Monday, June 23, 2008

CATATAN PERJALANAN KE THAILAND (DAY 4 ) Visited To Thaksin University

Bergambar kenangan di hadapan pintu masuk ke Thaksin University
Time: 1545hrs@13/06/2008
Loc: Thaksin University, Phatthalung.
Event: Singgah di Universiti Thaksin.
Distance: 130.6km From Hatyai
Sebaik sahaja selesai menghabiskan masa di Phatthalung, pada jam 1518hrs, aku telah meneruskan perjalanan menuju ke Nakhorn Si Thammarat. Perjalanan kali ini amat indah kerana melalui kawasan perkampungan yang bertanah pamah. Langsung tiada gangguan lalu lintas atau dari ternakan yang dibiarkan bebas.

Semasa melalui kawasan bertanah pamah itu, aku telah mengambil kesempatan untuk singgah sebentar di Thaksin Universiti, Phatthalung. Kampus utama Universiti Phatthalung ialah di Songkhla.Thaksin Universiti telah diasaskan pada tahun 1968 sebagai sebuah kolej perguruan. Namun pada tahun 1974 ia telah dijadikan sebagai kampus kawasan (wilayah) untuk Universiti Srinakharinwirot dan akhirnya pada tahun 1998 telah menjadi sebuah universiti yang bebas.

Terdapat 22 binaan bangunan dalam kampus universiti ini dan kawasan yang dibangunkan ialah seluas 96,254 sq. m dan anggaran kos projeknya ialah sebanyak 1,171.4 juta bath.




Sebaik sahaja sampai di pintu hadapan universiti berkenaan, kami berdua telah meletakkan motosikal kami dan kemudiannya menemui pengawal keselamatan yang bertugas di pintu hadapan tersebut. Kami memberitahu mereka bahawa kami ialah dari Malaysia dan kemudiannya berbual dengan mereka. Walaupun agak sukar berkomunikasi, mereka tetap ramah mesra dengan kami berdua. Sambil berbual itu, kami telah dihidangkan dengan kopi panas.
Kemudiannya kami berdua telah dibawa melawat ke sekitar kompleks kampus universiti oleh ketua pengawal di situ. Memang agak luas kawasan universiti itu jika hendak dibandingkan dengan universiti di negara kita sendiri. Sesuatu yang agak menarik ialah pelajar-pelajar universiti di sini semuannya memakai pakaian seragam putih dan berseluar panjang hitam. Nampak macam anak-anak sekolah.
Setelah melawat kawasan sekitar tersebut, pada jam 1643hrs kami telah dibawa pula ke mess pengawal keselamatan yang terletak tidak jauh luar dari kawasan kampus. Kami telah dijamu oleh Cif Sekuriti, Mr Sao Tong.Daripada pengamatan saya, saya dapati pengawal keselamatan yang bertugas di universiti ini dibekalkan dengan senjata api, mungkin kerana keadaan di selatan Thailand yang bergolak menyebabkan mereka terpaksa dibekalkan dengan senjata api tersebut.

Di mess tersebut saya dapati walaupun mereka hanyalah pengawal keselamatan, tetapi mess mereka ada dilengkapi dengan karaoke, alatan muzik, tv , mini bar dan ini adalah amat berbeza sekali dengan apa yang terdapat di negara kita. Memang orang Thai amat kreatif.

Pada jam lebih kurang 1650hrs, kami mengucapkan selamat tinggal kepada Mr Sao Tong atas jasa baiknya dan keramahannya sebelum meneruskan perjalanan ke Nakhorn Si Thammarat.
Posted by Picasa

No comments: