Saya tertarik untuk menyentuh semula isu Pulau Batu Puteh yang telah diserahkan kepada Singapura oleh ICJ.Bukanlah niat saya untuk membangkitkan sentimen kebencian terhadap negara jiran itu, tetapi sebenarnya adalah lebih kepada sebagai satu pengajaran kepada kita dan generasi yang akan datang.
Saya memahami, memang jelas, tidak ada gunanya kita mengeluh kekesalan yang teramat sangat kerana kehilangan kedaulatan pulau yang memang jelas dari sudut sejarah dan geografinya kepunyaan kita. Tetapi akibat dari kealpaan pemimpin, para cerdik pandai dan ahli-ahli sejarawan, maka kita telah kehilangan hak ke atas Pulau Batu Puteh itu.
Malah dalam hati saya sehingga kini masih terasa kekesalannya dan tidak boleh diubati hanya oleh frasa 'situasi Win-Win' sepertimana yang dicanangkan oleh pak menteri kita. Sebenarnya kita berada di pihak yang kalah. Cubalah perhatikan gambar di atas. Perhatikan apa yang ada di Middle Rock dan Pulau Batu Puteh. Kalau diberi pilihan, manakah yang kita mahu?
Berbalik semula kepada persoalan Pulau Batu Puteh, kita perlulah menjadi bangsa yang lebih patriotik sepertimana bangsa Argentina menuntut Kepulauan Falklands dari British. Bagi Argentina, Falklands adalah Islas Malvinas kepunyaan Argentina selama-lamanya. British bagi mereka adalah bangsa penjajah yang masih lagi menjajah kepulauan Falklands itu.
Hati menjadi semakin marah apabila keluar pula berita bahawa Singapura akan menuntut Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan akan berbincang dengan Malaysia berhubung dengan perkara ini.Inilah yang dikatakan politik seperti belanda minta tanah. Sudah dapat satu maka akan adalah lagi yang akan diminta. Oleh itu, bermula dari sekarang, kerajaan perlu untuk memperteguhkan tuntutan kita terhadap beberapa pulau yang menjadi milik negara seperti Kepulauan Spratley.
Apakah persediaan kita sekiranya Singapura membuat tuntutan ZEE? Adakah sejarah hitam Pulau Batu Puteh akan berulang lagi? Pemimpin kita perlu bangun dan tidak harus lena dibuai mimpi indah. Mulakan dari sekarang!
No comments:
Post a Comment