Friday, December 14, 2007

Opah ( 1 )



Opah, nenek, tok wan atau apa sahaja nama gelaran tetap membawa makna seorang perempuan tua yang telah lanjut usia, berambut putih umpama nenek kebayan dan badannya bongkok! Setinggi mana darjat dan pangkat, kaya atau miskin tetap akan menjadi opah. Lalu apabila sahaja sudah mendapat gelaran opah, tiada apa yang lebih membahagiakan selain dari merasai nikmat kasih sayang dari anak-anak dan juga cucu cicit.

Opah sebelah almarhum ayahku, Suyah Bt Lebai Kemala telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1998 semasa anak sulungnya iaitu abang bapaku yang tua telah berumur 98 tahun. Amat menakjubkan. Berapakah umur sebenar opahku itu? Apa yang pasti, anak sulungnya telah dilahirkan pada tahun 1900 dan meninggal dunia pada tahun 2004 di Seri Kinta, Ipoh Perak sewaktu berusia 104 tahun.

Sejarah hidup opahku.....

Seperti yang diceritakan kepada kami, opahku adalah dari keturunan Tengku Bendahara Sofian di tanah Mandiling, Sumatera. Ia adalah dari keturunan diraja. Setelah berlaku peperangan saudara di tanah Batak, moyangku, Jong Komolo telah berhijrah ke Tanah Melayu dan langsung menukarkan nama kepada Lebai Kemala. Sebagai seorang yang warak dan mengajar agama kepada masyarakat setempat di Lenggong, Perak, moyangku itu telah diambil bekerja sebagai mandor oleh pihak Inggeris di Grik. Malahan nama Grik itu sendiri adalah diberikan oleh moyangku berdasarkan cerita seekor haiwan dikenali sebagai dekang telah mengerik pohon buluh di mana moyangku berehat. Apabila ditanya tentang nama tempat itu oleh Pegawai Inggeris pada masa itu, Tuan Berkeley, lantas moyangku telah mengesyorkan nama Grik. Nama itu melekat hingga ke sekarang ini.

Sepanjang perkahwinan opahku dengan arwah datukku Hj Alwi, mereka telah dikurniakan anak-anak iaitu, Mohd. Yusof, Ashaari dan ayahku Abdul Wahid. Sebagai meneruskan kesinambungan darah pendidik, Mohd Yusof telah mendalami ilmu agama di tanah seberang dan kembali semula ke Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Semasa penaklukan Jepun, ia telah menjadi guru mengajar bahasa Jepun kepada anak-anak Melayu di Lenggong, Perak. Arwah bapa saudaraku itu berkebolehan bertutur dalam bahasa Arab, Thai, Belanda dan Jepun.

Bapa saudaraku Ustaz Mohd Yusof , pernah mengajar di Pattani dan Yala di Thailand sebelum lari ke Tanah Melayu kerana masalah dalam negeri di Thailand. Beliau kemudiannya telah mengajar di Sekolah Pondok Peringat di Kota Bharu, Kelantan, Salah seorang sahabat baiknya semasa di situ ialah Ustaz Hussin. Setelah kembali ke Perak, beliau telah berkhidmat di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh.

Setelah bersara, beliau masih aktif mengajar agama kepada masyarakat tempatan di sekitar Taiping, Semanggol, Ipoh dan sebagainya.

Anak kedua opahku, Almarhum Cikgu Ashaari amat dikenali di Lenggong, Grik dan Kuala Kangsar. Beliau bergiat aktif dalam politik tempatan sehingga ke akhir hayatnya. Sebagai seorang guru, beliau telah banyak menabur budi dan baktinya terhadap anak bangsa di Perak. Selain itu, bapa saudaraku ini juga amat rajin bercucuk tanam.

Dari kalangan 3 adik beradik, hanya ayahku sahaja yang berkhidmat sebagai tentera. Bermula pada tahun 1950 di Royal Signal, Singapura, ayahku, 450422 Abdul Wahid kemudiannya telah merantau ke pelbagai pelusuk tanahair untuk menabur bakti kepada negara. Setelah bersara dari tentera, ia kemudian telah berkhidmat di Telekom Malaysia bahagian Radio Depoh, Taiping. Orang tuaku ini telah meninggal dunia pada tahun 1992. Dan aku amat merasai kehilangannya hingga ke hari ini...
Posted by Picasa

No comments: