Aku tidak mengenali siapakah kedua-dua jejaka tampan yang berada di kiri dan kanan ayahku itu. Cuma yang aku tahu, gambar itu telah dirakamkan pada tarikh 01/01/1950 di Lenggong , Perak. Gambar ini masih tersimpan dengan baik dalam simpananku dan sekali sekala jika merasa rindu terhadap ayahku, aku akan membelek gambar ini. Daripada cerita ayah yang pernah aku dengan, salah seorang itu ialah Pak Lang Din yang berkahwin dan kemudiannya meninggal dunia di Kelantan. Perkara itu akan aku pastikan kemudian nanti.
Foto di atas ini pula adalah satu-satunya foto persandingan ayahku bersama ibu yang masih tersimpan rapi dalam album gambar di rumahku. Bila melihatkan kepada pakaian pengantin yang dipakai oleh kedua mempelai itu, aku dapat bayangkan betapa penuh beradat sopannya masyarakat Melayu ketika itu. Perkahwinan pada waktu itu diatur oleh keluarga dan bukan atas dasar suka sama suka atau pendeknya cinta sebelum berkahwin. Foto di atas ini pula ialah gambar selepas perkahwinan ayah dan ibuku, juga kalau tidak silap diambil di Lenggong, Perak. Inilah gambar kenangan abadi ayah dan ibu selepas mereka bergelar suami isteri. Mungkin ada lagi beberapa gambar mereka yang diambil selepas ini tetapi aku sendiri tidak dapat mengesannya.
Sunday, January 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment