Sunday, November 2, 2008

BELIBIS OH BELIBIS

Inilah salah satu pandangan di tasik buatan manusia, aku namakannya Tasik Belibis!

Semalam, 1/11/2008, aku bersama dengan anak-anakku telah membawa beberapa peralatan ringkas untuk melakukan aktiviti birdwatching. Dengan menggunakan kenderaan Hilux, kami berempat beranak telah membuat tinjauan sekitar Pulau Belibis dan berjaya melihat aktiviti sepasang belisbis yang sedang berehat di pulau tersebut
Anakku Emyly @ Mimi begitu tekun menggunakan teropong untuk mencari lokasi di mana terdapat burung-burung hinggap dan bermain di sekitar tasik.
Ini adalah salah seekor belibis yang dapat aku rakamkan dengan hanya menggunakan digital kamera Canon dan difokus terus ke dalam teropong untuk mendapatkan pandangan yang lebih dekat.
Foto di atas ialah sepasang belibis sedang berehat dan kemungkinan memandang ke arah aku dan anak-anakku!

Memang aku amat berpuas hati dapat memerhatikan burung belibis yang sedang berehat itu. Bukan mudah sekarang ini untuk melihat apatah lagi merakamkan gambar belibis secara live. Tetapi mungkin kerana rezekiku telah ada maka dsapatlah aku dan anak-anakku melihat kelibat belibis berkenaan.

Bukan suatu perkara yang sukar untuk melihat belibis di Setia Alam. Cuma yang perlu ada hanyalah peralatan ringkas yang minima , sedikit ketabahan dan disiplin diri yang tinggi. Jangan melakukan perbuatan yang boleh menakutkan belibis dan burung-burung liar yang lain. Jangan membaling batu atau riuh rendah semasa melakukan aktiviti birdwatching ini.

Bagi diri aku sendiri, kekerapan aku berbasikal di kawasan Setia Alam telah menjadikan jiwa aku bertambah sayang dan menghargai anugerah Tuhan kepada aku dan umat yang lain. Terima kasih Tuhan............
Posted by Picasa

SETIA ALAM-SYURGA BARU HIDUPAN PAYA

Pada 28/10/2008 dan 31/10/2008 yang lalu, aku telah berkesempatan membuat kayuhan basikal di kawasan bandar baru Setia Alam yang terletak kira-kira 5 minit perjalanan dari Klang Selangor. Kayuhan secara solo itu aku lakukan semata-mata untuk beriadah dengan basikal mountainbike Cannondale F7 kesayanganku.

Dalam kesempatan kayuhan itu, aku sempat melemparkan pandanganku ke arah beberapa tasik buatan dan tasik semulajadi yang terdapat di kawasan itu. Memang sebelum inipun aku pernah berbasikal di kawasan itu tetapi hanya bertemu dengan kawanan burung pucong, ayam-ayam, wak-wak dan bangau. tetapi pada kali ini, aku menjadi bertambah seronok apabila dapat memerhatikan kekawanan burung belibis bebas berenang bersama dengan anak-anaknya.
Wah! Bila amenyedari sahaja terdapat burung belibis di kawasan tersebut, aku terus pulang ke rumah dan mengambil teropong Nikon kepunyaanku dan datang semula pada petang harinya untuk melihat secara lebih jelas beburung yang terdapat di sekitar kawasan itu. Memang benar aku amat bernasib baik kerana dapat melihat kawanan burung belibis berenang renang mencari makan di pinggir tasik tersebut.
Selain daripada itu aku juga berkesempatan melihat dan mengambil gambar burung bangau yang aku rasakan agak jinak berbanding dengan burung belibis. Yeah....aku berpuas hati dengan suasana di sekitar kawasan Seri Alam itu. Memang buat masa sekarang ini, tempat tersebut amat sesuai untuk aktiviti birdwatching dan juga berbasikal. Sekirannya cuaca baik, jangan lepaskan peluang menyaksikan burung-burung liar yang bebas berterbangan dan berenang di beberapa tasik di sana. Tetapi jangan lupa, jagalah disiplin sendiri. Jangan menganiaya dan menakutkan fauna yang terdapat di sana. Cara paling terbaik untuk melihat beberung di sana ialah dengan berbasikal!!!!!!!! Ayuh kita berbasikal!!!!!!!!
Posted by Picasa

Saturday, November 1, 2008

PROTON BUAT HAL LAGI

Sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian kereta Proton Perdana buat hal. Kali ini pada hari Jumaat 31 Oktober kelmarin di mana kereta Proton Perdana yang dipandu oleh M.Moneygaran yang membawa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie LIu menghadapi masalah yang serius.
Kereta berkenaan yang dipandu dari Rimba Jaya, Shah Alam ke Serdang pada jam 8.30 malam, tiba-tiba telah terbuka bonet hadapannya menyebabkan cermin hadapan telah pecah dan sedikit kerosakan telah berlaku pada bumbungnya.
Ekoran daripada kejadian itu, Ronnie yang juga merupakan ADUN Pandamaran telah meluahkan rasa kecewa dan mahukan supaya semua Exco berbincang mengenai keputusan untuk menukar kenderaan rasmi Exco dan mencadangkan agar kereta Toyota Camry diberi pertimbangan sebagai kenderaan rasmi nanti.

Berhubung perkara ini, saya sendiri antara yang mereka yang pernah mengalami kekecewaan dengan mutu kereta Proton yang saya rasakan amat rendah. Sepatutnya perkara ini telah tidak berlaku lagi memandangkan usia Proton yang telahpun matang. Namun tiada siapa yang mahu ambil peduli tentang mutu kereta nasional itu.
Saya tidak hairan jika Proton hilang kepercayaan pengguna di peringkat global kerana di peringkat nasional sendiri, kepercayaan terhadap mutu kenderaan tersebut masih dipertikaikan. Pihak Proton sepatutnya mengambil langkah yang maksimum untuk memastikan kawalan mutu kereta nasional itu mematuhi standard yang sepatutnya.
Saya amat faham, jika ada pihak yang mempertikaikan mutu kereta nasional itu, maka ramailah yang akan mempertahankannya dengan pelbagai alasan,kononnya mutu kereta itu adalah setanding dengan pengeluar kereta antarabangsa yang lain.
Proton patut menoleh semula ke belakang melihat apakah kekurangan yang mereka ada dan menanamkan semula kepercayaan masyarakat terhadap kereta keluarannya. Tidak ada gunanya kita menggunakan kenderaan nasional itu sekiranya mutunya masih ditakuk lama. Berubahlah sementara masa masih ada. Saya khuatir suatu hari nanti, Proton akan tinggal nama dan sejarah sahaja. Ambillah langkah segeran bermula dari sekarang juga.

Tuesday, October 21, 2008

PANGKAT DATUK YANG SEMAKIN HILANG NILAINYA

Negara dikejutkan baru-baru ini gara-gara kerajaan negeri Melaka dengan murah hati telah mengurniakn gelaran Datuk kepada bintang filem Hindustan, Shah Rukh Khan(SRK). Aku sendiri pun terkejut beruk dibuatnya.Entahlah, aku sendiri pun tidak nampak apakah jasa-jasa RKH sehingga perlu diberikan gelaran Datuk kepadanya.

Terus terang aku katakan bahawa aku sendiri seratus peratus tidak setuju dengan penganugerahan itu. Malahan maruah bangsa dan negara aku rasa tercabar dengan tindakan yang memang aku rasa amat tidak patut itu.

Alasan yang aku dengar kononnya penganugerahan itu adalah kerana jasa SRK memperkenalkan negeri Melaka kepada dunia melalui perfileman....poraaahhhh!!!!! Hah..hah..hah... Langsung tiada harga gelaran Datuk sekarang ini!

Malahan aku semakin meluat apabila mendapat tahu bahawa SRK sendiri telah tidak hadir untuk menerima pingat tersebut, bak kata Guan Seng, apek tua peniaga mini market di Batang Berjuntai, "talak lespek lol."

Bagi diri aku sendiri, aku rasakan mereka yang lebih layak menerima anugerah Datuk itu antaranya ialah:
1. Pakcik Karim tukang beca.
Beliau telah banyak berjasa membawa pelancong dalam dan luar negeri mengelilingi bandaraya Melaka sehinggakan Melaka urut di kenali di serata dunia sebagai tempat pelancongan bertaraf dunia.
2. Arwah Cikgu Kamariah binti Abdul Rahman
Semasa hayatnya, beliau yang mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, telah banyak mencurahkan bakti untuk negera bagi mendidik dan melahirkan generasi Malaysia yang cemerlang. Beliau pernah mengajar ibuku dan juga adikku sehingga menjadi manusia yang berjaya sekarang. Bab ini aku rasa SRK kalah dengan arwah ini!!!!

3. Pakcik Aziz bekas askar
Beliau pernah berkhidmat dalam Regiment Askar Melayu Diraja di Taiping. Setelah beliau bersara, beliau telah menjawat jawatan sebagai Pengawal Keselamatan di Kilang Mafipro, Taiping. Sepanjang tempoh berkhidmat seba gai Pengawal Keselamatan, beliau telah berapa kali menolong orang-orang yang terlibat dalam kemalangan di depan kilang tersebut.
4. Kak Nab Janda...
5 Maniam tukang sapu
6. Apek ...entah ape namenya aku lupe...pemilik kedai keranda!!!
Dan banyaklah lagi senarai nama...dan yang tiadanya hanyalah nama Shah Rukh Khan...eehhh maaf, Datuk Shahrukh Khan!!

Tuesday, October 7, 2008

PATUNG-PATUNG

Lucu dan amat melucukan sekali bila aku membaca berita dalam akhbar tentang kekecohan replika Anwar Ibrahim di Batu Caves. Akhbar-akhbar telah memberikan tumpuan terhadap isu tersebut dan pelbagai andaian telah dibuat.

Aku bukan menyokong sesiapa, tetapi aku juga mencadangkan akhbar-akhbar supaya mendedahkan semua imej-imej PATUNG-PATUNG yang berada di negara kita, tidak kiralah Tugu Peringatan Negara, replika pemimpin-pemimpin politik yang bertaburan dan apa-apa sahajalah.Macamlah tiada isu-isu lain yang hendak dimomok momokkan.

Banyak lagi isu-isu yang boleh diketengahkan oleh akhbar di negara kita ini, tetapi tidak diendahkan. Isu kenaikan harga barangan, isu kemiskinan di luar bandar, isu jenayah yang meningkat, masalah pendatang haram dan pelbagai lagi isu-isu yang menyentuh masalah sosial di negara ini.

Memang aku bosan membaca akhbar terutama akhbar berbahasa Melayu semenjak dua menjak ini. Banyak sangat memuatkan isu politik yang tidak seimbang. Naik menyampah aku terhadap akhbar-akhbat Melayu. Nasib baiklah anak bini aku pandai membaca Cina. Jadi akhbar Cinalah yang menjadi pilihan kami....kah..kah.

Sebagai negara bebas, biarlah apa yang hendak dilakukan oleh rakyat itu tidak dihalang selagi perbuatan itu tidak melanggar undang-undang. Kita perlu berfikiran kritis dan kreatif. Suburkan minda rakyat dan jangan belenggu kebebasan berfikir rakyat.

BILA HARGA BARANG HENDAK TURUN?

Pagi ini, selepas selesai sembahyang subuh, aku termenung seketika.....Dalam benakku terlontar soalan, harga minyak sudah diturunkan 2 kali, tetapi kenapa harga barang masing tidak turun-turun. Teringat aku, pagi semalam aku ke pasar Klang ,mak ooiiiiii...harga peha ayam RM9.00 sekilogram!!!

Ini sudah melampau. Bila harag minyak naik sahaja, walaupun 1 sen, harga barang akan berduyun-duyun naik. Apa lagi kalau harga minyak naik berganda-ganda. Tapi bila harga minyak turun, harga barang-barang langsung tiddak turun. Apakah alasan kaum peniaga @ kaum kapitalis berhubung masalah ini. Memang yang menjadi teruknya ialah kehidupan golongan bawahan terutama mereka yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kerajaan perlu melihat permasaalahan ini dengan teliti dan segera. Aku dah muak dengar perkataan 'pantau, pantau, pantau....', habuk pun tarak!!!

Aku melihat isu harga barang ini leih menguntungkan peniaga-peniaga kaya yang mana rata-rata mereka ini mendapat laba yang besar hasil dari kenaikan harga barang-barang. Pak Menteri yang berkaitan juga mungkin tidak merasa kesan kenaikan harga barang ini tetapi bayangkanlah orang yang makan gaji, penoreh, kuli, posmen, pengawal keselamatan, polis, tentera dan sebagainya. Sengsara yeop!

Sehingga saat ini aku masih tidak nampak usaha-usaha positif dilakukan untuk mengekang kenaikan harga barangan ini. Pihak-pihak yang berkaitan masih mendiamkan diri. Adakah mereka perlu menunggu sehingga harga sekilo ikan kembong menjadi RM18.00? Atau harga daging beku import menjadi RM20.00? Anda yang berada di atas sana perlu turun ke bawah melihat kesengsaraan rakyat yang menanggung padah kenaikan harga barang yang langsung tidak terkawal ini. Turunlah ke bawah, tunjukkan sikap prihatin anda, jangan tunggu musim pilihanraya sahaja baru anda hendak tunjukkan keprihatinan anda.

Monday, October 6, 2008

SELAMAT HARI RAYA IDILFITRI 2008


Alhamdulillah, setelah agak lama berdiam diri maka pada hari baik dan bulan baik ini, jari jemariku mula menari-nari di atas keyboard komputerku. Aku ingin coretkan Selamat Hari Raya Idilfitri, maaf zahir batin ,khusus ditujukan kepada semua waris Lebai Kemala tidak kira di mana sahaja mereka berada.
Tidak lupa juga ingin aku memberitahu kalian semua bahawa jika tiada aral melintang, pada tanggal 28 Disember 2008 ini, satu lagi pertemuan bersejarah keluarga waris Lebai Kemala akan diadakan di Tasik Raban, Lenggong. Di sini aku ingin mengambil kesempatan menjemput kalian semua untuk menghadirkan diri di perjumpaan kali ke 2 yang bakal diadakan itu.
Gambar di atas adalah gambar kenangan yang aku rakamkan di rumah Paklang Isa iaitu anak kepada Tok Wak Majid, di rumah Paklang di Kg Bukit Nangka, Lenggong pada Hari Raya ke 2 yang lalu. Subjek yang berada di hadapan sekali (bercermin mata) itu ialah anak Paklang ,Borhan atau mesra dipanggil Abang Bob.Manakala di belakang beliau pula ialah Kak Mala, bersebelahan Kak Mala ialah Paklang Isa, Maklang, Kak Da, Sabrina (anak Idan) Tira, Fairuz, Idan dan anak lelakinya Irshad.
Duduk dari kiri ke kanan ialah Bustamim (anak Paklang) Abang Zul (ha ha ha, lu reallah macam Dato Mufti Bukit Nangka!) AKU sendiri, anak Abang Zul (Adoi..lupa nama plak..sorry) dan Abang Bob.
Posted by Picasa