Wednesday, September 10, 2008

PENIAGA MAKANAN TIADA ETIKA

Bermulanya Ramadhan pada 01 September 2009 menandakan bermulanya episod perniagaan bermusim oleh sebahagian peniaga-peniaga kecil bumiputera. Mereka ini umpamanya cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Walaupun tumbuhnya peniaga-peniaga kecil ini adalah satu perkara yang baik terhadap perkembangan semangat perniagaan orang Melayu tetapi masih terdapat lagi sifat tidak memperdulikan kualiti atas pendek kata asal siap sahaja.
Episod malang ini saya alamai sendiri pada dua tiga hari lepas. Semasa saya ke pasar Ramadhan Seksyen 17 Shah Alam pada petang 08/09/08, saya telah membeli beberapa jenis kuih muih untuk dibuat hidangan berbuka puasa.Antaranya ialah karipap, kuih badak guling, tepung pelita dan mee rebus. Tanpa sebarang jangkaan buruk, saya telah balik ke rumah dan menyediakan makanan yang telah dibeli tadi untuk berbuka puasa.
Sebaik sahaja berbuka puasa, saya terus menjamah makanan tersebut tanpa ragu-ragu, maklumlah makanan buatan tangan orang Islam. Namun apabila waktu bersahur, saya telah mengalami cirit birit. namun semangat saya untuk berpuasa masih kuat.
Selepas menunaikan sembahyang subuh, saya terus berangkat ke tempat kerja.Sebaik sahaja sampai di pejabat, saya telah mula cirit birit sekali lagi. Sehingga ke waktu petang, dalam perjalanan balik ke rumah, tidak kurang sepuluh kali saya telah cirit birit. Bayangkan betapa siksanya saya menanggung keadaan itu tambahan pula saya mempunyai masalah gastrik. Namun saya terus bertahan.
Selepas berbuka puasa, keseluruhan badan saya telah menjadi lembik dan tidak bermaya.Akhirnya pada 10/09/08 saya telah tidak datang ke pejabat kerana keadaan saya yang amat tidak bermaya itu. Namun saya tetap berpuasa kerana semangat saya masih kuat.
Dari pengalaman tersebut, saya dapat simpulkan bahawa ramai peniaga kita masih kurang kesedaran tentang pentingnya kualiti barang-barang jualan mereka. Malahan saya percaya ada di antara barang makanan yang dijual itu adalah bahan makanan yang tidak habis jualan semalam dan dipanaskan untuk mengelakkan kerugian. Orang yang menanggung adalah pembeli atau pengguna itu sendiri. Janganlah hanya memikirkan keuntungan sahaja tanpa memperdulikan keadaan orang lain. Itulah nampaknya apa yang berlaku di kalangan peniaga-peniaga Melayu pada hari ini. Bilakah mereka akan berubah?

Wajarkah Kita Berdiam Diri Melihat Kesalahan Di Depan Mata?

Satu persoalan yang menarik untuk difikirkan. Apakah reaksi kita melihat sesuatu kesalahan yang berlaku di depan mata?
A. Tidak memperdulikan
B. Merungut kerana tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
C. Meluat melihat keadaan itu dan meluahkan kepada rakan.
D. Melaporkan kepada pihak berkuasa.

Jawapan di atas terpulang kepada diri masing-masing! Saya sendiri banyak kali terserempak dengan kejadian pelanggaran undang-undang berlaku di depan mata. Memang sungguh menyakitkan hati melihat pelaku - pelaku terbabit dengan penuh rasa bangga terasa diri mereka besar dan hebat kerana pelanggaran undang-undang tersebut.
Namun bagi sebahagia besar kita, kita mestilah bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu agar keselamatan masyarakat lebih terjamin. Disiplinkanlah diri kita agar negara jadi lebih selamat untuk semua.

Penjenayah Warga Asing Menggila!

Tragedi yang menimpa satu keluarga di Taman D' Kayangan , Shah Alam pada 09/09/08 telah memberikan impak yang besar terhadap kesedaran kita semua tentang jenayah yang dilakukan oleh warga asing di negara kita.
Rata-rata boleh dikatakan bahawa warga Indonesia mendahului senarai penjenayah yang paling aktif melakukan jenayah di negara kita sekarang ini. Antara jenayah yang melibatkan mereka ialah samun isi rumah, samun mangsa keluar dari bank, ragut, bunuh , seluk saku dan jenayah seksual.
Memang tidak dinafikan bahawa kebanjiran mereka di negara kita sekarang sudah menampakkan trend yang tidak terkawal lagi. Malahan rakyat tempatan sendiri merasa kurang selesa dan tidak selamat berada di tempat sendiri.
Kita tidak boleh mendiamkan diri dan perlu bertindak, namun sehingga ke hari ini nampaknya masih belum ada tanda-tanda satu tindakan drastik diambil untuk menangani masalah ini. Sampai bila ia harus berterusan?
Apakah kita hanya harus melihat dan membisu seribu bahasa. Kita tidak mahu negara kita menjadi seperti negara Indonesia! Masalah ini telah menjadi barah yang semakin merebak. Mampukah kita menangani gejala ini. Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan, pihak berkuasa atau masyarakat?