Thursday, July 24, 2008
IMBASAN NOSTALGIA SILAM
gambar kenangan silam
ketika kita bahagia bersama keluarga tercinta
Sememangnya hati kita amat berat
hendak menerima hakikat perpisahan
dengan orang tercinta dan tersayang
Tapi takdir itu bukanlah hak abadi kita
takdir telah ada sejak kita di azali
ringan atau berat terpaksa kita lalui
Bagi yang hidup masih meniti jambatan kehidupan
panjatkan doa moga Yang Maha Esa
membasuh segala dosa mereka
semoga kita semua terus di dalam syurga jannatun naim.
Wednesday, July 23, 2008
PULAU BATU PUTEH - Singapura Umpama Belanda Minta Tanah
Saya tertarik untuk menyentuh semula isu Pulau Batu Puteh yang telah diserahkan kepada Singapura oleh ICJ.Bukanlah niat saya untuk membangkitkan sentimen kebencian terhadap negara jiran itu, tetapi sebenarnya adalah lebih kepada sebagai satu pengajaran kepada kita dan generasi yang akan datang.
Saya memahami, memang jelas, tidak ada gunanya kita mengeluh kekesalan yang teramat sangat kerana kehilangan kedaulatan pulau yang memang jelas dari sudut sejarah dan geografinya kepunyaan kita. Tetapi akibat dari kealpaan pemimpin, para cerdik pandai dan ahli-ahli sejarawan, maka kita telah kehilangan hak ke atas Pulau Batu Puteh itu.
Malah dalam hati saya sehingga kini masih terasa kekesalannya dan tidak boleh diubati hanya oleh frasa 'situasi Win-Win' sepertimana yang dicanangkan oleh pak menteri kita. Sebenarnya kita berada di pihak yang kalah. Cubalah perhatikan gambar di atas. Perhatikan apa yang ada di Middle Rock dan Pulau Batu Puteh. Kalau diberi pilihan, manakah yang kita mahu?
Berbalik semula kepada persoalan Pulau Batu Puteh, kita perlulah menjadi bangsa yang lebih patriotik sepertimana bangsa Argentina menuntut Kepulauan Falklands dari British. Bagi Argentina, Falklands adalah Islas Malvinas kepunyaan Argentina selama-lamanya. British bagi mereka adalah bangsa penjajah yang masih lagi menjajah kepulauan Falklands itu.
Hati menjadi semakin marah apabila keluar pula berita bahawa Singapura akan menuntut Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan akan berbincang dengan Malaysia berhubung dengan perkara ini.Inilah yang dikatakan politik seperti belanda minta tanah. Sudah dapat satu maka akan adalah lagi yang akan diminta. Oleh itu, bermula dari sekarang, kerajaan perlu untuk memperteguhkan tuntutan kita terhadap beberapa pulau yang menjadi milik negara seperti Kepulauan Spratley.
Apakah persediaan kita sekiranya Singapura membuat tuntutan ZEE? Adakah sejarah hitam Pulau Batu Puteh akan berulang lagi? Pemimpin kita perlu bangun dan tidak harus lena dibuai mimpi indah. Mulakan dari sekarang!
Tuesday, July 22, 2008
APALAH ERTINYA KECANTIKAN
Apalah ertinya kecantikan sekiranya
Mindamu terbelenggu
Tubuh terkurung lesu
Tarianmu terkaku
Bait bicaramu terkedu
Cantik itu paling bermakna
Andai kebebasan dinikmati semua
KE MANAKAH HALA TUJU KETAMADUNAN MANUSIA?
Monday, July 21, 2008
MEREKA YANG BERANI...Catherine Leroy
Walaupun bertubuh kecil, tinggi lebih kurang lima kaki dan berat lebih kurang seratus pound, namun beliau mempunyai semangat yang besar dan membara. Beliau telah memenangi beberapa anugerah sepanjang tempoh kariernya termasuklah Robert Capa Gold Medal.
Beliau kali pertama tiba di Saigon pada tahun 1966 dengan hanya berbekalkan sebuah kamera Leica M2 dan wang USD100 semasa berusia 21 tahun. Pada umur sebegina, sepatutnya seorang gadis akan berada di kampung halamannya dan bergembira dengan rakan-rakan, bukannya berada di medan pertempuran.
Perkara pertama yang beliau lakukan ialah mengunjungi pejabat Associated Press dan bertemu dengan editornya Horst Faas. Beliau telah berbohong kepada Faas dengan mengatakan mempunyai pengalaman mengambil gambar di medan perang dan akhirnya telah diberikan penugasan dan diberikan bayaran $15 untuk sekeping gambar.
Kebolehan dan kecemerlangan yang telah dipamerkan oleh mendiang sepanjang penglibatanya dalam mengambil gambar di lokasi peperangan diseluruh dunia telah menyebabkan namanya semakin subur dan gambarnya sering terpampang di dada akbar dan majalah di serata dunia. Malahan beliau sendiri pernah mengarahkan penggambaran filem dokumentari seperti THE LAST PATROL iatu filem tentang sekumpulan veteren perang Vietnam yang telah berarak ke seluruh Amerika untuk memprotes pemilihan presiden Richard Nixon pada tahun 1972.
Semangat dan keberanian beliau harus menjadi contoh teladan kepada kaum wanita untuk terus berdiri seiring dengan kaum lelaki dalam dunia yang semakin mencabar ini. Semangat dan keberanian mendiang akan terus mekar dalam lipatan sejarah dan menjadi contoh terbaik kepada journalist muda pada hari ini.
Sunday, July 13, 2008
CATATAN PERJALANAN KE THAILAND (DAY 5) Nakhon Si Thammarat Yang Indah Dan Bersejarah
Event: Menjelajah Kota NST
Pagi hari 14/06/2008 jam lebih kurang 0630hs, aku telah pun tersedar dari lenaku. Aku masih tidak percaya bahawa aku telah berjaya menjejak kaki ke Nakhon Si Thammarat. Maklumlah inilah antara kota yang menjadi idamanku sejak sekian lama untuk menjejakinya. Akhirnya tercapai juga hasratku untuk menjejak kaki ke bumi NST ni.
Apabila aku melihat rakanku masih sedap dibuai mimpi indah, aku megambil keputusan untuk merayau keluar dari Grand Park Hotel, tempat penginapanku. Sebaik sahaja aku menyambar motosikalku, aku terus melalui Paknakhon Road menuju ke arah Stesyen Keretapi Nakhon Si Thammarat.
Setelah selesai mengambil gambar di sekitar kawasan stesyen keretapi itu, aku kembali semula ke hotel dan mendapati rakanku telahpun bangun dan bersiap. Kami berdua kemudiannya telah check-out dan terus menuju ke pinggir kota untuk sarapan pagi di satu kawasan benteng selera. Di sinilah aku dapat mempelajari beberapa lagi erkataan bahawa Thai. Antaranya ialah:
khai = ayam
khaw niaw = sejenis pulut dicampur sekaya dan dibaluti daun pisang
Sum = gerai
buri = paip
lik leng = kacukan
chup chup = comel.
Aku dan rakan kemudiannya telah mengambil gambar di kawasan benteng selera yang terletak bersebelahan tali air itu. Seronok juga sebenarnya minum pagi di bawah pohon ketapang yang terletak di tepi tali air itu. Kami sempat berbual dengan pemilik kedai itu, seorang perempuan berumur awal 30an yang peramah dan comel.
Tepat pada jam 1255hrs, aku dan rakanku telah melawat ke Masjid Pusat NST.Entah mengapa hati aku tiba-tiba merasa hiba apabila sampai di luar masjid berkenaan. Aku dan rakan kemudiannya telah masuk ke dalam kawasan masjid berkenaan dan berkenalan dengan beberapa orang jemaah masjid. Salah seorang daripada mereka ialah Imam masjid itu yang kukenali sebagai Imam Solleh. Walau mereka tidak memahami bahasa Melayu, kecuali seorang rakan Tok Imam yang agak boleh berbahasa sikit-sikit, itu tidak menghalang kami dari berkenalan dengan mereka sebagai satu ikatan persaudaraan dalam Islam.
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada mereka, aku dan rakan terus berjala kaki di sekitar kawasan luar masjid berkenaan. Tiba-tiba aku terkejut dengan sapaan seorang perempuan lingkungan umur 40an yang kemudiannya aku kenali sebagai kakak Rozina. Perempuan itu menjemput aku dan rakan masuk ke kedai jahit mereka. Perempuan itu kemudiannya memanggil ibunya yang bernama Mariam dan memperkenalkan kami sebagai pelacong Islam dari Malaysia. Aku terus memberikan salam kepada Ibu Mariam dan menerangkan kepada Ibu tentang perjalanan kami dari Malaysia ke Thailand.
Ibu Mariam amat gembira dapat berkenalan dengan kami. Kami kemudiannya telah dijamu dengan air dan diajak makan tengah hari oleh mereka. Memang masyarakat Thai amat tinggi budi bahasanya. Dengan kebenarannya, aku kemudiannya bergambar dengan mereka sebagai tanda kenang-kenangan. Aku kemudiannya mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga tersebut dan berjanji sekiranya ada umur yang panjang dan rezeki yang murah, aku pasti akan kembali semula ke Nakhon Si Thammarat bertemu mereka. Semoga mereka semua dirahmati oleh Allah swt.
















