Saturday, April 26, 2008

Tanggungjawab Masyarakat Memerangi Jenayah Masih Kurang




Seringkali kita mendengar rungutan daripada masyarakat berkenaan dengan kadar jenayah yang semakin meningkat dari hari ke sehari. Apabila gejala ini disebarkan menerusi saluran media massa, maka banyak pihak akan menunding jari kepada Polis, agensi penguat kuasa utama sebagai alat memerangi jenayah. Banyak pihak mempersalahkan pihak Polis atas peningkatan jenayah yang berlaku kebelakangan ini tetapi apakah fakta ini benar? Bolehkan pihak Polis sahaja yang dipersalahkan? Bagaimanakah peranan lain-lain agensi yang berkaitan dengan keselamatan dan penguatkuasaan?

Kita perlu akui bahawa sistem masyarakat kita memerlukan banyak perubahan yang lebih drastik sekiranya kita benar-benar hendak memerangi jenayah. Persoalannya adakah masyarakat kita sendiri sanggup memikul tanggungjawab sebagai salah satu daripada mekanisme ke arah memerangi jenayah itu? Dalam hal ini saya beranggapan bahawa sebahagian besar daripada kita masih belum bersedia untuk membabitkan diri kita secara aktif untuk mencapai matlamat jenayah sifar.

Saya tidak menafikan bahawa masyarakat kita amat bersopan santun dan sering bantu membantu antara satu sama lain. Tetapi dalam hal memerangi jenayah ini, masyarakat masih meletakkan tanggungjawab itu seratus peratus kepada pihak polis. Cuba kita bayangkan kalaulah semua masyarakat beranggapan sedemikian, apakah kesannya terhadap institusi sosial pada keseluruhannya nanti?

Saya pernah mengalami pengalaman di mana beberapa orang awam yang ditemui hanya buat tidak tahu sahaja apabila nampak berlakunya satu kejadian ragut di sebuah pasar malam tidak berapa lama dahulu. Sebahagian orang ramai yang berada berhampiran hanya menjadi penonton sahaja! Wayang percumalah katakan!

Jesteru itu minda kita perlulah berubah bermula dari sekarang. Kesedaran terhadap kerjasama memerangi jenayah perlu bermula dari komuniti yang kecil sehinggalah sampai ke peringkat masyarakat dalam negara keseluruhannya. Anak-anak perlu dididik untuk membentuk kesedaran ini sejak dari kecil lagi. Jadikan kesedaran sivik kita lebih bermakna bukan sahaja untuk keluarga kita tetapi juga untuk keseluruhan masyarakat.
Posted by Picasa

Sunday, March 2, 2008

Queen Of Langkasuka

Suatu kisah yang manarik! Walaupun saya masih belum menyaksikan filem epik tentang kerajaan Melayu tua, Langkasuka, tetapi daripada klip video yang telah saya saksikan, saya dapat merasakan filem ini bakal akan mendapat sambuatan yang menggalakkan daripada peminat-peminat filem bukan sahaja di Thailand, tetapi juga di Malaysia.

Menariknya filem ini pandangan saya ialah, ia dihasilkan oleh rakyat Thai dan bukannya oleh orang Melayu sendiri. Adakah pembuat-pembuat filem di Malaysia sudah kehilangan atau ketandusan idea? Apakah mereka masih lagi dibuai dengan tema-tema percintaan sudah jelak untuk dilihat oleh peminat-peminat filem tempatan? Adakah mereka masih lagi mahu menyogok rakyat dengan filem -filem yang standarnya boleh dikatakan 'syok sendiri' sahaja?



Kalaulah anda berpeluang menonton filem tersebut yang akan ditayangkan di pawagam kita nanti, jangan lupa untuk berkongsi pengalaman anda dengan rakan-rakan dan peminat-peminat filem yang lain. Lihatlah betapa indahnya satu hasil karya seni rakyat asing yang memaparkan budaya Melayu yang kita sendiri tidak melihatnya dari sudut yang sepatutnya kita lihat.





Saya pastinya tidak akan melepaskan peluang menyaksikan filem ini nanti. Malah apa yang paling saya nantikan ialah untuk merasai dan berkongsi perasaan bagaimana keadaan semasa kegemilangan kerajaan Langkasuka suatu ketika dahulu. Bangga rasanya bila mengenangkan suatu ketika dahulu, bangsa Melayu sudah mempunyai kerajaan yang bertamadun dan pernah menjajah sehingga ke Indo-China.......
Posted by Picasa

Monday, February 11, 2008

Bidadari dari langit!!!


Pada suatu malam di tahun 2007, bertempat di Bandar Bukit Tinggi Klang, aku telah berkesempatan merakamkan satu aksi daripada seorang bidadari yang turun dan melayang-layang di awangan. Aku amat teruja dengan kecantikan dan kemahiran bidadari itu. Ramai juga orang yang telah berkesempatan melihat bidadari itu terawang-awangan di Bandar Bukit Tinggi Klang. Namun apa yang sebenarnya dipaparkan itu ialah satu persembahan daripada pasukan sarkas The Royal London Circus, di Klang, Selangor.....
Posted by Picasa

Saturday, February 9, 2008

Meriahnya kedai judi



Dua keping gambar kabur yang aku snap di sebuah kedai judi berlesen di Kg Melayu Subang, Selangor pada 1/12/2008 lalu memberikan seribu tanggapan terhadap masyarakat kita pada hari ini. Tetapi apa yang aku ingin ketengahkan ialah rata-rata mereka yang mengunjungi kedai judi ini terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah dan bukannya mereka yang kaya raya.

Aku yang kebetulan lalu di hadapan kedai itu kemudiannya terpaksa memberhentikan kereta kerana rakanku yang sama-sama dalam kereta ini juga mahu 'membeli nombor' di kedai tersebut. Entahlah aku pun tak tahu nak kata apa lagi terhadap masyarakat kita pada hari ini. Bukankah lebih baik wang yang akan digunakan untuk membeli nombor itu digunakan untuk tujuan yang lebih mulia. Janganlah baxirkan wang untuk sesuatu yang masih belum pasti.





Satu lagi persoalan yang bermain di dalam kepalaku ialah, sedarkah kaki-kaki judi ini betapa peluang mereka untuk menang adalah teramat amat tipis. Yang pasti, mereka yang akan mengaut keuntungan ialah taukeh-taukeh dan operator kedai-kedai nombor itu. Walaupun premis mereka tersorok nun diceruk gunung atau hutan banat sekalipun, ia tetap akan mendapat kunjungan ramai daripada penagih-penagih nombor ini.

Kalau kita pernah didedahkan dengan kempen anti dadah dan anti rokok, adakah kita semua bersedia untuk berkempen anti judi???? Atau mungkinkah kita perlu ubah istilah judi kepada 'najis judi?' Tepuk dada tanya selera!!!
Posted by Picasa

Thursday, January 31, 2008

Kad EPF dulu-dulu





Dalam aku membelek-belek beberapa dokumen lama kepunyaan ayahku, aku telah ternampak Kad EPF lama kepunyaannya yang masih terseimpan baik walaupun telah 51 tahun berlalu. Daripada apa yang aku tahu, ayahku pernah juga menjadi pemandu bas di Kuala Kangsar setelah dia 'lari sementara' dari tentera British di Singapore tetapi kemudiannya telah menyambung semula perkhidmatannya dalam tentera sebelum perpecahan Malaya-Singapura, di mana ayahku kemudiannya telah memilih menyambung tugasnya di Malaya pada masa itu.
Posted by Picasa

Saturday, January 26, 2008

Tabik Kepada Pasukan Paralampik Malaysia

Syabas kepada para olahragawan dan olahragawati paralimpik Malaysia yang berjaya mengakhiri Temasya Suka Para ASEAN ke 4 dengan mengutip 81 pingat emas, 74 perak dan 30 gangsa. Aku berbangga dengan pencapaian kalian semua. Syabas!!!
Posted by Picasa

Kelasku 6 Sastera 2 1982

Wah....entah mengapa pada hari ini 27/1/2008, aku tiba-tiba mencapai majalah lama sekolahku dan menatap semuka demi semuka majalah lama itu. Sambil menatap lembaran muka surat yang telah lusuh itu, ingatanku kembali melayang melayan nostalgia lalu semasa aku masih menuntut di Tingkatan 6 Atas di Sekolah Menengah King Edward VII Taiping.

Memang satu perkara yang amat manis bila mengingati rakan-rakan sekelas tambahan pula ketika itu usia kami semua masih muda, sekitaran 18 - 19 tahun sahaja...muda remaja! Indah benar kenangan lalu ketika usia mula meniti ke penghujung belasan tahun dan akan memasuki awal 20an.
Daripada ramai-ramai pelajar kelasku itu, sekarang ini tiada seorang pun daripada mereka yang dapat aku hubungi. Entahlah , mungkin mereka juga ketika ini merasai kerinduan yang sama sepertimana yang aku rasai sekarang ini. Seingat aku, antara orang yang terakhir aku jumpa ialah Yaya Al Mubarak, di mana sekarang ini bertugas sebagai seorang guru. Kali terakhir aku berjumpanya ialah di penghujung tahun 90an di Kota Bharu , Kelantan. Ketika itu, ia sedang bercuti di rumah bapa mertuanya di Jalan Raja Dewa, Kota Bharu.

Woo Kean Lean pula pernah belajar satu kolej dengan ku. Selepas tamat kolej di Maktab Perguruan Kota Bharu, aku ada mendengar dia telah ditukarkan ke Sekolah Menengah Tun Saban, Gerik, Perak, bermula pada tahun 1987. Selepas itu aku langsung tidak mendengar lagi berita darinya. Gunasegar pula ialah rakan rapatku yang sama-sama berbasikal dari rumah di Kemunting ke sekolah aku di bandar Taiping. Aku masih ingat, setiap pagi lebih kurang jam 7.00 am, aku telah pun sampai ke rumahnya di Kg Pinang. Dari situ kami akan bersama-sama berkayuh ke sekolah. Kali terakhir aku berjumpanya ialah awal 90an semasa ia bekerja di sebuah syarikat, MKJ Trading di Klang, Selangor. Selepas itu aku pernah cuba mencarinya di tempat kerjanya itu pada tahun 2002 namun pekerja di situ mengatakan dia telah pun berhenti dan bertukar kerja di tempat lain. Ah...di manakah kamu Guna.

Oh ya tidak lupa aku kepada Ng Bee Lee, amoi manis yang duduk di bahagian belakang kelasku. Boleh tahan juga dia ni dengan perangainya. Panggilan manjanya ialah Billy. Aku tertarik kepadanya kerana keramahannya dan very sporting. Selalu juga aku bersembang dengannya terutamanya sewaktu ketiadaan guru dalam kelas. Daripada khabar yang aku dengar, kemungkinan dia telah berhijrah ke Australia mengikut keluarganya. Mungkin ,aku rasa dia juga dapat merasakan kerinduan ini...
Untuk rakan-rakanku yang pernah belajar di Tingkatan 6 Sastera 2, tahun 1982 di Sekolah Menengah King Edward VII Taiping, jika ada terbaca coretan ini, silalah berhubung dengan ku di email theriderinblack@yahoo.com.my.
Posted by Picasa