Wednesday, March 11, 2009

REZEKI DARI SUNGAI

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sungai di kawasan hulu Sungai Kelantan masih lagi kaya dengan ikan-ikan yang bermutu tinggi. Lihatlah sahaja dalam gambar yang aku paparkan di sini. Inilah hasil ikan dari sungai yang telah aku perolehi sepanjang masa excercise di sungai berkenaan. Antara ikan yang banyak diperolehi ialah ikan tenggalan, ikan baung, ikan patin juara, ikan lampam dan sebagainya. Namun sebahagian besar ikan yang aku perolehi ialah ikan juara. Ikan ini mempunyai isi yang amat lembut sama seperti patin. Cara masakan yang paling sesuai ialah bakar dan cicah sengan budu....adusss....
Memang ramai daripada anggota group yang ikut pada kali ini berpuas hati dengan hasil yang diperolehi. Bukan senang untuk mendapat ikan tersebut di negeri-negeri pantai barat.Namun perkara ini tidak menjadi masalah di hulu sungai Kelantan ini. Aku sendiri bertanya di dalam hatiku, sampai bilakah keadaan ini akan berkekalan? Sudah tentulah lama kelamaan semua hasil sungai ini akan dibongkar. Manusia semakin ramai. Kawasan lubuk ikan semakin mengecil. Cubalah bayangkan jika tindakan awal tidak diambil, apakah akan berlaku lagi sepuluh tahun yang akan datang.
Walaupun aku gembira dengan hasil tangkapan ikan yang diperolehi, tetapi masih ada persoalan yang bermain dalam benakku ini. Aku berpendapat, negara kita masih tertinggal berbanding dengan negara Eropah dan Amerika dalam pemeliharaan sumber ikan sungai. Semua pihak perlu serius untuk memelihara hasil alam yang semakin menerima tekanan daripada perikanan berlebihan. Semua pihak perlu mula memikirkan persoalan ini sekarang. Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan. Kesedaran perlu ada dalam benak kita bermula dari sekarang.
Posted by Picasa

Sunday, March 8, 2009

RIMBA LEPAR...KAMI DATANG DALAM PELUKANMU

Memang amat riang sekali anggota group aku yang datang pada kali ini. Lihatlah gambar di atas bagaimana riangnya mereka mengadap hidangan ala kadar cara kampung yang telah disediakan untuk kami. Rata-rata anggota group pada kali ini tidak pernah menikmati kehidupan seperti ini. Inilah dia suatu pengajaran yang tidak dapat diperolehi dalam bilik darjah. Hanya dengan melaluinya sahaja, barulah pengalaman itu akan tercatat dalam ingatan sebagai sejarah yang tidak mudah lupus dari ingatan.
Perjalanan kami pada kali ini hanyalah menggunakan 2 buah kenderaan pacuan 4 roda. Namun ini sudah memadai memandangkan sekarang ini bukan musim hujan dan tambahan pula jalan balak yang dilalui diselia dengan baik oleh syarikat pembalakan. Boleh dikatakan agak sarat jugalah kenderaan kami dengan pelbagai jenis barang keperluan untuk selama 3 malam.
Dalam excercise seperti ini, yang amat penting ialah makanan dan pakaian asas sahaja. Manakala yang lainnya diberi penekanan yang kedua. Sesekali aku berfikir, alangkah bagus kalau kita semua terus menjaga keindahan alam semulajadi kita agar akan terus kekal untuk generasi yang akan datang. Memang aku katakan bahawa aku ini amat mencintai alam termasuk flora dan faunanya sekali. Hanya inilah sahaja yang aku rasa sebagai satu jalan untuk aku menikmati keindahan alam negaraku sendiri.

Masih banyak lagi hutan, gunung dan lembah yang belum aku terokai. Insyaallah, kalau ada kederat yang kuat, aku akan terus meneroka alam semulajadi di seluruh pelusuk negara ini. Mudah-mudahan hasratku akan tercapai suatu hari nanti.
Posted by Picasa

MENEROKA RAHSIA ALAM BELANTARA LEPAR

Pada 26/2/2009yang lalu, aku bersama dengan group aku telah melakukan exercise di kawasan hutan Lepar yang terletak di Kuala Kerai, Kelantan. Perancangan asal kumpulan aku adalah di kawasan Air Panas, Lojing yang terletak di sempadan dengan Cameron Highland. Tetapi kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, aku selaku ketua terpaksa menukar lokasi ke Lepas.

Memang seluruh ahli group aku amat teruja dengan perjalanan yang terpaksa ditempohi ini. Maklumkan ini adalah pengalaman pertama mereka yang bakal menghadapi rintangan dan cabaran di belantara Lepar. Bagi diri aku sendiri pula, ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum ini aku telah beberapa kali ke kawasan tersebut dan boleh dikatakan rata-rata penduduk di Kg Lepar itu kenal dengan aku.


Perjalanan dengan kenderaan pacuan 4 roda dari Laloh, Kuala Kerai melalui jaluran jalan-jalan balak mengambil masa selama lebih kurang 4 jam. Memang penuh cabaran maklumlah perjalanan melalui laluan berbukit dan berliku serta menempuh pelbagai kesukaran. Namun inilah yang dikatakan sebagai cabaran yang bukan sahaja setakat fizikal sahaja tetapi juga mencabar mental.

Sebaik sahaja sampai di Kg Lepar, aku dan group telah dijamu oleh kenalan kami, Rul dengan nasi panas dan masakan kampung. Yang paling terangkat ialah pengalaman aku dan group makan nasi putih panas dengan masak tempoyak ikan patin juara dan goreng ikan tapah. Menambahkan lagi kesedapan ialah sos budu...aduh...benar-benar membuka selera.
Selepas sahaja makan nasi, aku dan anggota group telah pergi ke tebing hulu Sungai Kelantan. Kami memuatkan peralatan perkemahan dan memasak dan menyeberangi sungai menghala ke suatu pulau yang dikenali sebagai Pasir Asmara. Kawasan ini wujud akibat daripada banjir besar yang telah menghanyutkan kelodak dan membentuk sebuah pulau yang menarik. Memang amat menarik sekali kerana terdapat jutaan batu yang amat cantik hasil daripada tindakan alam semulajadi.

Pada malam yang amay syahdu itu aku terus terlena diulit dengan mimpi indah. Maklumkan sebelum tidur, kami semua hanya berbumbungkan langit yang penuh dengan ribuan bintang yang bersinar. Memang sudah lama aku tidak dapat menikmati tidur yang sebegini. Barulah semua kami merasa betapa besarnya nikmat yang dikurniakan oleh Allah untuk manusia. Hanya kita sahaja yang perlu mengsyukuri dan menjaga nikmat yang telah dikurniakan itu. Dan akhirnya....brrrruuurrrrrrrrrrrrrrrr ...aku terlena dalam keindahan malam yang nyaman itu.....
Posted by Picasa