Suatu perkara yang amat malang jika melihat kepada pencapaian perniagaan kaum bumiputera di negara kita pada hari ini.Masih jauh tertinggal jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Bukan niat hendak memperkecilkan penmcapaian bangsa sendiri, tetapi tulisan ini adalah ibarat cubit-cubit sayang. Apa yang dicubit dan apa yang disayang? Inilah yang hendak diketengahkan.
Pada hari ini 6/7/07 jam lebih kurang 3.00 petang, saya telah singgah disebuah gerai menjual makanan kepunyaan orang Melayu yang terletak betul-betul di tepi lebuh raya Puchong-USJ semata mata hendak mencuba mee rebus di gerai ini yang dikatakan sedap oleh kawan-kawan saya. Sebaik sahaja tiba di sana, saya terus memberhentikan motosikal saya dan masuk ke dalam gerai itu dan duduk. Saya kemudiannya menunggu kalau-kalau ada sesiapa akan datang bertanyakan menu yang saya kehendaki. Setelah beberapa minit, masih tidak ada orang yang sudi datang ke meja saya mengambil pesanan.
Saya terus menunggu kerana mungkin ada lebih kurang 6 pelanggan lagi sedang menunggu pesanan mereka. Sesekali saya nampak pekerja gerai itu ada menjeling ke arah saya sambil menyiapkan makanan untuk pelanggan yang terdahulu. Saya semakin hilang kesabaran kerana mereka seolah olah tidak nampak kehadiran saya di gerai tersebut. Terfikir juga saya mungkin ilmu saya 'menjadi' sehingga seorang pun tidak nampak kehadiran saya.
Akhirnya setelah hampir 20 minit menjadi kera sumbang, saya mengambil kesempatan 'blah' dari gerai itu. Apa yang pasti pengalaman pahit ini mengulangi apa yang telah berlaku pada diri saya ketika berada di gerai milik bangsa saya sendiri. Sikap peniaga-peniaga Melayu ini amat merugikan bangsa Melayu sendiri. Apa tidaknya, sepatutnya pelanggan tidak seharusnya dibiarkan lari kerana inilah sumber rezeki untuk mereka. Rezeki mereka datang dari pelanggan, maka pelanggan tidak seharusnya dibiarkan pergi begitu sahaja.
Keadaan seperti ini jarang berlaku di kedai-kedai India, Mamak atau kedai Cina. Tidak keterlaluan jika dikatakan, sekiranya ada kedai mamak bersebelahan dengan kedai makan Melayu, maka kedai Melayu tadi akan menerima nasib yang amat buruk! Cuba perhatikan keadaan di kedai Mamak. Belum sempat pun pelanggan duduk, pelayan kedai akan terus bertanyakan order. Malahan cara kerja mereka juga begitu pantas tidak seperti mana yang berlaku di kedai Melayu yang sebahagian besarnya ....alahai....cak pung, cak pung....lemah gemalainya mereka!!!!
Itu tidak termasuk lagi kalau suruh kira selepas selesai menjamu selera. Maka akan tolak menolaklah diantara pelayan-pelayan tersebut untuk mengira sehingga pelanggan pun kadang-kadang naik meluat. Apa tidaknya, suruh kira segelas air sirap, dua cawan teh, sepinggan mee goreng, sepinggan rojak dan sebiji pisang pun nak gunakan kalkulator! Itu belum lagi kalau pelanggan ramai datang serentak. Maka akan kelam kabutlah macam diserang angkatan perang Jepun.Lain diminta, lain yang diberi. Aduh...perangai ini masih tak hilang-hilang. Bilalah nak berubah.
Kita kena siasat di mana kelemahan yang ada itu dan perlu fikirkan langkah-langkah untuk membendungnya.Janganlah nanti tiada lagi gerai dan restoran Melayu di kawasan bandar-bandar besar, semuanya pupus lantaran tiada pelanggan lagi yang berani makan di situ. Siasatlah kelemahan diri bangsa Melayu khususnya peniaga Melayu. Perbaiki kelemahan diri dan jangan malu belajar dari orang lain yang telah jauh meninggalkan kita.
Wednesday, June 6, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment