Thursday, January 3, 2008

Kasihanlah...

02/01/2008 jam 4.00pm. Aku bertemu dengan satu kemalangan yang tragis! Semasa menunggang motosikalku, Aprilia Pegaso Strada melalui tol ELITE hala ke Klang dari Seremban, ketika hampir melalui susur keluar ke USJ, aku melihat satu tubuh kaku di atas jalanraya bersama dengan motosikal yang rebah di atas tanah. Aku terpandang pada tubuh itu dan sekitarnya...ah , anak mana yang menjadi yatim hati ini!!!

Secara tiba-tiba aku merasa hiba yang teramat sangat. Apakah salahnya anak-anak dan isteri lelaki ini? Mengapakah harus mereka menerima takdir itu? Tapi, apa yang boleh kita lakukan, itulah namanya ketentuan. Aku lantas membayangkan bagaimanakah anak-anaknya mengharungi hari pertama persekolahan esok 03/01/2008 tanpa kehadiran seorang lelaki bernama ayah. Apa yang pasti, anak-anak lelaki itu harus menerima hakikat ini sepanjang hayat mereka.

Atas pengalaman semalam itu, aku mula mempersoalkan apa yang sudah jadi dengan masyarakah kita, terutamanya pemandu-pemandu kenderaan tidak kira kereta, lori , bas atau motosikal sendiri. Seringkali aku bertemu dengan keadaan di mana pemandu-pemandu ini langsung tidak memperdulikan nyawa orang lain. Mungkin mereka merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang layak hidup di dunia ini dan orang lain tidak perlu hidup.

Sudah berbuih mulut kerajaan, NGO dan orang-orang perseorangan meluahkan seribu satu permasalahan berhubung dengan sikap pemandu kita, namun semuanya umpama mencurahkan air di daun keladi sahaja. Sesuatu mesti dilakukan bukan sahaja oleh kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan, tetapi juga kita sebagai individu juga mesti melakukan sesuatu perubahan agar masyarakah kita akan berubah.

Semoga di tahun 2008 ini, masyarakat Malaysia akan lebih makmur dan semoga tahun 2008 ini juga kita semua akan lebih komitmen untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang penyayang, berdisiplin dan berpegang kepada norma-norma masyarakat yang moden dan berwawasan.
Selamat Tahun Baru 2008.

No comments: