Friday, May 9, 2008

KEKANG JENAYAH...MASYARAKAT PERLU BERUBAH

Saban hari di dada akhbar dan berita tv memaparkan kejadian jenayah semasa yang berlaku baik di dalam mahupun di luar negara. Malahan paparan yang pertontonkan kepada masyarakat banyak memberikan kita ruang untuk berfikir ke arah manakah hala tuju masyarakat Malaysia pada hari ini. Adakah sistem pendidikan dan sistem masyarakat kita pada hari ini telah menunjukkan kegagalan?

Sebagai seorang rakyat yang prihatin terhadap isu-isu keselamatan, saya berpendapat sudah sampai masanya kita kita semua menggembeling tenaga ke arah mewujudkan suasana selamat bukan sahaja untuk diri kita dan keluarga kita sahaja tetapi juga untuk keseluruhan masyarakat yang tinggal di bumi Malaysia ini.

Persoalannya sekarang adakah masyarakat kita benar-benar serius dalam usaha ke arah memerangi jenayah? Kalau ada pun perasaan benci kepada jenayah dan penjenayah, adakah apa-apa usaha proaktif diambil ke arah itu ?

Berdasarkan kepada pengalaman saya, saya berpendapat penjenayah hanya akan melakukan jenayah seandainya mereka diberi peluang atau kesempatan ke arah itu. Kita tidak menyedari bahawa ada tindakan-tindakan kita yang boleh mengundang penjenayah melakukan jenayah. Contohnya salah satu daripada kes jenayah harta benda yang paling banyak berlaku adalah kecurian kenderaan. Cuba kita pergi ke tempat letak motosikal di pusat-pusat beli belah yang bertaburan di bandar-bandar besar. Adakah semua motosikal yang diletakkan itu mempunyai kunci tambahan? Mengapa motosikal yang dibeli dengan harga ribuan ringgit tidak dikunci dengan sempurna dengan menggunakan kunci tambahan yang beharga tidak sampai RM100?

Demikianlah juga dengan bantuan kita dari segi penyaluran maklumat kepada pihak Polis. Berapa ramaikah di antara kita yang benar-benar rasa bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Polis bagi membantu mereka memerangi jenayah? Saya amat memahami tugas dan tanggungjawab pihak Polis amat berat untuk menangani masalah jenayah ini. Tetapi dengan adanya anggota masyarakat yang membantu siasatan seperti memberikan maklumat -maklumat terperinci, saya rasa tugas Polis aka menjadi lebih senang dan berkesan.


Saya juga amat tertarik dengan beberapa perkara yang diamalkan di Eropah. Kanak-kanak kecil sentiasa dididik agar berhati-haati terhadap orang-orang yang tidak dikenali.Malahan anak-anak kecil di Amerika juga telah tahu untuk mendail nombor talian kecemasan sekiranya ada berlaku apa-apa perkara yang mencurigakan. Sedangkan kita di negara ini saya rasa masih tertinggal aspek seperti yang telah saya katakan tadi.

Memandangkan bilangan penduduk semakin bertambah dari hari ke sehari, ini secara langsung juga akan memberikan kita isyarat bahawa bilangan jenayah juga akan terus meningkat dari masa ke semasa. Oleh yang demikian itu, sudah sampai masanya untuk kita bersama-sama sedar dan mula bekerja sama dengan polis sekiranya kita tahu apa - apa maklumat yang boleh membantu ke arah penyelesaian kes. Simpanlah nombor telefon balai polis berhampiran untuk memudahkan kita menghubungi polis sekiranya ada berlaku sesuatu kejadian jenayah di depan mata kita.

Mulakanlah kerjasama kita memerangi jenayah dari komuniti yang kecil seperti kawasan perumahan atau sektor-sektor rukun tetangga. Jalinlah hubungan baik sesama jiran agar keakraban itu akan dapat melahirkan masyarat Malaysia yang lebih prihatin dalam isu-isu keselamatan dan kesejahteraan kita semua.
Posted by Picasa

No comments: