKAM KALBU
Ah....sesekali aku menatap gambar ini
terasa jiwaku terubat
kreativiti manusia bergabung dengan anugerah Tuhan
bersatu dalam sebuah lukisan alam
di persada maya memukau jiwa
keindahan itu bukan milik sesiapa
hak itu adalah untuk semua
tanpa mengira batas bangsa, ugama, usia
atas nama kemanusiaan sejagat
ia milik kita bersama
bicara alam pada keindahan
adalah rayuan umpama sang kekasih
mencintai dan dicintai
dalam satu suara dan satu nada
untuk keabadian selamanya
(Moga tuhan sentiasa melindungi MAN dan aku ucapkan terima kasih atas foto indah darimu semasa kembaramu di Bali, Indonesia pada tanggal April 2008)
Friday, May 9, 2008
KEKANG JENAYAH...MASYARAKAT PERLU BERUBAH
Sebagai seorang rakyat yang prihatin terhadap isu-isu keselamatan, saya berpendapat sudah sampai masanya kita kita semua menggembeling tenaga ke arah mewujudkan suasana selamat bukan sahaja untuk diri kita dan keluarga kita sahaja tetapi juga untuk keseluruhan masyarakat yang tinggal di bumi Malaysia ini.
Persoalannya sekarang adakah masyarakat kita benar-benar serius dalam usaha ke arah memerangi jenayah? Kalau ada pun perasaan benci kepada jenayah dan penjenayah, adakah apa-apa usaha proaktif diambil ke arah itu ?
Berdasarkan kepada pengalaman saya, saya berpendapat penjenayah hanya akan melakukan jenayah seandainya mereka diberi peluang atau kesempatan ke arah itu. Kita tidak menyedari bahawa ada tindakan-tindakan kita yang boleh mengundang penjenayah melakukan jenayah. Contohnya salah satu daripada kes jenayah harta benda yang paling banyak berlaku adalah kecurian kenderaan. Cuba kita pergi ke tempat letak motosikal di pusat-pusat beli belah yang bertaburan di bandar-bandar besar. Adakah semua motosikal yang diletakkan itu mempunyai kunci tambahan? Mengapa motosikal yang dibeli dengan harga ribuan ringgit tidak dikunci dengan sempurna dengan menggunakan kunci tambahan yang beharga tidak sampai RM100?
Demikianlah juga dengan bantuan kita dari segi penyaluran maklumat kepada pihak Polis. Berapa ramaikah di antara kita yang benar-benar rasa bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Polis bagi membantu mereka memerangi jenayah? Saya amat memahami tugas dan tanggungjawab pihak Polis amat berat untuk menangani masalah jenayah ini. Tetapi dengan adanya anggota masyarakat yang membantu siasatan seperti memberikan maklumat -maklumat terperinci, saya rasa tugas Polis aka menjadi lebih senang dan berkesan.
Saya juga amat tertarik dengan beberapa perkara yang diamalkan di Eropah. Kanak-kanak kecil sentiasa dididik agar berhati-haati terhadap orang-orang yang tidak dikenali.Malahan anak-anak kecil di Amerika juga telah tahu untuk mendail nombor talian kecemasan sekiranya ada berlaku apa-apa perkara yang mencurigakan. Sedangkan kita di negara ini saya rasa masih tertinggal aspek seperti yang telah saya katakan tadi.
Memandangkan bilangan penduduk semakin bertambah dari hari ke sehari, ini secara langsung juga akan memberikan kita isyarat bahawa bilangan jenayah juga akan terus meningkat dari masa ke semasa. Oleh yang demikian itu, sudah sampai masanya untuk kita bersama-sama sedar dan mula bekerja sama dengan polis sekiranya kita tahu apa - apa maklumat yang boleh membantu ke arah penyelesaian kes. Simpanlah nombor telefon balai polis berhampiran untuk memudahkan kita menghubungi polis sekiranya ada berlaku sesuatu kejadian jenayah di depan mata kita.
Mulakanlah kerjasama kita memerangi jenayah dari komuniti yang kecil seperti kawasan perumahan atau sektor-sektor rukun tetangga. Jalinlah hubungan baik sesama jiran agar keakraban itu akan dapat melahirkan masyarat Malaysia yang lebih prihatin dalam isu-isu keselamatan dan kesejahteraan kita semua.
Saturday, April 26, 2008
Tanggungjawab Masyarakat Memerangi Jenayah Masih Kurang
Seringkali kita mendengar rungutan daripada masyarakat berkenaan dengan kadar jenayah yang semakin meningkat dari hari ke sehari. Apabila gejala ini disebarkan menerusi saluran media massa, maka banyak pihak akan menunding jari kepada Polis, agensi penguat kuasa utama sebagai alat memerangi jenayah. Banyak pihak mempersalahkan pihak Polis atas peningkatan jenayah yang berlaku kebelakangan ini tetapi apakah fakta ini benar? Bolehkan pihak Polis sahaja yang dipersalahkan? Bagaimanakah peranan lain-lain agensi yang berkaitan dengan keselamatan dan penguatkuasaan?
Kita perlu akui bahawa sistem masyarakat kita memerlukan banyak perubahan yang lebih drastik sekiranya kita benar-benar hendak memerangi jenayah. Persoalannya adakah masyarakat kita sendiri sanggup memikul tanggungjawab sebagai salah satu daripada mekanisme ke arah memerangi jenayah itu? Dalam hal ini saya beranggapan bahawa sebahagian besar daripada kita masih belum bersedia untuk membabitkan diri kita secara aktif untuk mencapai matlamat jenayah sifar.
Saya tidak menafikan bahawa masyarakat kita amat bersopan santun dan sering bantu membantu antara satu sama lain. Tetapi dalam hal memerangi jenayah ini, masyarakat masih meletakkan tanggungjawab itu seratus peratus kepada pihak polis. Cuba kita bayangkan kalaulah semua masyarakat beranggapan sedemikian, apakah kesannya terhadap institusi sosial pada keseluruhannya nanti?
Saya pernah mengalami pengalaman di mana beberapa orang awam yang ditemui hanya buat tidak tahu sahaja apabila nampak berlakunya satu kejadian ragut di sebuah pasar malam tidak berapa lama dahulu. Sebahagian orang ramai yang berada berhampiran hanya menjadi penonton sahaja! Wayang percumalah katakan!
Jesteru itu minda kita perlulah berubah bermula dari sekarang. Kesedaran terhadap kerjasama memerangi jenayah perlu bermula dari komuniti yang kecil sehinggalah sampai ke peringkat masyarakat dalam negara keseluruhannya. Anak-anak perlu dididik untuk membentuk kesedaran ini sejak dari kecil lagi. Jadikan kesedaran sivik kita lebih bermakna bukan sahaja untuk keluarga kita tetapi juga untuk keseluruhan masyarakat.
Sunday, March 2, 2008
Queen Of Langkasuka
Suatu kisah yang manarik! Walaupun saya masih belum menyaksikan filem epik tentang kerajaan Melayu tua, Langkasuka, tetapi daripada klip video yang telah saya saksikan, saya dapat merasakan filem ini bakal akan mendapat sambuatan yang menggalakkan daripada peminat-peminat filem bukan sahaja di Thailand, tetapi juga di Malaysia.
Menariknya filem ini pandangan saya ialah, ia dihasilkan oleh rakyat Thai dan bukannya oleh orang Melayu sendiri. Adakah pembuat-pembuat filem di Malaysia sudah kehilangan atau ketandusan idea? Apakah mereka masih lagi dibuai dengan tema-tema percintaan sudah jelak untuk dilihat oleh peminat-peminat filem tempatan? Adakah mereka masih lagi mahu menyogok rakyat dengan filem -filem yang standarnya boleh dikatakan 'syok sendiri' sahaja?

Kalaulah anda berpeluang menonton filem tersebut yang akan ditayangkan di pawagam kita nanti, jangan lupa untuk berkongsi pengalaman anda dengan rakan-rakan dan peminat-peminat filem yang lain. Lihatlah betapa indahnya satu hasil karya seni rakyat asing yang memaparkan budaya Melayu yang kita sendiri tidak melihatnya dari sudut yang sepatutnya kita lihat.
Saya pastinya tidak akan melepaskan peluang menyaksikan filem ini nanti. Malah apa yang paling saya nantikan ialah untuk merasai dan berkongsi perasaan bagaimana keadaan semasa kegemilangan kerajaan Langkasuka suatu ketika dahulu. Bangga rasanya bila mengenangkan suatu ketika dahulu, bangsa Melayu sudah mempunyai kerajaan yang bertamadun dan pernah menjajah sehingga ke Indo-China.......
Monday, February 11, 2008
Bidadari dari langit!!!
Pada suatu malam di tahun 2007, bertempat di Bandar Bukit Tinggi Klang, aku telah berkesempatan merakamkan satu aksi daripada seorang bidadari yang turun dan melayang-layang di awangan. Aku amat teruja dengan kecantikan dan kemahiran bidadari itu. Ramai juga orang yang telah berkesempatan melihat bidadari itu terawang-awangan di Bandar Bukit Tinggi Klang. Namun apa yang sebenarnya dipaparkan itu ialah satu persembahan daripada pasukan sarkas The Royal London Circus, di Klang, Selangor.....
Saturday, February 9, 2008
Meriahnya kedai judi
Aku yang kebetulan lalu di hadapan kedai itu kemudiannya terpaksa memberhentikan kereta kerana rakanku yang sama-sama dalam kereta ini juga mahu 'membeli nombor' di kedai tersebut. Entahlah aku pun tak tahu nak kata apa lagi terhadap masyarakat kita pada hari ini. Bukankah lebih baik wang yang akan digunakan untuk membeli nombor itu digunakan untuk tujuan yang lebih mulia. Janganlah baxirkan wang untuk sesuatu yang masih belum pasti.
Satu lagi persoalan yang bermain di dalam kepalaku ialah, sedarkah kaki-kaki judi ini betapa peluang mereka untuk menang adalah teramat amat tipis. Yang pasti, mereka yang akan mengaut keuntungan ialah taukeh-taukeh dan operator kedai-kedai nombor itu. Walaupun premis mereka tersorok nun diceruk gunung atau hutan banat sekalipun, ia tetap akan mendapat kunjungan ramai daripada penagih-penagih nombor ini.
Kalau kita pernah didedahkan dengan kempen anti dadah dan anti rokok, adakah kita semua bersedia untuk berkempen anti judi???? Atau mungkinkah kita perlu ubah istilah judi kepada 'najis judi?' Tepuk dada tanya selera!!!





