Friday, December 14, 2007

Opah ( 2 )


Mengingati semula kenangan silam aku semasa kecil di tahun 60an, aku masih teringatkan bagaimana opahku hidup sebagai seorang tua di Kg Bukit Nangka, Lenggong, Perak. Di kalangan penduduk setempat, Opahku di kenali juga dengan panggilan Pah Bunde, Tok Ngah, Pek Bunde, Tok Su atau Mak Ngah. Dia amat dikenali kerana kebolehannya sebagai seorang dukun. Aku sendiripun pernah berubat dengan opahku semasa menghadapi masalah sakit dalam perut yang kronik pada tahun 1971.

Pada waktu itu, aku sering sakit perut dan mendapatkan rawatan di Klinik Angkatan Tentera di Kem Garisson Taiping. Kerana sakitku akan berulang semula, pada waktu cuti penggal persekolahan, ayahku telah membawa aku balik ke kampungku di Lenggong dan berubat dengan opahku. Pengubatannya hanya menggunakan selut dari sungai berhampiran dan selut dipuput pada bahagian perutku. Setelah beberapa hari menerima rawatan darinya, aku telah sembuh sepenuhnya dan hingga ke hari ini tiada lagi masalah sakit perut kronik itu berulang.

Satu lagi kepandaian opahku ialah mengubat orang yang ada penyakit barah. Macam tak percaya sahaja bunyinya, tetapi itulah realitinya. Aku sendiri pernah menyaksikan penduduk kampung datang dengan membawa telur ayam kampung. Opah kemudiannya menguli telur tersebut di bahagian yang sakit. Kemudiannya telur tersebut dipecahkan dan keluarlah darah kotor dari dalam telur tersebut.

Sebagai seorang kanak-kanak yang masih tidak mengerti hal-hal berkaitan dengan masyarakat kampung, aku tidak pernah melihat opahku mempunyai duit yang banyak hasil dari kerjanya sebagai dukun. Maklumlah mungkin kerana rata-rata orang yang datang berubat dengannya ialah orang kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Bayaran? Jangan haraplah nak dibayar lumayan. Setahu akupun hanyalah RM1.25 sahaja!Kadang-kadang orang yang datang ke rumah opah akan membawa buah tangan seperti biskut dan kuih. Sebagai cucu, aku amat suka kalau orang yang datang ke rumah opah membawa biskut kapit berkrim. Paling boring jika tetamu yang datang membawa biskut lemak (empat segi atau biskut mayat) atau biskut kapal (keras dan biasanya ada dibuat bubur).

Pernah beberapa kali ada orang yang datang menjemput opahku pada waktu tengah malam untuk berubat atau membidankan perempuan bersalin. Kesian juga aku lihat opah kadang-kadang terpaksa berjalan kaki di tengah kegelapan malam dengan hanya membawa pelita dan barang-barang keperluan perubatan. Tetapi itulah satu budaya yang amat aku sanjungi, berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengharapkan ganjaran. Tidak pernah aku dengar dari mulut opahku pernah meminta wang dari orang-orang yang dirawatnya. Semuanya hanya keikhlasan sahaja.

Arwah ayahku pernah menegur opah kerana kasihan melihat opah ke hulu dan ke hilir mengubat orang, tetapi ganjarannya tidak seberapa. Namun semuanya tidak diperdulikan oleh opah. Dia tetap menjalankan tanggungjawab sosialnya sehinggalah ia meninggal dunia pada tahun 1998, meninggal dalam tidur. Sesuatu yang hasus dicontohi oleh anak cucu, walau sakit dan uzur, namun sembahyang dan puasa tidak pernah ditinggalkan. Sewaktu meninggal dunia, tidak ada pun dia menderita demam atau penyakit lain. Mungkin Tuhan menyayanginya atas jasa-jasa yang pernah ditaburnya sepanjang hayat di dunia ini.

Aku agak terkilan kerana tidak dapaty balik menghadiri pengebumiannya kerana pada masa itu aku berada di Kelantan. Perjalanan sahaja sudah mengambil masa 8 ke 11 jam dengan berkereta. Namun aku tetap menghadiahkan al-fatihah kepadanya kerana itulah sahaja hadiah yang boleh diberikan kepadanya sehingga bila-bila. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Posted by Picasa

No comments: