Wednesday, July 9, 2008

BELAJARLAH BERADAB SEPERTI ORANG THAI

Dua orang penjual makanan di hadapan Talad Zoo, Nakhon Si Thammarat

Bukanlah niat hati aku untuk memperkecilkan adat resam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini. Apatah lagi nilai-nilai lemah lembut yang diamalkan oleh orang-orang Melayu turun temurun. Sememangnya aku tabik kepada budaya bangsaku sendiri yang begitu tinggi nilai-nilai kelembutannya.
Namun penulisan ini hanyalah sebagai perbandingan positif supaya nilai-nilai positif ini dapat kita kongsi bersama untuk menjadikan bangsa dan negara kita dipandang mulia di mata masyarakat antarabangsa.
Sejak aku dan rakanku memijak bumi Negara Gajah Putih ini, kami amat terpegun dengan keramahan masyarakat Thai yang aku rasa perlu dijadikan teladan oleh kita semua. Tidak hairanlah kepada aku selama ini keramahan penduduk Thai menjadi buah mulut masyarakat di seluruh dunia. Malahan tidak janggal kalau aku katakan bahawa keramahan mereka itu boleh menyebabkan seseorang itu 'rebah' dengan sopan santun dan tutur kata mereka.
Cubalah bayangkan, setiap kedai makan yang kami singgahi, walaupun ada di antaranya yang bermasalah dari segi bahasa, tetapi dari lontaran senyuman sebaik sahaja kami menjejakkan kaki di kedai mereka adalah umpama gam yang menghalang kami untuk keluar dari kedai tersebut. Dengan senyuman manis tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, itulah antara daya tarikan di kedai-kedai atau mana-mana tempat yang menjadi tarikan orang ramai.
Sebaik sahaja kaki dijejakkan di kedai mereka, pertama tamanya pelanggan akan dihidangkan dengan air kosong atau teh 0 nipis tanpa gula yang wangi (dicampur dengan daun pandan). Bukan setakat secawan dua, tetapi mereka akan dihidangkan dengan satu teko kecil. Kemudian, dengan penuh bahasa meredah diri dan disertai dengan senyuman, barulah pelanggan akan ditanya apakah menu yang mereka kehendaki.
Di sini sahaja sudah menunjukkan perbezaan dengan sebahagian besar peniaga di negara kita. Malahan saya sendiri pernah bertengkar beberapa kali dengan peniaga-peniaga tempatan kerana meluat dengan muka mereka yang kelat, masam dan menyampah! Kadang-kadang mereka memandang pelanggan yang masuk ke kedai mereka seperti hendak meminta hutang lagaknya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan air kosong atau air suam yang kita minta di Malaysia juga akan dikenakan bayaran, tidak kurang dari 30 sen! Relakah peniaga kita berbuat sepertimana peniaga di Thailand?
Selain daripada itu, sesuatu yang amat saya terperanjat ialah apabila saya sengaja bergurau dengan mengatakan makanan yang telah saya pesan itu tidak berapa sedap. Bila mendengar sahaja apa yang saya katakan itu, pelayan kedai itu terus mahu mengambil makanan tersebut dan menawarkan menu lain sebagai gantinya. Saya kemudiannya berkata kepada pelayan itu bahawa saya hanya bergurau sahaja.
Ini berbeza dengan pengalaman saya kira-kira tiga tahun dahulu di sebuah kedai makan melayu di Taman Sungai Kapar Indah, Klang. Sudahlah muka isteri taukeh kedai itu macam orang tertelan tahi lembu, makanannya lebih kurang sama dengan mukanya. Sedang saya menikmati makanan di kedai itu, tiba-tiba terjumpa rambut dalam makanan tersebut. Saya terus berhenti makan dan menerangkan kepada perempuan tadi bahawa saya telah terjumpa rambut dalam makanan yang dihidangkan kepada saya. Saya terus berhenti makan dan minta dikira harga makanan yang lain-lain. Tapi perempuan tersebut telah mengira termasuklah makanan yang t4elah dicemari dengan rambut. Selepas membayar, saya telah bersyarah kepada perempuan itu dihadapan pelanggan yang lain. Saya juga menegaskan bahawa inilah kali terakhir saya akan makan dikedainya memandangkan peristiwa yang telah berlaku tadi. Dia hanya buat muka selamba macam tiada apa-apa yang telah berlaku sebentar tadi.

Selain daripada itu, dari pengalaman saya semasa di Thaland, saya dapati petugas hotel di sana juga sangat lemah lembut dan tidak kedekut dengan senyuman. Ini amat berbeza dengan apa yang terdapat di negara kita. Kekadang saya juga berfikir apakah sebabnya yang menjadikan kebanyakkan daripada orang kita kedekut dengan senyuman. Terus terang saya katakan, memanglah amat terkenal bangsa kita dengan lemah lembutnya, tetapi kalau difikirkan semasak-masaknya, yang memuji itu ialah diri kita sendiri. Bukannya orang lain. Ibarat masuk bakul angkat sendirilah!

Oleh itu saya dapat merasakan bahawa kalaulah negara kita cuba mengatasi negara Thai dari segi pelancongannya, memang masih banyak kita ketinggalan berbanding mereka. Terlalu jauh. Bukan menghinan, tetapi itulah hakikatnya. Ambillah iktibar dari orang Thai.....

Posted by Picasa

No comments: