Thursday, December 13, 2007

Kenapa jadi begini?


Cuba kita lihat apa berlaku pada tandas awam ini? Ini adalah pemandangan tandas awam yang telah dibina oleh kerajaan di kawasan Gua Cha, Gua Musang, Kelantan. Gambar ini dirakamkan ketika saya bersama rakan menghabiskan cuti dengan mengembara di belantara Gua Musang bulan September lalu. Amat menyedihkan sekali kerana kalau pelancong asing melihat keadaan tandas yang maha daif ini, maka ini sudah tentu memberikan imej yang buruk terhadap masyarakat dan negara kita.

Apa pun, sama-samalah kita berfikir dan renung kembali, apa dah jadi dengan masyarakat kita.
Posted by Picasa

Berek Tentera Salerno Line...Nostalgia Menyentuh Perasaan




Kunjunganku dan adik beradikku ke Kamunting, Taiping semasa cuti baru-baru ini amat bermakna sekali kepda kami sekeluarga. Maklumlah kerana inilah tempatnya kami dilahir dan dibesarkan. Kenangan ini menggembalikan ingatan kami kepada kedua orang tua yang telah meninggal dunia...dan juga kepada rakan-rakan semasa kecil dahulu dari tahun 1960an hingga penghujung 1970an.

Rumah nombor 4, Blok 6606 kekal dalam ingatan yang masih segar hingga ke hari ini. Di rumah inilah aku dan adik beradikku membesar dengan penuh disiplin dari orang tuaku. Kami belajar erti kesusahan dari rumah kecil ini. Di sinilah juga kami mula belajar bersosial dengan rakan-rakan seperti Cili, Cidin (2 beradik orang Negeri Sembilan) Azizan (orang Johor, ayahnya dari Kor Jurutera), Pak Itam dan adiknya Zahid @Zaid (bapanya dari Kor Jurutera, Zahid kalau tak salah aku kakinya cedera teruk akibat termasuk dalam crank basikal yang dikayuhnya tahun 1970). Juga tidak lupa ialah Adi (meninggal dunia kerana barah pada 1974...kalau tak salah)Keluarga Makcik Yah dan Pak Wan (Anaknya Ana telah menolak mukaku terkena ekzos mesin parut kelapa dan kesannya kekal hingga hari ini), Pakcik Man dan isterinya Makcik Mah (Anaknya Anuar, Pazli, Azu, Ita), Makcik Nah Temelong, Pak Rahman Medical (Anaknya Lan, Rosli, Ana, Rasul) dan beberapa nama lagi yang tak sempat dimasukkan.

Kenangan di sini juga mencakupi kenangan hitam di mana beberapa kematian telah berlaku terutama akibat operasi semasa memerangi pengganas komunis di tahun 1960an hingga 1970an. Setiap kali helikopter Nuri mendarat berhampiran Kem Woksyop di tepi berek ini, maka akan adalah mayat kaku diusung dengan pengusung. Entah siapalah yang dijemput kematian itu. Tapi yang pastinya adalah dikalangan jiran-jiranku atau setidak tidaknya mereka yang tinggal bersebelahan dengan berek Salerno Line ini seperti berek Denaro Line, Kelapa Line, Sangro Circle atau Drummond Hill.

Di sini satu ketikan dahulu meriah dengan jeritan kanak-kanak anak tentera, tetapi sekarang ini agak sunyi dan aman tenteram, mungkin kerana bilangan anggota tentera yang sedikit tidak seperti zaman negara bergelumang dengan ancaman pengganas komunis. Bagi keluarga bekas tentera yang pernah tinggal di kem garisson Taiping, sekiranya ada antara anda yang membaca blog ini atau ada di kalangan anda yang mengetahui rakan-rakan anda pernah tinggal di sini, harap dapatlah berhubung melalui blog ini bagi menjalin kembali kenangan ketika kita bersama-sama hidup membesar dalam keluarga perwira-perwira negara. Juga tidak lupa al-fatihah untuk mereka yang telah pergi untuk selamanya....
Posted by Picasa

Indahnya suasana di Setia Alam

Kalau anda tinggal di sekitar kawasan Klang, Shah Alam atau Petaling Jaya, cubalah sekali sekala bawa keluarga anda ke Bandar Setia Alam yang terletak di sempadan antara Shah Alam dan Klang. Di kawasan perbandaran yang baru ini, terdapat sebuah tasik yang amat indah dan menarik dan sesuai dijadikan sebagai pusat bersantai bersama keluarga di hujung minggu. Apalagi bagi kaki pancing yang hardcore, ini tempatnya bagi anda mempamerkan kemahiran anda memancing ikan bujuk, haruan, toman dan talapia yang berkeliaran bebas di tasik ini.

Untuk memudahkan perjalanan anda, sekirannya anda dari Klang, anda hanya perlu masuk ke Jalan Meru dan teruskan perjalanan anda lebih kurang 7 minit dari bandar Klang. Bagi meereka dai KL pula anda boleh melalui NKVE dan sebelum sampai ke pintu tol Bukit Raja, anda akan bertemu dengan susur keluar ke Setia Alam.

Saya telah beberapa kali mengunjungi kawasan ini semata-mata utk berbasikal. Wow, kalau ada rakan-rakan yang sudi berbasikal dengan saya, inilah tempatnya yang akan menjadi syurga bagi kaki kaki basikal. Apa lagi yang anda semua tunggu. Jumpa di sana every Sunday morning. Bravo!!!!

Posted by Picasa

Wednesday, June 6, 2007

Alahai...Kedai Makan Melayu.....

Suatu perkara yang amat malang jika melihat kepada pencapaian perniagaan kaum bumiputera di negara kita pada hari ini.Masih jauh tertinggal jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Bukan niat hendak memperkecilkan penmcapaian bangsa sendiri, tetapi tulisan ini adalah ibarat cubit-cubit sayang. Apa yang dicubit dan apa yang disayang? Inilah yang hendak diketengahkan.



Pada hari ini 6/7/07 jam lebih kurang 3.00 petang, saya telah singgah disebuah gerai menjual makanan kepunyaan orang Melayu yang terletak betul-betul di tepi lebuh raya Puchong-USJ semata mata hendak mencuba mee rebus di gerai ini yang dikatakan sedap oleh kawan-kawan saya. Sebaik sahaja tiba di sana, saya terus memberhentikan motosikal saya dan masuk ke dalam gerai itu dan duduk. Saya kemudiannya menunggu kalau-kalau ada sesiapa akan datang bertanyakan menu yang saya kehendaki. Setelah beberapa minit, masih tidak ada orang yang sudi datang ke meja saya mengambil pesanan.

Saya terus menunggu kerana mungkin ada lebih kurang 6 pelanggan lagi sedang menunggu pesanan mereka. Sesekali saya nampak pekerja gerai itu ada menjeling ke arah saya sambil menyiapkan makanan untuk pelanggan yang terdahulu. Saya semakin hilang kesabaran kerana mereka seolah olah tidak nampak kehadiran saya di gerai tersebut. Terfikir juga saya mungkin ilmu saya 'menjadi' sehingga seorang pun tidak nampak kehadiran saya.

Akhirnya setelah hampir 20 minit menjadi kera sumbang, saya mengambil kesempatan 'blah' dari gerai itu. Apa yang pasti pengalaman pahit ini mengulangi apa yang telah berlaku pada diri saya ketika berada di gerai milik bangsa saya sendiri. Sikap peniaga-peniaga Melayu ini amat merugikan bangsa Melayu sendiri. Apa tidaknya, sepatutnya pelanggan tidak seharusnya dibiarkan lari kerana inilah sumber rezeki untuk mereka. Rezeki mereka datang dari pelanggan, maka pelanggan tidak seharusnya dibiarkan pergi begitu sahaja.

Keadaan seperti ini jarang berlaku di kedai-kedai India, Mamak atau kedai Cina. Tidak keterlaluan jika dikatakan, sekiranya ada kedai mamak bersebelahan dengan kedai makan Melayu, maka kedai Melayu tadi akan menerima nasib yang amat buruk! Cuba perhatikan keadaan di kedai Mamak. Belum sempat pun pelanggan duduk, pelayan kedai akan terus bertanyakan order. Malahan cara kerja mereka juga begitu pantas tidak seperti mana yang berlaku di kedai Melayu yang sebahagian besarnya ....alahai....cak pung, cak pung....lemah gemalainya mereka!!!!

Itu tidak termasuk lagi kalau suruh kira selepas selesai menjamu selera. Maka akan tolak menolaklah diantara pelayan-pelayan tersebut untuk mengira sehingga pelanggan pun kadang-kadang naik meluat. Apa tidaknya, suruh kira segelas air sirap, dua cawan teh, sepinggan mee goreng, sepinggan rojak dan sebiji pisang pun nak gunakan kalkulator! Itu belum lagi kalau pelanggan ramai datang serentak. Maka akan kelam kabutlah macam diserang angkatan perang Jepun.Lain diminta, lain yang diberi. Aduh...perangai ini masih tak hilang-hilang. Bilalah nak berubah.

Kita kena siasat di mana kelemahan yang ada itu dan perlu fikirkan langkah-langkah untuk membendungnya.Janganlah nanti tiada lagi gerai dan restoran Melayu di kawasan bandar-bandar besar, semuanya pupus lantaran tiada pelanggan lagi yang berani makan di situ. Siasatlah kelemahan diri bangsa Melayu khususnya peniaga Melayu. Perbaiki kelemahan diri dan jangan malu belajar dari orang lain yang telah jauh meninggalkan kita.

Monday, June 4, 2007

Kenapa Pasukan Bolasepak Malaysia Sekarang Ini Malap?

Amat dukacita sekali apabila saya bersama dengan rakan-rakan berbicara tentang dunia bolasepak negara yang semakin hari semakin tenat. Apa nak jadi? Apa dah jadi? Era kegemilangan kita sudah berakhir?

Baru hari Ahad 3/6/2007, semasa dalam perjalanan balik dari Taiping ke Klang, saya telah berbincang dengan salah seorang bekas pemain bolasepak Selangor yang sempat menikmati era kegemilangan bolasepak negara di tahun 70an dan 80an. Sepanjang perjalanan dari Simpang Pulai hingga ke Klang, kami telah menyentuh topik ini sehingga adakalanya kami tidak dapat menahan rasa geram dan marah terhadap apa yang telah berlaku terhadap maruah bolasepak negara.

Sampai satu ketika, beliau telah menyentuh satu program bicara dalam tv3 tidak lama dahulu di mana dalam salah satu bicara, telah diberi kesempatan kepada wira negara, Santokh Singh untuk meluahkan perasaannya terhadap isu. Apa yang amat terkejut, Santokh dengan berani telah menempelak pemain-pemain muda sekarang sebagai tiada semangat patriotik, lemah dan tiada semangat. Malahan Santokh sendiri telah meluahkan geramnya dengan berkata,"kalaulah pemain-pemain sekarang bermain dengan pemain-pemain negara masa lalu, tidak keterlaluan kami boleh belasah mereka 20 - 0."

Nah! Itulah satu kenyataan yang amat tepat terhadap pemain negara sekarang ini. Lembik malahan saya ingin meminjam kata-kata seorang peminat bolasepak yang kontroversial baru-baru ini... " pemain negara macam pondan!"

Hairannya semasa era 70an, pemain-pemain bolasepak negara bukanlah pemain professional seperti sekarang. Berapa sangatlah pendapatan yang mereka terima dari bidang tersebut. Tetapi kalau diukur semangat perjuangan mereka, saya tidak nampak kenapa mereka tidak boleh diberi gelaran 'Dato' atau yang setaraf dengannya.

Apa lagi yang FAM hendak kata? Tunggu sampai bila? Mai kita bedah siasat!!!!

Friday, May 25, 2007

Benarkah Hang Tuah itu Melayu?

Saya merasa amat tertarik membaca banyak isu berhubung dengan latarbelakang Hang Tuah dan rakan-rakannya yang lain. Telah ada banyak tulisan-tulisan yang mula mempertikaikan tentang kesahihan bangsa Hang Tuah itu sendiri. Bermula dari persoalan siapakah hero Melayu, Hang tuah atau Hang Jebat, sehinggalah kepada persoalan Hang Tuah berbangsa Cina, semuanya memerlukan alasan-alasan dan teori-teori yang logik untuk dikupas bersama.


Terus terang saya katakan bahawa sejak dari bangku sekolah lagi, saya sering dihantui oleh pertanyaan siapakah Hang Tuah itu sebenarnya, sehinggalah sekarang ini saya telah membuat kajian dan masih mengkaji lagi berhubung dengan teori Hang Tuah bukan Melayu. Semakin dikaji, semakin banyak pula fakta-fakta yang tidak pernah muncul sebelum ini telah saya temui yang menjadikan kajian ini lebih menarik lagi.

Di sini saya tidak mahu menyentuh secara terperinci fakta-fakta yang telah ditemui yang memungkinkan kebenaran bahawa Hang Tuah itu bukanlah orang Melayu sebaliknya ia dan sahabat-sahabatnya adalah orang Cina Islam yang telah datang ke Nusantara untuk mempertahankan kesultanan Melayu daripada ancaman musuh terutamanya ancaman Siam yang semakin ketara pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka khususnya.

PENGGUNAAN NAMA HANG

Dari segi penggunaan nama 'Hang' itu sendiri telah diragui bahawa nama itu adalah warisan daripada nama Melayu. Saya telah banyak membaca artikel yang menyentuh tentang penggunaan nama Hang untuk Hang Tuan, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dan Hang Li Po. Malahan ada pendapat mengatakan nama-nama panglima Melayu itu ialah sebenarnya ialah Hang Too Ah, Hang Jee Bat, Hang Lee Ker, Hang Lee Kiu dan hanya nama Hang Kasturi sahaja yang diragui.

Walau bagaimanapun saya agak kurang bersetuju dengan pendapat tersebut kerana bagai saya, tidak ada catatan sejarah baik dari Malaysia, Indonesia, Thai mahupun China sendiri yang menyentuh nama kesemua panglima itu. Hanya yang saya bersetuju ialah nama Hang itu sendiri adalah nama yang berunsur Cina, kerana etnik yang menjadi majoriti di negara China sendiri terdiri daripada etnik HAN. Oleh yang demikian bagi membezakan mereka daripada orang Cina lain yang berada di Melaka, maka penggunaan nama Hang telah dipakai.

Selain daripada itu, Hang itu sendiri adalah seperti surname nama orang-orang Cina. Bagi orang Melayu, mereka langsung tidak ada menggunakan surname kecuali nama-nama yang melambangkan status dalam masyarakat seperti Raja, Tengku, Wan, Yeop, Meor dan beberapa lagi, tetapi tidak ada nama Hang!

Sepertimana di awal tadi saya mengatakan tidak bersetuju Hang Tuah adalah berasal dari nama Han Too Ah, kemungkinan nama Cina untuk Hang Tuah itu datang dari nama Cina yang seakan-akan bunyi Tuah. Mungkin nama asal Hang Tuah itu telah diMelayukan oleh masyarakat Melayu tempatan supaya senang disebut dan diingati. Contohnya kalau di Kelantan dan Terengganu, kebanyakkan nama orang-orang Cina di kawasan kampung telah di Melayukan. Contohnya bekas Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kelantan, Gan Guan Seng disebut sebagai Che Hussin oleh masyarakat di Kg Pantai Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan. Begitu juga dengan nama-nama seperti Pak Soh, Awe, Awie, Che Munah, Pak Kassim dan sebagainya. Nama-nama sebegini masih boleh didengar di Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Salor, Tanah Merah, Machang dan beberapa jajahan lagi. Oleh itu tidak hairanlah kalau nama Hang Tuah sendiri adalah nama yang telah diubah suai dari nama asalnya.

Seperkara lagi yang agak menarik ialah mengapakah tidak semua 500 orang Cina yang masuk ke Melaka pada zaman Sultan Mansur Syah menggunakan nama Hang di awal nama mereka?