Bigfoot memang wujud - Abdul GhaniUtusan Malaysia, 12 Feb 2006
JOHOR BAHRU 11 Feb. - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman hari ini mengesahkan, Bigfoot atau mawas memang wujud di dalam hutan negeri ini seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan.
Menurut beliau, pengesahan itu dibuat berdasarkan kepada sumber maklumat yang diperoleh daripada Orang Asli.
``Laporan tentang adanya Bigfoot di Johor memang betul. Ini berdasarkan sumber maklumat Orang Asli. Jadi laporan akhbar itu memang betul.
``Bigfoot ada di Johor dan Kosmo! ada di Johor,'' katanya memulakan ucapan pelancaran akhbar Kosmo! edisi Johor terbitan Kumpulan Utusan di Danga Bay, di sini hari ini.
Akhbar kompak edisi Johor itu menggunakan maskot Bigfoot sebagai gimik pelancarannya.
Menteri Besar berkata, beliau yakin dengan sumber Orang Asli itu memandangkan mereka mempunyai kebolehan untuk mengesan binatang termasuk Bigfoot berdasarkan jejak dan bau.
Kisah Bigfoot mula menjadi bahan percakapan umum apabila Penasihat Persatuan Alam Malaysia (MNS) Johor, Vincent Chow percaya haiwan yang selama ini dianggap mitos, benar-benar wujud ekoran beberapa insiden orang ramai
terserempak dengan makhluk itu.
Menurut beliau, antara kawasan hutan yang diyakini didiami binatang itu ialah di Tanjung Piai, Mersing, Kahang, Taman Negara Endau-Rompin dan Kota Tinggi.
Ekoran pendedahan itu, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) telah mengadakan satu ekspedisi menjejaki haiwan gergasi itu di Hutan Simpan Sungai Madik, Kahang tetapi gagal menemui sebarang kesan kewujudannya.
Sejak itu, kisah kewujudan Bigfoot di negeri ini mula mendapat perhatian akhbar-akhbar tempatan dan luar negara malahan menjadi salah satu topik paling tinggi pencariannya di Internet.
Beberapa agensi berita asing mendakwa kerajaan Johor sengaja memperbesarkan isu kewujudan Bigfoot bagi menarik perhatian pelancong mengunjungi negeri itu dan mendakwa ia sebagai gimik ketika filem King Kong ditayangkan di seluruh dunia.
Baru-baru ini, Abdul Ghani mengumumkan cadangan penubuhan pasukan yang terdiri daripada para pakar binatang tersebut untuk menjalankan penyelidikan, pengesanan dan penjejakan Bigfoot.
``Pasukan tersebut bertujuan mencari lokasi sebenar Bigfoot berada dan kemudian menghantar satu lagi pasukan untuk mengesan dan menjejakinya,'' kata beliau.
Begitulah antara berita menarik berhubung dengan penemuan bigfoot di Johor. Saya bukan hendak mengulas tentang benar atau tidaknya wujud bigfoot di Johor tetapi apa yang hendak saya ketengahkan ialah apakah kita benar -benar dapat mempergunakan kesempatan berita penemuan bigfoot itu untuk menyebarkan kepada dunia tentang peluang mengembangkan industri pelancongan di negara kita.
Sehingga ke hari ini saya masih tidak lagi mendengar berita dari Johor tentang bigfoot. Bukan hendak merendahkan sesiapa, tetapi kalaulah perkara ini berlaku di Thailand, sudah lama pihak mereka akan memanipulasikan keadaan ini untuk menarik lebih ramai lagi pelancong terutamanya dari barat untuk datang melancong di sana. Saya pasti mereka akan berhabis habisan mempromosi pelancongan di tempat mereka termasuklah dengan mengadakan apa-apa infrastruktur yang perlu yang mempunyai perkaitan dengan bigfoot itu. Di sinilah kita tertewas dengan negara jiran kita itu.
Saya pernah ke Thailand dan mendapati industri pelancongan di sana amat advance dan jauh meninggalkan kita kebelakang. Sebagai contohnya kalau kita lihat di pantai-pantai peranginan mereka seperti sepanjang jalan dari Songkhla hingga ke Prachuan Khiri Khan di Selatan, terlalu banyak resort telah didirikan semata-mata untuk memenuhi keperluan pelancong-pelancong terutamanya dari barat. Perkara ini tidak kedapatan di negara kita.
Malahan di setiap resort itu, telah dibangunkan industri sampingan seperti kraftangan, sukan dan rekreasi, kesenian, kebudayaan dan sebagainya. Inilah yang perlu kita contohi agar negara kita akan maju dalam bidang pelancongan. Sewajarnya kita semua berbangga dengan anugerah alam kepada kita semua, pergunakan anugerah itu untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Semasa kunjungan saya ke Cameron Highlang awal tahun ini, saya amat tertarik dengan saranan rakan saya yang saya sendiri pun tidak pernah terfikir. Saya dan rakan telah masuk ke hutan untuk jungle trekking. Sesampai sahaja saya di kemuncak satu bukit yang telah saya lupa namanya, saya bertanya kepada rakan saya itu adakah tempat ini cantik dan menarik? Rakan saya itu bersetuju bahawa memang tempat yang kami sampai itu amat menarik pendangannya. Saya kemudiannya bertanya kepada rakan saya itu tadi apakah perkara yang boleh dilaksanakan di kemuncak itu untuk tarikan pelancong. Dengan selamba beliau menjawab kita boleh mengusahakan jualan kopi panas untuk pelancong!
Saya terasa hendak ketawa kerana idea yang dibawa oleh rakan saya itu nampak amat tidak lojik dan melucukan. Namun apabila rakan saya itu memberitahu bahawa semasa lawatannya ke banjaran Himalaya beberapa tahun dahulu, ia telah berjumpa dengan penduduk yang berniaga kopi panas di kemuncak gunung yang jauh dari perkampungan. Malahan kopi panas tersebut diniagakan dengan menggunakan US Dollar! Wah ini sudah dikira satu idea yang menarik. Cuba bayangkan seorang penduduk kampung yang tidak berpelajaran boleh menjual kopi panas di kemuncak Himalaya, menarik bukan.
Itulah sebabnya saya suka kepada mereka yang banyak mengembara kerana mereka ini telah berjumpa dengan pelbagai pengalaman yang tidak pernah dialamai oleh kita. Saya tabik kepada mereka ini dan atas hormat saya kepada mereka inilah , saya mempunyai keazaman untuk menggunakan masa yang saya ada untuk menjelajahi negara-negara yang belum pernah saya pergi.
Monday, May 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment