Tuesday, August 18, 2009

KE MANAKAH AYAH PIN?



Sudah lama tidak mendengar khabar berita tentang Ayah Pin. Lelaki yang pernah mengegarkan negara pada suatu masa dahulu ini telah berjaya menghilangkan diri tanpa dapat di kesan. Malahan ada khabar-khabar angin mengatakan bahawa Ayah Pin pernah dilihat berada di Selatan Thailand. Tetapi walau apa pun ceritanya, Ayah Pin masih lagi selamat dalam persembunyiannya.





Walaupun Ayah Pin ini tidak berpendidikan tinggi, tetapi aku amat mengkagumi beliau kerana telah berjaya menarik ramai pengikut menyertainya. Ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang menyebabkan beliau ini berada dalam kelas yang tersendiri. Adakah kerana kata-katanya yang manis atau belaiu sendiri pandai mengambil kesempatan? Ini adalah persoalan yang hanya boleh dijawab oeh pengikutnya.





Kepada Ayah Pin, jangan marah ye. Nanti kena jual...seperti kata Allahyarham P. Ramlee...Walau di mana Ayah Pin berada, harap bertaubatlah segera, pintu taubat masih terbuka luas.

TERTUBUHNYA TEAM MTB D9



Detik bersejarah, 03/08/2009 tidak akan dapat aku lupakan kerana pada tarikh itulah gabungan beberapa orang anak buah aku telah berjaga mewujudkan team MTB D9. Tidak ramai, hanya kami berempat sahaja. Namun walaupun demikian, langkah yang kecil ini adalah satu langkah permulaan untuk melangkah lebih jauh lagi ke hadapan.

Aku, Hammer, Ah Chong dan Misai adalah pelopor team ini. Sebagai orang yang telah lama bergiat dalam kayuhan, aku merasa bertanggungjawab untuk meneruskan hayat team ini. Insyaallah, jika kesihatanku baik, aku pasti akan terus berkayuh sehingga yang termampu.

Semoga akan ada lagi rakan-rakan yang akan menyertai team ini di masa yang akan datang....jom berkayuh....
Posted by Picasa

Monday, August 17, 2009

KAKITANGAN HOSPITAL BIADAB ....Alahai Malaysiaku

Dalam artikel lepas, aku ada menulis tentang rakyat Malaysia yang sudah semakin nipis adab sopannya. Memang itulah realitinya sekarang. Peristiwa itu akan terus aku kenang dan kalau negara kita mampu menjadi negara yang berdisiplin tinggi, mungkin aku akan menjadi orang pertama yang akan merayakannya.

Berbalik semula kepada persoalan pokoknya iaitu adab sopan yang menjadi tunjang Rukun Negara ke 5, hari ini 17/08/2009, aku sekali lagi menerima kejutan. Jam lebih kurang 0815 pagi tadi, aku telah ke Klinik Kesihatan Seremban untuk mendapatkan rawatan selsema dan batuk. Walaupun aku berkemampuan untuk ke klinik swasta, namun kerana inginkan kepastian dengan membuat saringan awal H1N1, aku gagahkan juga hatiku untuk ke sana. Memanglah aku amat berat hati hendak ke klinik gomen kerana budi bahasa petugasnya yang amat terkenal dengan kebiadaban yang terlampau.

Sebaik sahaja aku sampai, aku terus mendapatkan nombor giliran dari kaunter yang telah ditetapkan. Sementara menunggu nombor giliranku 2211 di panggil, aku memerhatikan gelagat petugas-petugas klinik tersebut bekerja melayan kerenah orang ramai. Terus terang aku katakan, tiada seorang petugaspun yang melemparkan senyuman kepada orang ramai yang datang mendapatkan rawatan. Malahan aku perhatikan terdapat beberapa orang tua yang telah diherdik kerana tersilap meletakkan kad rawatan di tempat yang sepatutnya. Malahan ada seorang tua yang aku perhatikan dimarah seperti budak - budak kerana lambat datang atau senang katanya terhegeh hegeh datang ke meja saringan.

Aku berkata dalam hatiku sendiri, inilah rupanya manusia yang tidak tahu berterima kasih dan tidak mengenang budi. Tahukah mereka bahawa duit gaji yang mereka terima itu adalah daripada duit orang ramai, duit rakyat? Oleh itu janganlah sewenang-wenangnya memaki hamun orang ramai yang telah memberikan mereka gaji.

Saat aku menerima rawatan di bilik nombor 5 benar-benar mengejutkan aku. Apabila doktor perempuan berbangsa Melayu menyuruh aku pusing ke belakang untuk dia mendengar melalui statesscopenya, aku terpaksa melucutkan beg sandang yang aku pakai dan meletakkannya di atas satu kerusi kosong berhampiran. Doktor tersebut tiba-tiba berkata,"Encik, jangan letak situ, itu kerusi saya." Aku memandang wajah doktor muda itu. Mahu sahaja aku menjawab tetapi aku sabar sahaja. Lantas terpaksalah aku letakkan beg aku di atas lantai.

Aku pertikaikan tindakan doktor itu kerana menggunakan bahasa yang bernada tinggi. Malahan kerusi itu adalah kerusi kosong yang tidak digunakan pun semasa aku dirawat. Salahkan kalau aku meletakkan beg aku di atas kerusi kosong itu. Melainkanlah kalau ada kerusi itu digunakan oleh pesakit lain atau oleh doktor itu sendiri.Memang bagi aku itulah doktor yang kurang ajar. Harap kelulusan sahaj tinggi, tapi adab, KOSONG.

Itu jugalah sebabnya banyak kali juga aku sentuh dalam ceramah-ceramah yang aku beri kepada umum bahawa budi bahasa dan budi pekerti perlu dijaga. Kalau kita tidak suka orang kurang ajar dengan kita, kita juga mestilah berbudi bahasa dengan orang lain. Senang bukan? Oleh itu amat besarlah harapan aku agar kita semua mengambil berat tentang Rukun Negara ke 5 itu, KESOPANAN DAN KESUSILAAN.

Saturday, August 15, 2009

SEDARLAH...TERLALU RAMAI PENGKHIANAT DI NEGARA KITA

Sejak kebelakangan ini, ada usaha untuk melebelkan DS Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat nombor 1 orang Melayu. Aku dapat rasakan ini sesuatu yang tidak kena pada tempatnya kerana bagi aku kalau benarlah beliau pengkhianat, mengapakah ada jutaan orang masih menyokong beliau? Malahan, makna pengkhianat itu sendiri adalah luas.

Adakah makna pengkhianat itu sendiri perlu disesuaikan berdasarkan situasi semasa atau keadaan setempat? Apakah definisi pengkhianat itu sendiri adalah berdasarkan tafsiran bebas oleh individu yang mahu memanipulasikan sesuatu isu?

Kalau kita merenung kepada sejarah silam negara kita, pengkhianat yang pernah 'masuk senarai' antaranya ialah Datuk Mat Kilau, Datuk Bahaman, Ngah Ibrahim, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi, Tok Janggut, Datuk Sagor, Dol Said dan ramai lagi pejuang - pejuang yang pernah melawan penjajah. Asal melawan Inggeris sahaja, maka mereka itu akan di labelkan sebagai pengkhianat. Anggapan itu turut ditanamkan dalam jiwa orang-orang Melayu pada masa itu. Maka berbalahlah orang Melayu @ anak peribumi sesama sendiri antara penyokong pejuang Melayu dan penyokong British.

Berbalik semula kepada isu pengkhianat ini, masyarakat perlu membuka mata dan minda supaya tidak terjebak dengan perangkap yang cuba dimainkan oleh golongan tertentu yang bermotifkan politik semata-mata untuk keuntungan peribadi mereka sendiri. Kita percaya isu ini akan terus dimainkan oleh golongan tertentu sehingga agenda mereka aan tercapai. Apakah agenda golongan ini? Matlamatnya hanyalah KUASA.

Kalaulah mahu disenaraikan pengkhinat - pengkhianat yang ada di negara kita sekarang ini, saya rasa senarainya akan panjang berjela-jela. Tapi secara peribadinya, saya menyenaraikan mereka ini seperti di bawah ini:

1. Individu yang kononnya mengaku pejuang bangsa dan negara, sebaliknya perjuangan mereka hanyalah untuk mendapatkan laba dan keuntungan untuk diri mereka, keluarga dan kroni masing-masing. Golongan ini mungkin telahpun mempunyai kekayaan hasil dari tipu muslihat mereka dengan dibantu oleh juak-juak, kaki ampu dan kaki bodek atau lebih ketara ialah hasil bantuan kaum keluarga mereka yang berada di tampuk kekuasaan.

2. Golongan atau individu yang terlalu gilakan kuasa tetapi merasakan impian mereka itu masih jauh dan mungkin terlepas jika tindakan tidak dimulakan dari sekarang. Golongan ini sanggup menggunakan apa-apa sahaja yang boleh dijadikan alat untuk memenuhi impian mereka. Paling jelas, mereka ini berada dalam parti politik tertentu dan sanggup mengaku memperjuangkan bangsa Melayu walaupun mereka ini sebenarnya adalah pembunuh bangsa Melayu.

3. Juak-juak pembodek dan pengampu yang mentaliti mereka ini adalah dilandaskan kepada materialistik. Mereka ini adalah golongan yang paling ramai sekali. Mereka hanya melihat kekayaan dan kebendaan yang berada di hadapan mereka. Mereka inilah yang kuat berangan-angan dan percaya kepada individu tertentu yang kononnya boleh dijadikan batu loncatan untuk mendapatkan sedikit habuan dari ampuan dan bodekan yang mereka pamerkan.

4. Golongan yang berada di tampuk kekuasaan dan takut kekuasaan mereka aka berakhir andainya mereka tidak memulakan langkah awal dari sekarang untuk menghapuskan pesaing-pesaing mereka. Golongan ini adalah golongan yang amat merbahaya dan sanggup menggunakan kuasa mereka untuk menghapuskan pesaing politik mereka. Golongan ini juga tidak teragak-agak menggunakan apa sahaja alat, media atau pihak berkuasa tertentu untuk kelangsungan kekuasaan mereka. Kalau boleh mereka mahu menjadikan jawatan mereka sebagai hak mutlak mereka dan keluarga mereka. Pendek kata jawatan mereka kalau boleh akan djadikan sebagai hak turun temurun (dinasti). Mereka ini hanya sanggup turun 'takhta' jika anak beranak mereka dijamin kekuasaannya.

Dari apa yang disenaraikan di atas, fikir-fikirkanlah sendiri.....

Thursday, August 13, 2009

Sah! Masyarakat Malaysia Semakin Kurang Beradab


Sudah lama aku tidak berkesempatan menulis kerna kesibukan tugas. Tetapi kali ini entah apa yang merasuk jiwa aku ini, terpaksa juga aku gagahi juga untuk menulis. Puncanya hanya kerna pada tarikh 8 - 9 Ogos 2009 yang lalu, aku amat terkejut sekali dengan pengalaman melancong sambil berbasikal di Pulau Pangkor, Perak.
Sebaik sahaja aku menjejaki bandar Lumut, tumpuan aku tentunya mencari tempat penginapan. Aku telah pergi ke beberapa buah hotel seperti Marina Cove, Orient Star, Hotel Putra dan beberapa hotel di Teluk Batik dan bandar Lumut sendiri. Percaya tak, dalam banyak-banyak hotel yang aku pergi TIDAK ADA SATU PUN staff hotel yang mengalu alukan kedatangan aku dengan ucapan selamat pagi atau selamat datang...TIDAK ADA SATU PUN!!!
Ini amat berbeza sekali jika kita berkunjung ke hotel-hotel di Thailand, Indonesia, Manila atau pun ke hotel-hotel ternama di Kuala Lumpur sendiri. Apa sudah jadi? Mungkin inilah akibat dari sistem pendidikan atau sistem sosial dalam masyarakat kita yang telah rosak. Fikirkanlah.....