Saturday, November 22, 2008

SIKAP BURUK AHLI POLITIK MALAYSIA YANG MEMALUKAN

Saya amat tertarik untuk memperkatakan tentang masalah ahli politik di negara saya yang tercinta ini. Saya ini bukanlah anti kepada ahli politik tetapi secara terang-terangan tindakan beberapa ahli politik di Malaysia yang cuba mempertahankan kekuasaan mereka walaupun sudah nampak tanda-tanda mereka tidak popular dan hendak ditolak keluar mengundang saya untuk mengupas trend ini.
Cuba kita lihat kepada bekas PM kita sendiri Tun Dr Mahathir. Umum mengetahui bahawa Tun telah menyerahkan jawatan PM kepada Pak Lah bukanlah kerana keprihatinan Tun terhadap nasib bangsa Melayu atau pun nasib negara ini semata-mata tetapi adalah atas dasar desakan daripada kem Pak Lah yang telah nampak betapu Tun telahpun sampai ke jalan penghujung di mana jika tidak menyerahkan kekuasaannya maka BN sndiri akan hancur dalam pilihanraya.

Maka dengan penuh berat hati maka Tun pun berundur.Sebagai mengambil hati orang tua itu maka dianugerahkanlah gelaran Tun kononnya kerana banyak jasa-jasa yang telah ditaburkan sepanjang beliau berada disinggahsana kekuasaan. Itulah dia sikap orang Melayu ...sengaja mahu ambil hati ...
Ekoran daripada perletakkan jawatan TDM, beberapa ahli politik veteran dengan tegas berkokok bahawa mereka tidak perlu meletakkan jawatan kerana jasa mereka masih diperlukan lagi dan kerana rakyat masih mahukan mereka. Antara mereka ini ialah Tan Sri Rafidah Aziz dan Dato Sri S Samy Vellu.
Memang rakyat sebahagian besarnya tahu bahawa Samy Vellu adalah menteri yang paling tidak digemari kerana keangkuhan dan keegoannya. Walau pun nampak ada banyak kelemahan di dalam kementeriannya, namun SV masih enggan mengalah. Lihatlah betapa korupnya projek MRR2 dan juga projek pembaikkan bangunan Parlimen. Semua rakyat tahu bahawa kegagalan mengawasi projek tersebut atau lebih tepatnya rasuah adalah penyebab utama projek berkenaan bermasalah.
Kalau benarlah projek tersebut tiada unsur-unsur rasuah , mana mungkin beberapa keretakan atau kebocoran boleh berlaku. Adakah jurutera-jurutera yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya benar-benar mengawasi projek berkenaan? Jawapannya sudah tentu tidak! Kalau projek diawasi, suddah tentulah hasil kerjanya akan menepati mutu atau standard yang sepatutnya.
Akhirnya kerana masih mahu melayani keegoannya sehingga akhirnya rakyat telah muak dan benci dan akhirnya rakyat telah menolak SV sehiunga kalah dengan penuh kehinaan dalam PRU12 yang lalu.
Bagaimana pula dengan Tan Sri Rafidah Aziz? Tak payah disebut lagi. Sekarang ini RA sedang mengumpulkan gerombolannya untuk memastikan beliau memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang. Amat menjijikkan sekali kerana dalam wanita UMNO sendiri telah wujud kem yang berbeza di mana sudah tentulah kewujudan kem-kem ini adalah berteraskan kepentingan peribadi tetapi menggunakan nama Parti.
RA harus sedar bahawa selepas skandal beliau dengan APnya melanda negara, rakyat telah hilang kepercayaan terhadapnya.
Saya tidak nampak ada alasan yang munasabah untuk RA mempertahankan jawatannya sebaliknya, tidak perlu ada penangguhan dalam penyerahan kuasa. Hairan, hendak menyerahkan kuasa pun perlu ada syarat dan tempoh! Kalau sudah tahu diri tidak dikehendaki, berundur adalah cara terbaik. Janganlah gunakan alasan kononnya masih memerlukan masa untuk menyediakan Wanita UMNO di landasan yang betul sebelum penyerahan kuasa dibuat. Janganlah jadikan parti seperti kuda tunggangan.
Kadang-kala kita mesti mengikuti trend di barat atau di Jepun. Bila ahli politik menyedari mereka tidak popular dan mendatangkan masalah kepada parti dan negara, mereka dengan sendirinya akan mengundur diri. Itulah dia harakiri politik yang gentleman!Bukannya seperti sebahagian besar seperti ahli politik di negara kita.
Bagi saya baik Rafidah, Mahathir, Pak Lah, Samy Vellu,Muhammad Taib atau Khir Toyo, buanglah ego anda.Terimalah hakikat sebenar dan berbaliklah ke alam nyata. Berpijaklah ke hakikat yang sebenar. Anda tidak diperlukan!!!!

Friday, November 14, 2008

PENYOKON BN, NGO SERAH MEMO BANTAH TINDAKAN SRI LANKA TERHADAP PENDUDUK TAMIL

Saya tertarik membaca berita muka surat 19 akhbar Berita Harian Sabru, 15/11/2008. Memang amat menarik kerana bagi saya memang ada benarnya memorandum dihantar bagi mendesak kerajaan Sri Lanka menghentikan serangan terhadap penduduk Tamil dalam operasi menentan Gerila Tamil Eelam.

Memang saya terkejut kerana statistik orang awam yang terkorban akibat konflik Sri Lanka mencecah ribuan malahan sejumlah 310,000 pula telah hilang tempat tinggal. Bagi saya konflik tersebut sepatutnya tidak melibatkan orang awam yang tidak berdosa.

Memang saya sendiri pun amat tidak bersetuju dengan tindakan Gerila Tamil Eelam yang turut mensasarkan orang awam Sri Lanka yang tidak berdosa dalam tindakan ketenteraan mereka. Namun daripada apa yang berlaku sehingga sekarang ini, saya berpendapat penyokong BN dan NGO terbabit juga sepatutnya menyerahkan memorandum terhadap pihak Tamil Eelam supaya kedua-dua pihak tidak menjadikan orang awam sebagai mangsa tindakan ketenteraan mereka.

Gerila Tamil Eelam juga sepatutnya berhenti daripada merekrut anak-anak kecil daripada menjadi tentera kerana anak-anak tersebut berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya dari kerajaan Sri Lanka. Jalan terbaik hanyalah perundingan kedua dua pihak.

Adalah menjadi harapan agar konflik yang sia-sia antara kedua pihak itu akan dapat dibincangkan oleh PBB agar ia akan mendamaikan semua pihak dan agar semua rakyat Sri Lanka tanpa mengira kaum dan agama akan hidup aman dan sejahtera.

Wednesday, November 12, 2008

HARGA BARANG MELONJAK LAGI!!!! MALAYSIA KALAH PERANG!!!!!

Pagi ini 12/11/2008 lebih kurang jam 10.00 pagi aku telah ke Pasar Besar Klang di Jalan Meru untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Sewaktu aku sampai di sebuah kedai menjual telur, aku telah bertanyakan kepada pemilik kedai tersebut berapakah harga telur gred B? Belumpun sempat menjawab pertanyaanku, pemilik kedai itu memberitahu aku harga telur telah naik hari ini.

Mungkin kerana aku ini panas baran, tanpa aku sedari aku telah melepaskan beberapa perkataan mencarut l**c*u!!! dan c***i!!!!Memang betul-betul aku panas hati mendengar harga telur telah naik walaupun sekarang bukannya musim perayaan.

Aku kemudiannya bertanya kepada pekedai itu kenapakah harga telur boleh naik sedangkan harga petroleum dunia telah turun? Dia hanya tersengih macam b**i bodoh sahaja.Katanya harga barang makanan ayam elah naik. Aku kemudiannya menambah setahu aku belum ada ura-ura kenaikan harga makanan ayam. Kerana sakit hati, aku tidak jadi membeli telur di kedai itu.

Seterusnya aku telah pergi ke dalam pasar untuk membeli timun. Bila aku tanya harganya, terkejut beruk aku jadinya kerana harganya ialah RM3.00 sekilogram!! Aku bertanya kenapakah harganya mahal sedangkan sebelum ini hanya RM1.90 sekilo. Jawabnya kerana sekarang ini hujan!!!Kemudiannya aku bertanya lagi kenapa sayur sayuran import dari China juga mahal, adakah kerana China juga hujan sekarang ini? Indonesia pun hujan juga ke?

Memang sekarang ini aku amat terasa betapa kesempitan hidup ini terlalu menekan. Bayangkanlah bagaimana seorang kerani rendah, tukang sapu, pembantu makmal, guru , jurugegas dan mereka yang berada di kelas pertengahan hendak menghadapi keadaan seperti ini. Di sinilah mendedahkan betapa lemahnya kerajaan kita kerana penguatkuasaan yang lemah mencerminkan kerajaan yang lemah.

Aku amat berharap agar mereka yang berada di puncak pemerintahan negara agar turunlah ke bawah dan rasailah sendiri penderitaan rakyat! Kamu semua tidak pernah hendak merasai keperitan hidup kerana kamu mempunyai segala-galanya yang mencukupi untuk memenuhkan tembolok anak bini dan kaum kerabat kamu. Kamu boleh mendapatkan apa yang kamu mahu tanpa perlu mengotorkan kasut dan pakaian kamu berjalan di celah-celah gerai ikan ayam dan sayur di pasar.

Wahai para pembesar, cubalah sekali kamu mengadakan lawatan mengejut ke rumah seorang tukang cuci untuk berkongsi makan tengah hari atau makan malam dengan mereka. Aku rasa kalau kamu membawa anak bini kamu berkunjung ke rumah tukang cuci itu, pasti anak bini kamu pun tidak lalu untuk menjamah makanan di rumah mereka. Mana mungkin anak bini kamu makan kalau hanya berlaukkan ikan masin dan kicap atau sambal belacan dengan ulam raja atau pucuk ubi celur!

Cubalah kamu bawa kaum keluarga kamu melawat ke rumah keluarga seorang kampung di Kg Temelong, Lenggong Perak atau ke rumah seorang penoreh getah di Kg Lakloh, Kuala Krai, Kelantan. Rasailah bagaimanakah mereka melalui kehidupan seharian mereka. Belajarlah dari kesusahan rakyat.

Mujurlah negara kita sekarang ini bukan berada di era peperangan. Aku boleh bayangkan kalaulah berlaku peperangan, berapa lamakah negara kita mampu bertahan kerana jika hendak memerangi kenaikan harga pun kita tidak mampu, janganlah berangan-angan hendak mengalahkan musuh yang bersenjata.

Memanglah negara kita sekarang ini sudah masuk ke era yang amat parah. Parah segala-galanya. Dari pemimpin ke rakyat, semuanya sudah parah. Kita perlu mencari ubatnya sekarang. Berubatlah sebelum parah. Marilah kita wujudkan negara yang lebih bermaruah. Hapuskan rasuah, kronisme dan semua unsur-unsur yang membawa kepada keruntuhan dan perpecahan. I love u Malaysia!!!!!

Sunday, November 9, 2008

PERSIDANGAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN SEREMBAN YANG MEMALUKAN

Sambil menghirup kopi o panas, saya menggelengkan kepala apabila membaca Mingguan Malaysia 9 November 2008. Apa sudah jadi dengan Pemuda UMNO Seremban. Saya dengar ada yang cedera akibat perbuatan bertumbuk dan membaling kerusi meja. Masyaallah!!!

Sudah sampai masanya pihak-pihak dalam UMNO melihat dalaman diri mereka sendiri dan mencari kelemahan yang memang telah berakar umbi sejak dari penubuhan UMNO sendiri. Bila ada percakaparan dalam UMNO maka jelaslah bahawa memang amat rendah sekali moral dan mental mereka yang terbabit itu.

Sia-sia sahaja slogan yang dicanangkan selama ini bahawa UMNO itu hak orang Melayu kalaulah apa yang berlaku dalam mesyuarat itu langsung tidak mencerminkan budi pekerti orang Melayu. Sedarlah...insiden yang memalukan itu perlu dijadikan iktibar untuk semua. Atau....adakah mungkin dilain kali jika diadakan mesyuarat yang seumpama itu, perlu disediakan boxing glove dan ambulan? Lu pikirlah sendiri.......

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA BAKAL NAIKKAN IMEJ NEGARA?

Saya amat tertarik hati membaca tajuk kecil dan berita panjang sejengkal sahaja dalam akhbar Mingguan Malaysia 9 November 2008. Memang agak menarik tajuk berita berkenaan namun kerana panjangnya sejengkal sahaja maka ianya tentu lebih menarik lagi kerana persoalannya mengapa beita yang sepatutnya gah tetapi menjadi sebaliknya.

Terang-terang saya tidak bersetuju dengan tulisan penulis berita tersebut yang memetik kata Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) bahawa SPRM juga mampu menaik pelabur, sekaligus memulihara keadaan ekonomi negara.

Bagi saya, itu hanyalah teori sahaja dan berkemungkinan juga adalah untuk menyeddapkan jalan ceerita. Namun hakikat sebenarnya, masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi menarik kembali pelaburan luar ke negara kita. Saya sendiri dapat merasakan begitu calarnya imej negara ini semenjak kebelakangan ini terutamanya dengan perkembangan tidak sihat kempen pemilihan sempena dengan Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2009.

Walaupun berita pemilihan dan mesyuarat UMNO telah diberikan tajuk utama akhbar-akhbar berbahasa Melayu di negara, namun saya sendiri nampak bahawa UMNO telah ditelanjangi dan menjadi bertambah jelek. Politik wang (lebih tepatnya rasuah) dalam UMNO telah membuktikan bahawa UMNO selama ini bergelumang dengan masalah rasuah. Malahan saya sendiri turut merasakan bahawa jika seseorang calon itu tidak mempunyai wang, adalah mustahil ia akan mendapat pencalonan untuk memegang apa-apa jawatan dalam UMNO.

Banyak yang perlu kerajaan lakukan untuk menggembalikan kepercayaan rakyat dan pelabur luar terhadap negara ini. Isu rasuah dalam UMNO, isu moral pemimpin-pemimpin UMNO, isu tender dan projek, isu kronisme , isu bahasa Melayu, isu ISA dan beribu-ribu isu lagi perlu ditangani segera jika kerajaan ingin mendapatkan kepercayaan dunia.

Apa yang penting, SRAM diharapkan akan menjadi tulang belakang terhadap perang memerangi rasuah di Malaysia. Perkara paling penting ialah jangan memilih bulu. Siasatan perlu telus. BPR perlu mendapat nafas yang baru dan segar supaya menjadi elemen penting dalam memerangi rasuah. Jangan tunduk kepada tekanan politik atas pilih bulu. Jika perkara ini gagal dibendung, maka lebih baiklah SRAM ditiadakan.

Friday, November 7, 2008

CORETAN PETANG JUMAAT- AKU DAH BOSAN!!!!

Memang aku dah teramat amat bosan dengan keadaan negara sekarang ini. Bukan aku derhaka kepada sesiapa tetapi memang betul aku dah bosan, bosan dan bosan. Bosan kepada siapa? Bosan aku melihat percakaparan politik negara sekarang ini.

Pilihanraya Presiden Amerika telahpun selesai dan sekrang tibalah masanya untuk pemimpin politik Demokrat dan Republikan menggembeling tenaga untuk membangunkan semula negara mereka. Tetapi ini tidak berlaku di negara Malaysia. Ahli-ahli politik masih bercakaran. BN dan PKR masih bercakaran. UMNO dengan UMNO lagi teruk bercakaran! Politik wang, politik wang, politik wang. Kalau nak hentikan politik wang senang sahaja. Gunakanlah istilah 'rasuah politik.'

Aku juga hairan kenapa istilah politik wang ini digunakan. Malaun manakah yang amat bangang mewujudkan istilah itu. Bukankah itu sama ertinya dengan rasuah. Bukankah memberi dan menerima wang dalam pertikaian politik itu adalah satu rasuah? Jadi kenapakah hendak digunakan istilah yang maha lembut sedangkan pengertiannya ialah rasuah? Rasuah tetap rasuah walaupun istilah ditukar.

Bertambah-tambah meluat dan bosan lagi ialah kerana akhbar-akhbar berbahasa Melayu langsung tidak mempunyai nilai akhbar!!! Memang terang membazirkan duit sahaj beli akhbar berbahasa Melayu. Bukan aku ini anti Melayu tetapi cubalah bayangkan bila membaca muka depan, muka kedua dan ketiga akhbar, tidak ada cerita lain melainkan cerita bodek pemimpin politik. Apa ke jadah nak jadi dengan akhbar Melayu. Cubalah tiru akhbar China Press atau akhbar Cina yang lain. Taklah teruk sangat bodekan mereka itu.

Bosan membaca akhbar, aku beralih pula kepada tv, tup tap aku buka tv nak melihat Warta Perdana. Laaaaaaaaa cerita politik lagi, ahli politik rasmikan mesyuarat, PM melawat rumah anak yatim, TPM beri hadiah kepada kampung Orang Asli dan bla bla bla......eeeiiii bosan sungguh.

Apakah budaya ini harus berterusan? Adakah aliran ini harus dibiarkankan. Orang lain dah jauh meninggalkan kita. Kita masih lagi nak sumbat telinga rakyat dengan dongeng-dongeng tentang ahli politik negara yang macam wali baiknya. Merekalah yang terbaik, prihatin, penyayang dan macam-macam lagi......sampai nak bisul telinga dibuatnya.

Akhirnya aku hanya melihat internet, layari akhbar antarabangsa, tak sanggup nak membaca akbar negara sendiri. Buat menghabiskan boreh ajo.....

Catatan petang Jumaat
dari Soromban, NS.

SESEKALI AKU TERKENANGKAN MEREKA-AL FATIHAH

Inilah dia pusingan kehidupan. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Bak kata pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Mereka ini adalah ikon yang pernah mewarnai dunia seni tanah air.
Memanglah negara kita amat terasa akan kehilangan mereka ini. Namun bagi yang masih hidup, hanya doa sahaja yang dapat dipanjatkan kepada mereka agar roh mereka akan dicucuri rahmat.
Memang masih terbayang wajah-wajah mereka ini semasa di zaman kemuncaknya, menjadi idola generasi di zaman mereka itu. Mereka tidak kaya, mereka bukan jutawan, tetapi mereka adalah anak seni yang sejati.
Semoga keluarga mereka juga akan tabah dan sentiasa dalam keadaan dilindungi oleh Allah s.w.t. Sekali lagi AL-FATIHAH.....
Posted by Picasa

YONG TAU FOO TAIPING YANG MENGIURKAN...


Kalau ke bandar Taiping, jangan lupa singgah di belakang balai bomba. Di situlah letaknya food court yang dikenali kerana yong tau foo dan nasi kampung.

Tidak kurang dari 7 gerai menjual yong tau foo di sana. Rasanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Mengiurkan....Tapi awas!! Harganya kekadang boleh memuntahkan semula apa yang telah kita telan!!!!!
Posted by Picasa

PRINCESS-SI HITAM BODYGUARD SETIA

Inilah dia princess, anjing doberman peliharaanku yang amat setia menjaga rumah dan keluarga aku. Memang ia amat garang dan tidak gentar dengan anjing-anjing lain yang cuba menyerangnya.

Itulah semangat si hitam. Sanggup mati untuk mempertahankan tuannya. Adakah kita juga bersemangat seperti si hitam itu? Pantang dicabar dan tangkas menyahut cabaran.
Posted by Picasa

INILAH LEMAHNYA PENIAGA MELAYU


Peristiwa di suatu petang di Batang Berjuntai.......
Anakku Emyly membeli kuih muih yang berharga RM3.00 dan memberi wang kertas RM10.00 kepada penjaga gerai itu. Kemudiannya aku lihat penjaga gerai itu memulangkan semula wang dan meminta wang kecil, dan sambil berkata dia tiada wang tukar!

Apa nak jadi dengan peniaga kecil ini. Kalaulah anakku itu menukarkan wang note RM100.00 mungkinlah agak sukar untuk dia memulangkan bakinya. Tapi ini hanyalah wang RM10.00. Hai....Lu pikirlah sendiri.....
Posted by Picasa

ADAKAH ORANG KITE GENTLEMAN?

Gentlemankah orang kita bila;
1. Naik kenderaan tak hirau orang lain.
2. Sungai longkang dan tepi jalan jadi tempat buang sampah.
3. Lubang tandas ialah tempat buang rokok, pampers, resit dan bayi....!!!!
4. Peniaga boleh naikkan harga sesuka hati
5. Ditegur sedikit, melentingnya lebih
6. Biar tiada duit, gaya mesti tiptop
7. Tahu diri dibenci tapi buat muka selamba
8. Macam-macam ada, tapi sebenar macam-macam tiada
DAN YANG PALING TERUKNYA........ SUKA DIAMPU, DIJUNJUNG, DIPUJI WALAUPUN TAHU DIRI KOSONG MACAM TONG BURUK.........

Monday, November 3, 2008

IMEJ NEGARA TERCALAR KERANA EUROCOPTER

Memang agak malang sekali apabila isu pembelian 12 unit Eurocopter untuk menggantikan pesawat Nuri telah menimbulkan banyak persoalan dan amat membimbangkan. Dengan harga RM1.6 billion, adakah pembelian ini telah mengambil kira keperluan pertahanan negara dan kemampuan kewangan ketika negara dan dunia berada dalam kegawatan ekonomi sekarang ini.

Saya sendiri agak tertarik dengan isu ini lebih-lebih lagi apabila Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Fariz Musa membuat laporan Polis terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Sehubungan itu Ketua Pengarah BPR Datuk Seri BPR akan memulakan siasatan dengan diketuai oleh Pengarah Siasatannya Datuk Shukri Abdul.

Syabas sekiranya benar BPR prihatin terhadap isu ini kerana saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia juga mahu isu ini diperjelaskan kerana ini membabitkan wang rakyat. Bayangkan dengan jumlah wang yang sebegitu besar, adakah berbaloi dengan pelaburan yang akan dibuat nanti oleh kerajaan?

Ingatlah, duit yang akan diguna pakai nanti bukanlah duit PKR, DAP, UMNO atau PAS tetapi adalah duit rakyat, hak rakyat. Hentikanlah segala sandiwara semasa berhubung dengan Eurocopter itu. Jangan nanti pesawat itu akan menjadi senasib dengan pesawat Skyhawk, Hawk, F5E yang mana hanya gah pada nama tetapi amat mendukacitakan. Apakah keputusan siasatan nanti akan diumumkan kepada rakyat? Kita tunggu keputusannya.....

SEJARAH KEMERDEKAAN NEGARA-SATU PENILAIAN SEMULA

Pagi ini aku terbaca beberapa artikel seperti tukartiub.blogspot, Malaysiakini dan sebagainya. Bukannya aku ini peminat politik yang kemaruk tetapi aku hanyalah seorang rakyat Malaysia yang biasa sahaja. Tiada sebarang keistimewaan. Maka kerana itulah aku tergerak untuk meluahkan pandangan peribadiku sebagai rakyat yang cintakan negara.

Aku amat bersetuju seratus peratus agar sejarah kemerdekaan negara ini dinilai semula memandangkan generasi selepas kemerdekaan telah dinafikan hak untuk mendadpatkan gambaran sebenar perjuangan ke arah kemerdekaan negara ini.

Apabila aku membelek buku-buku sejarah karangan penaulis sejarah tempatan yang dijadikan sebagai buku teks sekolah, memang jelas bahawa kesimpulan daripada semuanya ialah bahawa UMNO yang menjadi landasan ke arah kemerdekaan negara!Bagi aku, setelah membaca banyak artikel dan mendengar cerita daripada orang-orang lama yang hidup di zaman tuntutan kemerdekaan itu, maka jelaslah bahawa UMNO itu hanyalah satu titsan air daripada semangkuk air untuk menghilangkan dahaga rakyat. Peranan sebenarnya telah dimulakan oleh pertubuhan-pertubuhan yang lebih awal diwujudkan di Tanah Melayu seperti AWAS, API dan sebagainya.

Namun daripada beberapa pertubuhan politik, peranan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang ditubuhkan oleh Ahmad Boestamam , Abdul Rahman Rahim dan Abu Bakar Thareek di Ipoh pada 17 Februari 1946 , adalah merupakan pertubuhan politik sebenar yang berjuang ke arah kemerdekaan dengan gagah berani dan bukannya UMNO! Inggeris lebih takutkan API dari UMNO!

Tidak perlu saya huraikan lebih lanjut tentang perjuangan API kerana semuanya ini boleh dilayari di halaman-halaman internet. Namun apa yang ingin saya perjelaskan ialah, sudah sampai masanya kita membuat penilaian semula terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita. Pejuang-pejuang negara yang telah kita lupakan patut diangkat semula kerana tanpa mereka itu, negara kita pasti berada dalam situasi yang sukar.

Semoga Allah akan mencucuri rahmat ke atas semua pejuang-pejuang negara yang telah sanggup mengorbankan jiwa raga mereka demi sebuah kemerdekaan. Kita semua perlu belajar dari kesilapan agar bangsa dan negara akan lebih mekar dan segar dalam persada dunia hari ini.

Sunday, November 2, 2008

CHARLIE'S ANGELS SETIA ALAM

Inilah dia 3 Charlie's Angels yang setia mengikut aku melakukan aktiviti bird watching di sekitar tasik di Setia Alam. Dari hadapan: Ida, Gege dan yang berada di atas Toyota Hilux itu adalah Mimi. Memang merekalah penghibur hatiku , merekalah madu dan racun!!!

Aku lebih suka mereka melakukan aktiviti ini daripada mereka menghabiskan masa di pusat-pusat membeli belah atau pun lepak bersama-sama kawan melakukan kerja yang tidak berfaedah. Mereka inilah bakal yang akan berjuang mempertahankan habitat semulajadi fauna di negara kita. Selamat ber'birdwatching.'!!!!!!
Posted by Picasa

BELIBIS OH BELIBIS

Inilah salah satu pandangan di tasik buatan manusia, aku namakannya Tasik Belibis!

Semalam, 1/11/2008, aku bersama dengan anak-anakku telah membawa beberapa peralatan ringkas untuk melakukan aktiviti birdwatching. Dengan menggunakan kenderaan Hilux, kami berempat beranak telah membuat tinjauan sekitar Pulau Belibis dan berjaya melihat aktiviti sepasang belisbis yang sedang berehat di pulau tersebut
Anakku Emyly @ Mimi begitu tekun menggunakan teropong untuk mencari lokasi di mana terdapat burung-burung hinggap dan bermain di sekitar tasik.
Ini adalah salah seekor belibis yang dapat aku rakamkan dengan hanya menggunakan digital kamera Canon dan difokus terus ke dalam teropong untuk mendapatkan pandangan yang lebih dekat.
Foto di atas ialah sepasang belibis sedang berehat dan kemungkinan memandang ke arah aku dan anak-anakku!

Memang aku amat berpuas hati dapat memerhatikan burung belibis yang sedang berehat itu. Bukan mudah sekarang ini untuk melihat apatah lagi merakamkan gambar belibis secara live. Tetapi mungkin kerana rezekiku telah ada maka dsapatlah aku dan anak-anakku melihat kelibat belibis berkenaan.

Bukan suatu perkara yang sukar untuk melihat belibis di Setia Alam. Cuma yang perlu ada hanyalah peralatan ringkas yang minima , sedikit ketabahan dan disiplin diri yang tinggi. Jangan melakukan perbuatan yang boleh menakutkan belibis dan burung-burung liar yang lain. Jangan membaling batu atau riuh rendah semasa melakukan aktiviti birdwatching ini.

Bagi diri aku sendiri, kekerapan aku berbasikal di kawasan Setia Alam telah menjadikan jiwa aku bertambah sayang dan menghargai anugerah Tuhan kepada aku dan umat yang lain. Terima kasih Tuhan............
Posted by Picasa

SETIA ALAM-SYURGA BARU HIDUPAN PAYA

Pada 28/10/2008 dan 31/10/2008 yang lalu, aku telah berkesempatan membuat kayuhan basikal di kawasan bandar baru Setia Alam yang terletak kira-kira 5 minit perjalanan dari Klang Selangor. Kayuhan secara solo itu aku lakukan semata-mata untuk beriadah dengan basikal mountainbike Cannondale F7 kesayanganku.

Dalam kesempatan kayuhan itu, aku sempat melemparkan pandanganku ke arah beberapa tasik buatan dan tasik semulajadi yang terdapat di kawasan itu. Memang sebelum inipun aku pernah berbasikal di kawasan itu tetapi hanya bertemu dengan kawanan burung pucong, ayam-ayam, wak-wak dan bangau. tetapi pada kali ini, aku menjadi bertambah seronok apabila dapat memerhatikan kekawanan burung belibis bebas berenang bersama dengan anak-anaknya.
Wah! Bila amenyedari sahaja terdapat burung belibis di kawasan tersebut, aku terus pulang ke rumah dan mengambil teropong Nikon kepunyaanku dan datang semula pada petang harinya untuk melihat secara lebih jelas beburung yang terdapat di sekitar kawasan itu. Memang benar aku amat bernasib baik kerana dapat melihat kawanan burung belibis berenang renang mencari makan di pinggir tasik tersebut.
Selain daripada itu aku juga berkesempatan melihat dan mengambil gambar burung bangau yang aku rasakan agak jinak berbanding dengan burung belibis. Yeah....aku berpuas hati dengan suasana di sekitar kawasan Seri Alam itu. Memang buat masa sekarang ini, tempat tersebut amat sesuai untuk aktiviti birdwatching dan juga berbasikal. Sekirannya cuaca baik, jangan lepaskan peluang menyaksikan burung-burung liar yang bebas berterbangan dan berenang di beberapa tasik di sana. Tetapi jangan lupa, jagalah disiplin sendiri. Jangan menganiaya dan menakutkan fauna yang terdapat di sana. Cara paling terbaik untuk melihat beberung di sana ialah dengan berbasikal!!!!!!!! Ayuh kita berbasikal!!!!!!!!
Posted by Picasa

Saturday, November 1, 2008

PROTON BUAT HAL LAGI

Sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian kereta Proton Perdana buat hal. Kali ini pada hari Jumaat 31 Oktober kelmarin di mana kereta Proton Perdana yang dipandu oleh M.Moneygaran yang membawa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie LIu menghadapi masalah yang serius.
Kereta berkenaan yang dipandu dari Rimba Jaya, Shah Alam ke Serdang pada jam 8.30 malam, tiba-tiba telah terbuka bonet hadapannya menyebabkan cermin hadapan telah pecah dan sedikit kerosakan telah berlaku pada bumbungnya.
Ekoran daripada kejadian itu, Ronnie yang juga merupakan ADUN Pandamaran telah meluahkan rasa kecewa dan mahukan supaya semua Exco berbincang mengenai keputusan untuk menukar kenderaan rasmi Exco dan mencadangkan agar kereta Toyota Camry diberi pertimbangan sebagai kenderaan rasmi nanti.

Berhubung perkara ini, saya sendiri antara yang mereka yang pernah mengalami kekecewaan dengan mutu kereta Proton yang saya rasakan amat rendah. Sepatutnya perkara ini telah tidak berlaku lagi memandangkan usia Proton yang telahpun matang. Namun tiada siapa yang mahu ambil peduli tentang mutu kereta nasional itu.
Saya tidak hairan jika Proton hilang kepercayaan pengguna di peringkat global kerana di peringkat nasional sendiri, kepercayaan terhadap mutu kenderaan tersebut masih dipertikaikan. Pihak Proton sepatutnya mengambil langkah yang maksimum untuk memastikan kawalan mutu kereta nasional itu mematuhi standard yang sepatutnya.
Saya amat faham, jika ada pihak yang mempertikaikan mutu kereta nasional itu, maka ramailah yang akan mempertahankannya dengan pelbagai alasan,kononnya mutu kereta itu adalah setanding dengan pengeluar kereta antarabangsa yang lain.
Proton patut menoleh semula ke belakang melihat apakah kekurangan yang mereka ada dan menanamkan semula kepercayaan masyarakat terhadap kereta keluarannya. Tidak ada gunanya kita menggunakan kenderaan nasional itu sekiranya mutunya masih ditakuk lama. Berubahlah sementara masa masih ada. Saya khuatir suatu hari nanti, Proton akan tinggal nama dan sejarah sahaja. Ambillah langkah segeran bermula dari sekarang juga.