Tuesday, January 15, 2008

Kenangan Zaman Persekolahan


Setiap orang mempunyai pengalaman menarik dan pengalaman pahit masing-masing. Begitulah juga dengan diriku ini. Bermula dari zaman aku mula bersekolah di King Edward VII Primary School di Jalan Stesyen, Taiping, kemudian berpindah pula sekolahku ke King Edward VII Primary School di Jalan Muzium Hulu (Kalau tak salah) dan seterusnya bersekolah di King Edward VII Secondary School, pelbagai kenangan pahit manis telah aku rasakan.


Aku memasuki alam persekolahanku di kelas 1C pada tahun 1970 dimana guru darjahku pada masa itu ialah Puan Letchumanan. Beliau seorang guru yang aku minati pada masa itu dan apa yang aku masih ingat ialah pernah dia membuat jamuan bihun goreng untuk pelajar-pelajar kelas ini. Semasa itu tiada sebarang pinggan digunakan sebaliknya beliau menggunakan kertas lukisan yang dipotong dua.


Semasa belajar dalam kelas ini, aku masih lagi ingat dimana aku pergi ke sekolah dengan menaiki van yang dipandu oleh Ah Ho, iaitu seorang lelaki Cina yang akhirnya telah memeluk Islam dan menukarkan namanya kepada Muhamad Amin. Tidak banyak ingatanku terhadap rakan-rakan yang sama-sama menaiki van ke sekolah denganku.


Semasa belajar di kelas 1C ini, apa yang boleh aku banggakan ialah, aku tidak pernah menangis walaupun aku tidak pernah mempunyai pengalaman pra-persekolahan. Antara rakan-rakan sekelas yang masih aku ingat bersamaku dahulu di kelas ini ialah Rama Mahendran (Mam..migrated to Australia) Abdul Sani (Bapa dia penjual daging di Pasar Taiping), Abdullah Sani (Pernah menangis digigit pacat, dan kemudiannya apa yang aku dengar dia telah menjadi anggota Polis), Shamsuddin (Menangis dalam kelas atas sebab...biar aku simpan dalam hati) dan.........


Kemudiannya aku telah naik ke Darjah 2B1 dimana Guru Darjah aku pada masa itu ialah Miss Devi. Miss Devi ini seingat aku ialah seorang guru yang amat menyayangi aku malahan aku telah dipilih olehnya untuk mempamerkan hasil seni kraftangan yang aku buat iaitu terendak penutup lampu dan bulu ayam menggunakan tali rafia. BLukisan aku juga turut dipamerkan kepada orang ramai yang datang menyaksikan hari terbuka dan pameran di sekolahku pada tahun 1971. Betapa bangganya aku pada masa itu.


Semasa aku bersekolah di darjah 3B1, guru darjahku tidak lain tidak bukan ialah En Khairuddin. Beliau adalah guru yang mengajar aku Ilmu Hisab. Aduh! Sengsara betul kalau tiba period beliau mengajar Ilmu Hisab. Aku adalah antara pelajarnya yang lemah dan sering menjadi mangsa. Kalau setakat pukul tangan, punggung, berdiri atas kerusi atau dihalau keluar dari kelas adalah perkara biasa baginya. Antara rakan sekelas yang masih aku ingati ialah Teoh Bee Seng, Premnath Subramaniam, Dzaeem bin Ibrahim, Raja Ananthan, Ulul Azmi, Aziz bin Ahmad, Roslan, Meor Zainal Azmi, Johnson Tan, Junaidi dan Abdul Halim .Rakanku yang kerap menjadi mangsa ialah Aziz bin Ahmad, Abdul Halim bin Hasbi, dan yang lainnya aku tak ingat. Halim pernah dipukul dan ditolak hingga jatuh masuk ke dalam bakul sampah kelas. Menjerit dia menangis, tapi mujurlah keadaan itu berjaya ditenteramkan oleh Ustazah Ainon (Suaminya Ust. Demyati...kedua-duanya telah kembali ke rahmatullah...Al-fatihah..)


Aku tidak marah kepada Cikgu Khairuddin. Mungkin kerana itulah aku dan beberapa rakanku yang lain telah berjaya dalam kerjaya kami masing-masing! Terima kasih Cikgu.... Cikgu Khairuddin ini pernah menjadi pengadil bolasepak di Daerah Taiping sehinggalah penghujung 1970an. Selepas itu aku tidak lagi mendengar berita darinya.


Aku kemudiannya telah ke Darjah 4 B1 dimana guru darjah aku pada kali ini ialah Mr. Lim. Guruku ini mempunyai rambut pendek seperti komando dan mempunyai kereta Volkswagon. Di tangannya sentiasa ada rotan yang bersedia untuk aksi pada bila-bila masa sahaja.Apa perkara paling menarik sepanjang aku memasuki darjah 4 ini? Ha..ha..ha..tidak lain tidak bukan ialah timbulnya cerita-cerita tentang 'orang kenit' yang datang dengan UFO. Macam-macam cerita tentang orang kenit yang aku dengar. Malahan pernah sekali itu semua rakan-rakan sekelasu berlari menuju ke satu store di hujung dewan sekolah angkara cerita ada pelajar ditembak oleh orang kenit ketika sedang makan nasi lemak waktu rehat di sana. Orang kenit itu kemudiannya telah melarikan nasi lemak pelajar itu...

Masuk ke Darjah 5, aku telah mula bersedia untuk Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Pada masa inilah aku telah mula menunjukkan belangku kerana aku kerap mendapat markah yang tinggi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Guru Kelas aku pada masa itu ialah Miss Khoo. Dia mengajar Bahasa Inggeris kepadaku. Semasa tahun ini juga sekolahku telah dipecahkan kepada 2 pecahan iaitu King Edward VII (1) Taiping kekal di tapak lama manakala King Edward VII (2) berpindah ke tempat baru bersebelahan Treacher Methodist Girl's School (TMGS). Dan pada tahun ini jugalah telah menampakkan kematangan aku mengharungi hidup seterusnya.

Semasa di Darjah 5 inilah sekolah aku telah dipisahkan di mana King Edward VII (1) dan King Edward VII(2) telah dipisahkan samada oleh bangunan mahupun lambang sekolah itu sendiri. King Edward VII(2) dipindahkan berhampiran Taman Tasik Taiping. Pemandangan yang indah dan suasana yang nyaman. Peringkat awal perpindahan itu, kami pelajar-pelajar semua telah menghabiskan masa Pendidikan Jasmani untuk membersihkan padang sekolah dari duri. Pada masa itu antara guru sekolah yang rajin membersihkan pada ialah Mr G.L. Ladham. Beliau kemudiannya telah bersara semasa aku di Darjah 5 ini dan dari khabar yang aku dengar dia telah ke Australia dan tiada khabar berita hingga sekarang.

Aku kemudiannya telah naik ke Darjah 6A2. Gah rasanya menjadi pelajar senior. Guru kelasku pada masa ini ialah En Shariff yang sebelum ini mengajar di Sekolah Rendah Sultan Yusoff. Isterinya bernama Salmiah, seorang bidan kerajaan yang bertugas di Rumah Sakit Angkatan Tentera, Kem Garisson Taiping. Kegemaran cikgu Shariff menghukum pelajarnya ialah dengan cara screw di perut atau paha. Namun bergitu dia seorang guru yang mempunyai komitmen yang tinggi. Kereta miliknya ialah Mini Clubman warna kuning.

Rakan-rakan ku semasa di darjah 6A2 ini boleh dikatakan nakal-nakal tetapi tidaklah sampai mencalarkan kereta guru. itu yang aku angkat topi kepada pelajar-pelajar dahulu. Apabila saat sekolah hampir ditutup untuk cuti hujung tahun, kelas aku juga telah menganjurkan jamuan perpisahan kerana selepas ini, ada di antara kami akan berpisah. Ada pelajar sekolah ini yang akan menyambung pelajaran di St. George Instituition, Taiping. Antara rakanku yang telah bertukar sekolah ialah Elias bin Abdul Kadir, seorang pelajar yang tinggal di Jalan Kuala Trong(cerita terakhir Elias aku tidak tahu) dan Ahmad bin Kamil, budak Cangkat Jering, dan Meor Zainal Azmi @ Koleh (Sorry Bro...wa tiada niat menghina, tapi hanya sebagai kenangan mengusik jiwa).

Sepanjang belajar di sekolah rendah, aku banyak belajar menjadi seorang manusia yang berdikari dan yang paling utama sekolahku telah mengajar aku bersosial dan berinteraksi sesama manusia. Memang aku akui aku adalah seorang pelajar yang pemalu, namun aku tetap sebahagian daripada sejarah sekolahku.

No comments: