Sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian kereta Proton Perdana buat hal. Kali ini pada hari Jumaat 31 Oktober kelmarin di mana kereta Proton Perdana yang dipandu oleh M.Moneygaran yang membawa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie LIu menghadapi masalah yang serius.
Kereta berkenaan yang dipandu dari Rimba Jaya, Shah Alam ke Serdang pada jam 8.30 malam, tiba-tiba telah terbuka bonet hadapannya menyebabkan cermin hadapan telah pecah dan sedikit kerosakan telah berlaku pada bumbungnya.
Ekoran daripada kejadian itu, Ronnie yang juga merupakan ADUN Pandamaran telah meluahkan rasa kecewa dan mahukan supaya semua Exco berbincang mengenai keputusan untuk menukar kenderaan rasmi Exco dan mencadangkan agar kereta Toyota Camry diberi pertimbangan sebagai kenderaan rasmi nanti.
Berhubung perkara ini, saya sendiri antara yang mereka yang pernah mengalami kekecewaan dengan mutu kereta Proton yang saya rasakan amat rendah. Sepatutnya perkara ini telah tidak berlaku lagi memandangkan usia Proton yang telahpun matang. Namun tiada siapa yang mahu ambil peduli tentang mutu kereta nasional itu.
Saya tidak hairan jika Proton hilang kepercayaan pengguna di peringkat global kerana di peringkat nasional sendiri, kepercayaan terhadap mutu kenderaan tersebut masih dipertikaikan. Pihak Proton sepatutnya mengambil langkah yang maksimum untuk memastikan kawalan mutu kereta nasional itu mematuhi standard yang sepatutnya.
Saya amat faham, jika ada pihak yang mempertikaikan mutu kereta nasional itu, maka ramailah yang akan mempertahankannya dengan pelbagai alasan,kononnya mutu kereta itu adalah setanding dengan pengeluar kereta antarabangsa yang lain.
Proton patut menoleh semula ke belakang melihat apakah kekurangan yang mereka ada dan menanamkan semula kepercayaan masyarakat terhadap kereta keluarannya. Tidak ada gunanya kita menggunakan kenderaan nasional itu sekiranya mutunya masih ditakuk lama. Berubahlah sementara masa masih ada. Saya khuatir suatu hari nanti, Proton akan tinggal nama dan sejarah sahaja. Ambillah langkah segeran bermula dari sekarang juga.
Saturday, November 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment