Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang wanita yang lahir pada 24 Julai, 1898 ini. Wanita ini adalah Amelia Earhart, seorang wanita lulusan dari Chicago's Hyde Park High School pada tahun 1916. Earhart adalah wanita pertama lulus dari Curtiss School of Aviation dan kemudiannya telah melakukan penerbangan solonya yang pertama pada 1921.
Pada tahun 1922, dengan bantuan daripada bapanya, beliau telah membeli sebuah sport biplane (kapalterbang sayap kembar) dan menggunakan pesawat itu mencipta sejarah dalam dunia aviation dengan mencipta rekod ketinggian 14,000 kaki iaitu wanita pertama yang terbang dengan ketinggian tersebut.
Pada tahun 1932 beliau telah memecahkan rekod penerbangan jelajah benua tanpa henti iaitu dari Los Angeles, California ke Newark, New Jersey sejauh 2448 batu dalam masa 19 jam, 7 minit dan 3 saat! Pada tahun 1935 pula beliau menjadi orang pertama yang melakukan penerbangan solo dari Hawaii ke California.
Earhart kemudiannya telah dilantik sebagai Kaunselor Jemputan oleh Universiti Purdue. Pihak universiti kemudiannya telah melancarkan satu tabung khas untuk membuat penyelidikan dalam bidang aeronautical. 50,000 dollar telah disumbangkan kepadanya untuk membuat pengubahsuaian terhadap pesawat Lockheed Electra bagi membolehkan pesawat ini mengisi bahan bakar sebanyak 1204 gelen dan boleh melakukan penerbangan sejauh 4,500 batu.
Pesawat Lockheed Electra inilah merupakah pesawat terakhir yang dinaiki oleh Earhart dalam misi mengelilingi dunianya apabila pesawat ini telah hilang dalam penerbangan dan menjadi misteri sehingga ke hari ini. Di manakah pesawat ini mengalami kecelakaan masih disiasat sehingga kini. Namun yang pastinya , kejadian ini telah meletakkan nama Amelia Earhart sebagai wanita berani yang berhati waja.
No comments:
Post a Comment