Tuesday, September 29, 2009

SIAPA PENGKHIANAT DI KG EXPO, KEMUNTING?

Pada Hari Raya Aidilfitri 2009 iaitu ketika hari raya ke 2, aku telah berbasikal di sekitar kawasan Kampung Expo,Taiping semata-mata untuk menikmati keindahan kampung yang telah lama aku tinggalkan. Sebagai anak kampung yang asal, matlamat kayuhan aku selain dari menikmati keindahan adalah juga untuk meninjau perkembangan kampung yang telah banyak meninggalkan kenangan kepada aku ini.
Bertolak dari rumah aku, lot 7561, aku terus berkayuh sehingga ke hadapan Sekolah Menengah Kemunting. Aduh!!! Berderau darah aku apabila aku melihat sebuah tapak perumahan telah dibangunkan betul-betul di hadapan Sekolah Menengah Kemunting itu. Memang aku amat sensitif dalam isu ini kerana setahu aku semasa kampung ini mula dibuka, tapak tersebut bukanlah tapak perumahan tetapi adalah tapak sementara aku bermain dan tapak cadangan untuk pembangunan sebuah pasar.

Aku masih ingat lagi bahawa aku dan ramai anak-anak muda ketika itu bergotong royong dengan dibantu oleh para tentera dari Kemunting membersihkan hutan paya itu untuk dibuat padang bolasepak. Tahun itu kalau tidak salah aku ialah sekitaran tahun 1980an.

Keluarga aku adalah antara keluarga terawal yang menduduki Kampung Expo iaitu sejak tahun 1978. Tanah di kampung ini adalah tanah anugerah oleh pihak kerajaan kepada bekas-bekas anggota kerajaan terutamanya kepada bekas tentera, bekas polis, bekas bomba, posmen dan sebagainya. Pada asalnya tanah di sini kebanyakkannya adalah berpaya iaitu tanah bekas lombong. Semasa mula-mula dibangunkan hanya terdapat tidak sampai 20 rumah di kawasan ini. Malahan jalan masuk ke kampung ini juga masih lagi jalan tanah merah, berbecak semasa hujan dan berdebu semasa panas.

Tiba-tiba bagaimana boleh wujud sebuah tapak perumahan di atas tanah yang suatu masa dahulu direzabkan kepada orang ramai untuk faedah orang ramai? Timbul persoalan siapakah dalang disebalik pembinaan Taman Kamunting Setia? Bagaimanakah tanah ini boleh bertukar milik? Siapakah yang bertanggungjawab?
Aku pasti mungkin ada cerita di sebalik pembangunan Taman Kamunting Setia ini. Aku tidak akan membantah kalaulah tanah rezab ini dibangunkan dengan kawasan riadah untuk kepentingan semua. Tetapi aku membantah jika kawasan tanah rezab ini dibangunkan dengan projek perumahan yang sudah pastinya syarikat yang membangunkannya bermotifkan keuntungan.

Aku ada berbincang dengan beberapa orang kenalanku bertanyakan siapakah pemilik projek ini? Yang dapat mereka beritahu ialah projrk ini dimiliki oleh seorang ahli politik UMNO. Entah betul entah tidak aku pun tak berapa pasti. Tetapi yang aku pasti ialah sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Aku membantah dan mahukan keadilan dalam isu ini.
Posted by Picasa

No comments: