Sunday, September 27, 2009

KUALA KURAU, PEKAN KECIL YANG DILUPAKAN

Sudah lama aku tidak menjejakkan kakiku ke pekan Kuala Kurau, Perak. Seingat aku, inilah pekan yang menjadi tempat aku dan arwah ibuku lawati sebelum ibu meninggal dunia pada tahun 2006. Bermula dari saat itulah aku tidak lagi menjejaki pekan kecil ini.

Namun, pada 22/09/09, aku berkesempatan mengunjungi Kuala Kurau yang telah lama tidak aku pijak. Maka pada Hari Raya Ketiga, aku bersama dengan adikku Fairuz dan Zahara telah pergi ke Kuala Kurau dengan menaiki 'Si Black', Hilux kesayanganku.

Perjalanan dari Taiping ke Kuala Kurau melalui kawasan perkampungan yang aman damai. Tiada kesesakan jalanraya yang berlaku, berkemungkinan kerana ramai orang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan. Oleh itu keputusan aku menggunakan jalan dalam melalui Selinsing ke Kuala Gula adalah amat tepat sekali.
Selepas habis sahaja melawat ke Kuala Gula, aku terus memandu ke Kuala Kurau. Memang aku ini agak ketinggalan sedikit kerana masih menyangka perkhidmatan feri di Kuala Kurau masih lagi wujud. Namun sangkaan aku merosot. Rupa-rupanya telah pun ada sebuah jambatan dibina untuk menggantikan perkhidmatan feri tersebut. Inilah pertama kalinya aku melalui jambatan baru di Kuala Kurau. Syabas...akhirnya dapatlah juga penduduk kampung di Kuala Kurau menikmati pembangunan yang telah lama mereka idamkan.
Sebaik memasuki Pekan Kuala Kurau, kita akan terasa umpama berada di tahun 60an. Ini adalah kerana bangunan-bangunan lama yang digunakan dahulu masih gagah tersergam indah. Malahan kehidupan rakyat di sekitar Kuala Krau juga tidak banyak berubah. Memang sukar menggambarakan keadaan di sini. Sesuatu yang harus diingat ialah, di Kuala Kurau juga boleh diperhatikan kawanan helang berterbangan bebas mencari makanan. Oohhhh betapa indahnya pemandangan di Kuala Kurau.
Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki di pekan ini, ringan-ringankanlah tulang berkunjung ke sana. Dan jangan lupa bawa basikal agar dapat berkayuh di sana.
Posted by Picasa

No comments: