Beberapa ketika kebelakangan ini, entah mengapa aku asyik teringat kepada ayahku yang telah pun pergi menyahut panggilan Ilahi sejak sekian lama. Bila aku fikirkan tentang ayahku itu, terasa juga betapa dia amat menyayangi aku dan anak-anaknya yang lain. Aku sendiri tidak tahu mengapa sejak dari dahulu kasih sayangku terhadap ayahku tidaklah begitu menebal tetapi semakin hari aku amat terasa kerinduan yang amat sangat kepadanya. Gambar di atas itu adalah gambar ayahku semasa berkhidmat dalam British Army dengan Regimen Royal Signal di Singapore. Nombor tenteranya pada masa itu kalau tak salah aku 3235. Dari rekod, ayahku memasuki British Army pada 14/04/1950 ketika berusia 18 tahun.
Ayahku menyertai British Army pada tahun 1950 ketika berusia 18 tahun. Setahu aku ayah adalah satu-satunya anak nenekku yang menjadi tentera. Pakcikku yang lain menjadi guru. Mungkin darah guru telah menjadi darah keturunanku sejak dari moyangku lagi, Lebai Kemala. Kalau tidak salahku, salah seorang daripada sepupu ayah juga menjadi tentera British berkhidmat dalam Royal Air Force di Singapore. Aku hanya memanggilnya sebagai Paklang Din sahaja. Hingga sekarang anak-beranak Paklang Din masih ada di Singapura.
Gambar di atas ialah gambar ayahku yang diambil ketika baru menjadi tentera. Boleh tahan juga segaknya ayahku dengan stail pakaian dan rambut ala P. Ramlee. Daripada cerita arwah ayahku, dia mempunyai ramai kenalan dalam Royal Signal di Singapura. Tetapi aku tidak dapat mengingati nama kawan-kawan ayah yang sama-sama berkhidmat dalam Royal Signal.
Foto di atas adsalah gambar ayahku bersama dengan nenekku di Kg Bukit Nangka, Lenggong, Perak. Gambar itu diambil semasa ia berusia 7 atau 8 tahun, di tahun 1940 atau 1941 atau di awal zaman pemerintahan Jepun. Sebagai anak bongsu dalam keluarga, ayahku ini agak nakal berbanding dengan abang-abangnya yang lain. Tetapi kenakalan dia selalu membawa akibat kerana nenek adalah seorang ibu yang garang terhadap anak-anaknya. Langsung tidak memberi muka terhadap anak-anak malahan cucunya juga tidak diberi muka.
Sunday, January 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment